Penyertaan kira-kira 800 peserta membabitkan ibu bapa bersama-sama anak mereka dalam Larian untuk Kanak-kanak 2019 yang berlangsung di Putrajaya, baru-baru ini, bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan, tetapi juga mengumpul dana bagi disumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menerusi bayaran penyertaan larian anjuran Hospital Columbia Asia itu, penganjur menyumbangkan sebanyak RM10,000 kepada Make-A-Wish Malaysia, NGO yang ditubuhkan dengan matlamat merealisasikan impian pesakit kanak-kanak yang kritikal.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Columbia Asia bagi Asia Tenggara, Kelvin Tan, berkata sumbangan berkenaan diharap dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pesakit kanak-kanak untuk mencapai impian mereka.
Katanya, pembabitan ahli keluarga dalam larian itu dapat menggalakkan ibu bapa untuk berlari sebagai penghargaan kepada anak mereka, selain memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap hak kanak-kanak seperti yang dinyatakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Kami melihat larian ini sebagai landasan terbaik untuk ibu bapa berinteraksi dengan anak mereka, lebih-lebih lagi dengan pelbagai aktiviti yang diadakan.
“Selain itu, larian ini juga dapat mengeratkan hubungan kami dengan pesakit, rakan-rakan, pelanggan dan masyarakat termasuk mengumpul dana bagi membantu Make-A-Wish Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: 8 Cara Untuk Elakkan Kekejangan Ketika Berlari Atau Berjogging
Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Wilayah Columbia Asia, Engku Marina Engku Hatim, Tom Lim dan Lee Hui Chuen serta CEO Make-A-Wish Malaysia, Irene Tan. Cehk replika sumbangan disampaikan oleh Engku Marina kepada Irene pada program berkenaan.
Larian untuk Kanak-kanak 2019 itu dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia yang diraikan setiap 20 November bagi menggalakkan kerajaan di setiap negara untuk memperkasakan kebajikan kanak-kanak sebagaimana yang dinyatakan oleh PBB.
Larian tahunan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu 1km Kids Dash membabitkan kanak-kanak berusia antara lima hingga Sembilan tahun dan 5km Fun Run bagi keluarga.
Pelbagai acara menarik disediakan seperti pertunjukan ajaib, permainan buih dan kehadiran watak kartun popular seperti Sponge Bob, Angry Bird, Minion, Dora the Explorer, Pikachu, Barney, Bumblebee, Superman dan Optimus Prime.
ARTIKEL BERKAITAN: Ejen Ali The Movie, Animasi Berkualiti Tinggi Dan Bertaraf Antarabangsa