Acara By: Yanie Baharom September 23, 2019 @ 2:32pm

Peraga set kalung RM2.2 juta, Mira Filzah bagai ‘menghidu’ Bintang Paling Popular miliknya!

Menerima pencalonan tertinggi menerusi tujuh kategori, tiga daripadanya menjadi milik beliau, pelakon cantik manis, Mira Filzah menepati ramalan ramai apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular (ABPBH) Ke-32, malam tadi.

Mira Filzah yang tampil berbusana putih rekaan Afiq M dipadan perhiasan mewah (set kalung, rantai dan cincin) tajaan Habib Jewels bernilai RM2.2 juta, kelihatan terkesima saat namanya diumumkan oleh penyampai trofi iaitu penyanyi Aishah yang pernah memenangi gelaran itu pada tahun 1990.

Foto: NSTP/SURIANIE MOHD HANIF

“Syukur Alhamdulillah, syukur banyak-banyak atas rezeki daripada Allah SWT. Terima kasih kepada Berita Harian, media yang tidak putus-putus menyokong kerjaya Mira empat, lima tahun ini.

“Terima kasih Miraclegacy, Mirah Biru undi Mira tahun ini. Ini untuk kita semua, terima kasih,” katanya ketika memberi ucapan.

Meraih undian tertinggi menerusi kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa dengan 6,320,463 undi, Mira Filzah, 26, menewaskan pencabar terdekatnya, Khai Bahar dan Siti Nordiana yang dilihat berpotensi besar mengungguli trofi itu.

Kemenangan itu melayakkan Mira Filzah membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan X-Trail 2.0L Hybrid bernilai RM160,000, sumbangan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) berserta trofi.

Menjadi kemenangan besar buat Mira Filzah atau nama lengkapnya Nur Amirah Filzah Badioezaman apabila turut mengungguli kategori Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa, menghampakan Siti Nordiana dan Janna Nick yang turut memberikan saingan sengit.

Mira Filzah juga cemerlang apabila membawa pulang trofi Pelakon Filem Wanita Popular, menewaskan kemaraan bintang senior, Erra Fazira dan Delimawati, selain Uqasha Senrose serta Hannah Delisha.

Kehebatan gandingannya bersama Remy Ishak turut memperlihatkan kejayaan anak jati kelahiran Ipoh, Perak iu dalam kategori online, apabila meraih trofi Gandingan Serasi Drama Popular menerusi Pujaan Hati Kanda.

Diramal antara yang berpotensi meraih Gelaran Bintang Paling Popular, Khai masih terus mempertahankan gelaran Penyanyi Lelaki Popular DuitNow untuk tiga tahun berturut-turut meskipun belum rezekinya untuk menakluki anugerah tertinggi itu.

Khai Bahar terus cemerlang apabila sekali lagi dinobatkan penerima trofi Penyanyi Lelaki Popular DuitNow. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Malam kemuncak ABPBH 32 menyaksikan gema gempita sorakan peminat Khai Bahar Empire setiap kali namanya disebut, memberi ‘kegerunan’ buat FC (Kelab Peminat) lawan yang lain.

ABPBH 32 kali ini turut menyaksikan beberapa kategori bertukar tangan apabila ‘dirampas’ pemenang sebelumnya.

Syafiq Kyle antara yang berjaya menebus kekecewaannya tahun lalu dengan memenangi Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa. Selain mengekang kemaraan Remy, kekasih hati pelakon Mimi Lana itu turut menghampakan pemenang tahun lalu, Fattah Amin.

Syafiq Kyle kembali menyengat apabila merampas kembali trofi Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa. Foto: NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Pelakon yang popular menerusi watak Ustaz Adam dalam drama, Nur dan Nur 2 itu juga melakat kemenangan berganda apabila diumumkan sebagai Gandingan Serasi Filem Popular bersama Hannah Delisha menerusi filem, Langsuir.

Sementara itu, Fattah Amin tidak pulang dengan tangan kosong apabila memenangi trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, sekali gus mengetepikan pencabar terdekatnya iaitu Remy dan Zul Ariffin yang pernah dua kali mengungguli kategori itu.

ABPBH 32 juga menyaksikan trofi Penyanyi Wanita Popular DuitNow yang dimenangi oleh Wany Hasrita tahun lalu kembali ke pangkuan pemenang sebelumnya, Siti Nordiana.

Siti Nordiana menepati ramalan ramai apabila unggul dalam dua kategori termasuk kategori Pengacara TV Popular. Foto: NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Keampuhan populariti penyanyi Hatiku Milikmu itu semakin kukuh apabila dia turut menjadi pilihan peminat untuk diangkat sebagai Pengacara TV Popular ABPBH 32.

Siti Nordiana bagaimanapun, terpaksa akur apabila gandingannya bersama Alif Satar gagal mengekang kekuatan pengaruh Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini yang diumumkan sebagai pemenang Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Hael Husaini tampil ke pentas bagi menerima trofi Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular. Foto: NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN

ABPBH 32 turut melakar kenangan manis buat pelakon dan pengacara, Janna Nick apabila mengungguli kategori Artis Versatil Popular. Janna menewaskan saingan sengit Siti Nordiana dan Mira, selain menghampakan pemenang edisi lalu, Alif Satar.

