Acara By: tex_admin March 4, 2019 @ 10:02am

Guru ini bantu pelajar Melayunya meneruskan persekolahan dan ini sebabnya.

Oleh: Syarifah Fatin Anisa Tuan Said Shakh

Dunia tidak memerlukan adiwira untuk memastikan ia kekal aman, tetapi seorang adiguru untuk melimpahkan ilmu dan melakar peradaban manusia mampu mengubah dunia.

Tanpa mengira penat lelah mahupun warna kulit dan bangsa, guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tumpat, Kelantan ini nekad membantu anak didiknya meskipun berbeza latar belakang.

Kelainan budaya antara kedua-duanya tidak menghalang Wong Lieat Hiong atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Wong untuk menerima pelajarnya, Fatin Nur Syahzanani  Zakaria untuk tinggal dengannya selama lebih dua tahun.

Perbuatan menyentuh hati guru berkenaan mendorong pelajarnya itu untuk mencalonkan beliau dalam Anugerah Guru Inspirasi 2018 anjuran McDonald’s Malaysia.

Foto: Mcdonald’s Malaysia

“Saya tidak tahu mengenai anugerah ini kerana saya membantu Fatin dengan ikhlas kerana selepas keluarganya berpindah ke Negeri Sembilan, Fatin kemurungan dan keluarganya meminta bantuan saya membenarkan Fatin tinggal di Kelantan sehingga tamat sekolah menengah.

“Saya anggap apa yang saya lakukan adalah demi kasih sayang seorang guru kepada pelajarnya dan apabila dimaklumkan oleh penganjur bahawa saya terpilih sebagai antara penerima anugerah ini, saya terkejut dan terharu, malah rasa bangga kerana ada yang menghargai pengorbanan guru-guru,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Anugerah Guru Inspirasi McDonalds 2019 di Putrajaya, baru-baru ini.

Foto: Mcdonald’s Malaysia

Anugerah tahunan anjuran McDonald’s Malaysia itu dianjurkan bermula tahun 2017 bagi menghargai sumbangan dan pengorbanan guru yang banyak membantu melahirkan generasi masa depan.

Dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s diberikan kepada guru-guru yang memberikan impak positif kepada masyarakat berdasarkan tiga kriteria iaitu mengubah kehidupan pelajar, membantu pelajar menerusi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta berfikiran di luar kotak dalam PdP.

Selain Wong, anugerah itu turut diberikan kepada 24 pendidik lain yang turut mempunyai pelbagai kisah menarik dalam mendidik anak bangsa.

Kisah Wong dianggap luar biasa kerana sanggup berkorban untuk memenuhi permintaan keluarga Fatin termasuk memastikan urusan sebagai Muslim dititikberatkan meskipun Fatin menetap bersama-samanya sepanjang dua tahun.

Foto: Mcdonald’s Malaysia

Guru Bahasa Inggeris itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk menjaga Fatin seperti anaknya sendiri kerana enggan mensia-siakan bakat remaja berkenaan yang aktif dalam sukan bola jaring.

“Dia mewakili Kelantan dalam pasukan bola jaring, jadi sebagai jurulatih negeri saya sudah biasa menjaga dan membawa pelajar untuk pertandingan di luar daerah. Ibu bapa Fatin hanya berpesan supaya saya menjaga solat anaknya, justeru saya menyediakan bilik khusus untuk Fatin beribadat di rumah saya.

“Urusan makanan juga tiada masalah kerana kami banyak makan di luar dan saya pastikan makan minum Fatin halal, lebih-lebih lagi kami tinggal di Kelantan yang banyak kedai makan Melayu,” katanya yang mempunyai dua anak.

Anak jati kelahiran Kampung Temangan, Machang, Kelantan ini mengakui bahawa anugerah ini adalah perangsang untuknya terus memperbaiki diri dan mutu pengajaran pada masa akan datang.

Dari kiri, Mohd Azri, Wong dan Cikgu Romie ketika di majlis pengumuman Anugerah Guru Inspirasi 2019 – Foto: Mcdonald’s Malaysia

Selain Wong, kisah seorang guru Matematik, Mohd Azri Elias yang menyahut cabaran untuk mengajar aliran pendidikan khas turut mencuri perhatian.

Mohd Azri yang kini mengajar di sebuah sekolah di Butterworth berkata, sebaik tamat pengajian beliau dihantar ke di Johor dan diminta untuk mengendalikan kelas pendidikan khas.

Meskipun tiada pengalaman dalam bidang berkenaan, beliau menerima cabaran itu dan sanggup mengeluarkan duit sendiri bagi memastikan pelajarnya dapat menimba ilmu sebaik mungkin.

“Pelajar berkeperluan khas berbeza dengan pelajar biasa. Sayalah guru Matematik, saya jugalah guru mata pelajaran lain, malah saya juga yang menguruskan urusan harian mereka termasuk membersihkan diri mereka apabila mereka buang air ataupun ketika makan.

“Ketika mula mengajar dulu, saya diberikan sebuah stor untuk pendidikan khas kerana sekolah itu tiada aliran berkenaan sebelumnya. Saya jadikan bilik itu seindah yang termampu kerana tiada peruntukan disediakan dan saya bangunkan aliran berkenaan sehingga menjadi yang terbaik,” katanya yang jelas terharu mengimbas kembali kenangan lama.

Foto: Mcdonald’s Malaysia

Seorang lagi guru yang menerima anugerah itu tahun lalu, Romizal Amir Rosdi yang lebih dikenali dengan gelaran Cikgu Romie dalam kalangan pengikut YouTube meraih populariti apabila memuat naik sesi pengajaran menerusi aplikasi berkenaan.

Beliau menggunakan teknik mudah bagi membantu kefahaman pelajar dalam pelbagai topik Matematik bagi Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 sehingga membolehkan beliau menerima Anugerah Guru Inovasi pada tahun 2013.

“Saya terlintas untuk merakam sesi pengajaran di dalam kelas kerana saya sedar, ramai guru yang mempunyai ilmu hebat, tetapi ilmu itu habis apabila mereka tidak mengajar lagi.

“Jadi, saya sanggup mengeluarkan duit sendiri untuk merakam sesi PdP saya kerana ingin memastikan ilmu yang saya ada akan berterusan walalupun apabila  tidak mengajar kelak,” katanya mengakhiri temu bual berkenaan.

Penyertaan Anugerah Guru Inspirasi  Mcdonald’s 2019 kini dibuka mulai 1 Mac hingga 31 Mac 2019 dan borang penyertaan boleh didapati menerusi laman sesawang www.mcdonalds.com.my

Romizal (tiga dari kiri) bergambar bersama-sama pelajarnya. – Foto: Mcdonald’s Malaysia

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Acara Tue, 25 Oct 2022
Acara Wed, 4 Oct 2023
#tilljannah Thu, 29 Sep 2022
Acara Mon, 23 Sep 2019
#tilljannah Sun, 14 Aug 2022

Dengan Sekali Lafaz, Aizat Amdan Selamat Bergelar Suami!

Alhamdulillah, tahniah Aizat & Elyssa!

Acara Fri, 1 Apr 2022
Acara Fri, 18 Oct 2019

Menu popular Kenny Rogers Roasters buat kemunculan semula

Garlic Butter Chicken, ayam panggang yang dilimpahi dengan sos berkrim mentega dan bawang putih

Acara Wed, 5 Jun 2019

Sherry Al-hadad dan Ammar Titan tak puasa? Biar betul!

Ikuti sedutan video Belakang Tabir Jom Kejar Bersama Panasonic!