Acara By: Shaidah Shafie February 20, 2020 @ 5:32pm

Hari Kraf Kebangsaan meriahkan Tahun Melawat Malaysia 2020

Hari Kraf Kebangsaan 2020 (HKK 2020) bakal menyaksikan pelbagai aktiviti menarik dianjurkan di seluruh negara membabitkan kira-kira 680 usahawan kraf merangkumi pelbagai industri antaranya, tekstil, hasil rimba, logam, hasil tanah dan aneka kraf.

Bermula dengan dua program di Perlis dan Kelantan, awal tahun ini, sambutan kali ke-18 itu bakal diteruskan dengan festival gemilang di Kompleks Kraf Kuala Lumpur membabitkan 325 usahawan kraf bermula 27 Februari sehingga 6 Mac depan.

Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail, berkata pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM18 juta sepanjang sambutan itu berlangsung, sekali gus diharap dapat meningkatkan pendapatan usahawan kraf tempatan.

“Berbeza dengan sambutan sebelum ini, Hari Kraf Kebangsaan 2020 lebih istimewa kerana bukan sahaja bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2020, tetapi juga kerana akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengilhamkan sambutan ini 18 tahun lalu.

Ibrahim melihat produk kraf yang bakal ditawarkan kepada pengunjung sempena Hari Kraf Kebangsaan pada 26 Februari hingga 9 Mac ini di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

“Bersesuaian dengan itu, pelbagai acara dirancang di seluruh negara dan kami berharap jualan kraf sepanjang tahun ini yang dirancakkan dengan pelbagai aktiviti berkenaan dapat menjana jualan RM18 juta,” katanya ketika ditemui pada sidang media HKK 2020 di Kompleks Kraf Jalan Conlay, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kraftangan Malaysia, Aididah Ibrahim dan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Industri Kraftangan Malaysia, ‘Ainu Sham Ramli. 

HKK 2020 tahun ini yang bertemakan Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat selaras dengan aspirasi kerajaan, Kemakmuran Bersama yang berteraskan strategi memperkukuhkan kesejahteraan sosial bagi memastikan industri kraf berupaya meningkatkan kualiti hidup, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana ekonomi rakyat.

Berkonsepkan Membudayakan Rakyat Dengan Seni Kraf, sambutan kali ini memfokuskan produk hadiah dan cenderamata yang boleh digunakan tanpa mengira musim dan diharap dapat membantu memeriahkan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ibrahim berkata, antara acara istimewa yang bakal menjadi tumpuan pada sambutan kali ini ialah majlis penganugerahan Tokoh Kraf Negara dan Anugerah Usahawan Muda yang bermatlamat untuk menggalakkan lebih ramai usahawan muda terbabit dalam industri kraf tempatan. 

“Sehingga kini, hanya ada lima penerima Anugerah Tokoh Kraf Negara dengan yang terakhir diberikan pada tahun 2018. Tokoh terpilih akan menerima wang tunai RM60,000, sepersalinan songket, manfaat rawatan kesihatan kelas pertama di hospital dan trofi.

“Penerima Anugera Usahawan Muda pula akan menerima trofi dan insentif bahan mentah bernilai RM5,000 yang diharap dapat membantu penerima untuk meningkatkan perniagaan yang diusahakan,” katanya.

Tokoh Kraf Negara adalah anugerah tertinggi dalam industri berkenaan dan antara penerima anugerah terbabit ialah Allahyarham Tengku Ibrahim Tengku Wook yang juga pengusaha kraf ukiran halus pada 1998, Zainab@Ngah Mamat (songket -2002), Habibah Zikri (songket – 2007), Ab Manan Yakum (logam – 2011) dan Azizah Mohd Yusof yang terkenal sebagai pengusaha tekat benang emas pada 2018.

Produk kraf yang boleh didapati di HKK 2020.

Ibrahim berkata, selain penganugerah khusus itu, sambutan HKK 2020 turut membabitkan acara istimewa seperti Pameran Perdana, Pameran Batik Beragi Pahang, Pameran 40 Tahun Kraftangan Malaysia dan Pameran Produk Baru Tahun Melawat Malaysia 2020.