Janna Nick mencium trofi Artis Versatil Popular yang dimenanginya. Foto: NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Sementara itu, Zizan Razak terus mempertahankan trofi Artis Komedi Popular yang dimenanginya pada edisi ABPBH 3.0 dan 31, menghampakan Jep serta Jihan Muse yang turut memberi saingan sengit bagi kategori itu.

ABPBH 32 turut mengembalikan trofi Penyampai Radio Popular ke pangkuan DJ Lin selepas dua tahun berpindah tangan. Penyampai radio Suria FM pernah memenangi trofi itu pada edisi ABPBH 29.

DJ Lin berjaya merampas kembali trofi Penyampai Radio Popular. Foto: NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Sementara itu, dua kategori baharu yang diperkenalkan, iaitu Artis Indonesia Popular menjadi milik Laudya Cynthia Bella, manakala trofi Artis Korea Popular pula berpihak kepada BTS yang menerima sorakan hebat meskipun tidak hadir untuk menerima trofi berkenaan.

Pelakon Adam Lee turut cemerlang apabila dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular, manakala Haneesya Hanee mengubat kekecewaan yang pernah dilalui dengan merangkul trofi Artis Baharu Wanita Popular, menghampakan Sarah Suhairi yang diramal mampu menjulang kemenangan.

Adam dan Haneesya dijangka bakal menggegar industri seni tempatan apabila masing-masing meraih Kategori Artis Baharu Popular. Foto: NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Untuk kategori online ABPBH 32, penyanyi Haqiem Rusli ampuh dengan dua kemenangan menerusi Artis Sensasi Popular, selain lagunya, Selamat Tinggal Sayang diumumkan sebagai Lagu Paling Boom.

Sementara pelakon Shukri Yahaya diangkat sebagai Pelakon Watak Antagonis Popular menerusi lakonan berkesannya memegang watah negatif.

Usaha kumpulan Raihan membawa misi dakwah merentas sempadan menerusi muzik diiktiraf apabila mereka diumumkan sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Kumpulan Raihan diangkat sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat. Foto: NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

ABPBH 32 yang bersiaran langsung menerusi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan TV3 itu dihoskan buat pertama kalinya oleh AC Mizal dan Elly Mazlien yang berjaya mengemudi rancangan anugerah itu selama hampir tiga jam bersiaran.

Anugerah ABPBH 32 diserikan lagi dengan persembahan bertenaga Ismail Izzani yang berduet dengan Zizan Razak, Sufian Suhaimi, Idayu, Liza Hanim, Ernie Zakrie, De Fam, Stacy, Akim & The Majistret, Hazama dan ramai lagi.

Persembahan DeFam dan Stacy turut memeriahkan ABPBH 32. Foto: NSTP/NURUL SYAZANA ROSE ROZMAN

Suara lunak Idayu memikat penonton ketika membuat persembahan. Foto: NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN.

SENARAI PEMENANG ABPBH 32

Kategori Utama

Bintang Paling Popular: Mira Filzah

Artis Baharu Lelaki Popular: Adam Lee

Artis Baharu Wanita Popular: Haneesya Hanee

Pelakon TV Lelaki Popular Alha Alfa: Syafiq Kyle

Pelakon TV Wanita Popular Alha Alfa: Mira Filzah

Pelakon Filem Lelaki Popular: Fattah Amin

Pelakon Filem Wanita Popular: Mira Filzah

Penyanyi Lelaki Popular DuitNow: Khai Bahar

Penyanyi Wanita Popular DuitNow: Siti Nordiana

Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular: Dayang Nurfaizah & Hael Husaini

Artis Komedi Popular: Zizan Razak

Artis Versatil Popular: Janna Nick

Pengacara TV Popular: Siti Nordiana

Penyampai Radio Popular: DJ Lin (Suria FM)

Kategori Baharu

Artis Indonesia Popular: Laudya Cynthia Bella

Artis Korea Popular: BTS

Anugerah Khas

Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Raihan

Kategori Online

Gandingan Serasi Drama Popular: Remy Ishak & Mira Filzah (Pujaan Hati Kanda)

Gandingan Serasi Filem Popular: Syafiq Kyle & Hannah Delisha (Langsuir)

Pelakon Watak Antagonis Popular: Shukri Yahaya

Artis Sensasi Popular: Haqiem Rusli

Lagu Paling Boom: Selamat Tinggal Sayang (Haqiem Rusli)

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Acara Tue, 10 Sep 2019

ES Closet International Berhad Bakal Memasuki Bursa Saham Dunia. Wow, hebatnya!

Sejarah bakal tercipta dalam industri fesyen tempatan

Acara Mon, 24 Sep 2018

C-Cycle Challenge 2018: 1,200 Peserta Hangatkan Eco Santuary!

Lebih daripada sebuah sukan berbasikal, objektif utama penganjuran acara ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan keluarga dan sesama masyarakat.

Acara Sat, 31 Aug 2019

Bazar Merdeka Habib tawar potongan 80 peratus!

Cepat rebut peluang miliki barang kemas istimewa Merdeka

Acara Thu, 14 Mar 2019

Demi keluarga, Noryn Aziz jual tudung

Anak lelaki dan keluarga cetus semangat buat dirinya.

Acara Fri, 20 Dec 2019
Acara Mon, 2 Dec 2019

DBP lancar tujuh buku panduan kesihatan dalam bahasa Melayu

Kandungan bermanfaat untuk ibu bapa dan wanita

Acara Wed, 8 Feb 2023
Acara Thu, 22 Aug 2019