“HKK kali ini dilihat amat istimewa kerana Tun Dr Mahathir yang mencetuskan sambutan ini pada 2003, justeru kami akan menganjurkan Pameran Perdana yang memaparkan pelbagai pembabitan beliau dalam aktiviti kraf negara. Ada pelbagai gambar menarik yang akan dipaparkan untuk tontonan generasi hari ini.

“Satu lagi pameran yang menarik ialah Pameran Batik Beragi Pahang yang bermotifkan corak beragi diilhamkan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Kami amat bersyukur kerana baginda seperti yang kita tahu amat meminati seni kraf, malah batik beragi ini dihasilkan oleh baginda sendiri,” katanya.

Antara pengisian HKK 2020 adalah demontrasi mencanting batik, tenunan, kraf berasaskan kayu, tembaga, anyaman, seramik, sajian negaraku, bicara kraf dan persembahan kesenian serta dijangka menerima 100,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung selama 10 hari.

Bekas bertangkai hasil anyaman unik ini boleh diperoleh di HKK 2020 di Komplek Kraf Jalan Conlay bermula 26 Mac ini.

Bersesuaian dengan era digital, HKK 2020 turut menampilkan Pameran Hab Digital Kraf Malaysia atau Malaysian Craft Digital Hub yang diharap dapat mempromosikan industri kraf negara.

Acara istimewa lain termasuk Pertandingan Ukiran Kayu dan Pertandingan Bakat Tari Rakyat Malaysia membabitkan pelajar dan terbuka kepada orang ramai.

HKK 2020 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan orang ramai yang ingin mengunjungi festival berkenaan boleh menggunakan bas yang disediakan di  tempat letak kenderaan di Badan Warisan Malaysia Jalan Conlay,  Hotel Royale Chulan, Pusat Pembangunan Rekaan Malaysia (MDDC) dan parkir Hospital Prince Court.

Lagi produk kraf daripada kayu yang ditawarkan kepada pengunjung sempena Hari Kraf Kebangsaan yang akan berlangsung pada 26 Februari hingga 9 Mac ini di Kompleks Kraf Jalan Conlay, Kuala Lumpur.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Acara Tue, 10 Sep 2019

ES Closet International Berhad Bakal Memasuki Bursa Saham Dunia. Wow, hebatnya!

Sejarah bakal tercipta dalam industri fesyen tempatan

Acara Thu, 20 Feb 2020
Acara Thu, 7 Sep 2023
Acara Mon, 28 Feb 2022

Tampung Pelajar Tahfiz & Warga Emas, Ustaz Jafri Abu Bakar Jual Susu Kambing

Pendakwah selebriti, Ustaz Jafri Abu Bakar @ Mahmud tampil dengan inisiatif untuk mengusahakan produk susu kambing berperisa, Faa-iz bagi menampung kelangsungan pelajar tahfiz dan warga emas di Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF), Kedah. Dengan perbelanjaan […]

Acara Tue, 22 Nov 2022

Festival Petaling Jaya International Folklore 2022 Bakal ‘Gegar’ Bermula 28 November.. Konsert Istimewa WINGS Jadi Tarikan!

Wow menariknya!! Ada konsert WINGS, dikir barat oleh Issey, wayang kulit Pok Chu, bunga api dan banyak acara menarik lain! Jangan lepaskan peluang pergi PJ Folklore 2022 okey! 🤩🤩🤩

Acara Fri, 5 Oct 2018

The Strongest Pink Bukti Keprihatinan Sofearose Terhadap Pejuang Kanser

Ini masanya untuk anda tunjukkan tanda sokongan anda kepada kempen Pinktober!

Acara Wed, 17 Jan 2018

Asia Islamic Fashion Week 2018 Kuala Lumpur

Date: 29 March – 1 April 2018 Venue: MiTEC, KUALA LUMPUR Inspired by the vibrancy of the Muslim fashion scene and in an effort to further expand the industry, AIFW Event is pleased to bring […]

Acara Mon, 4 Nov 2019

Keaslian ramuan Herbal Essences diiktiraf oleh Royal Botanic Gardens!

Bagi yang mencari syampu organik, inilah dia