Bagi yang masih tiada idea atau perancangan untuk aktiviti hujung minggu ini, apa kata anda pergi ke pertunjukan Swiss Dream Circus di Desa ParkCity, Kuala Lumpur.
Persembahan bermutu tinggi anjuran Le Tresor Legacy Ventures Sdn Bhd ini menampilkan penghibur sarkas bertaraf antarabangsa yang bakal memukau penonton dengan aksi luar biasa serta mendebarkan.

Persembahan Swiss Dream Circus di Desa ParkCity, Kuala Lumpur. Foto: NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD.
Penganjur dan pengasas Le Tresor, Ismail Stork, berkata setiap persembahan yang dibawakan kepada penonton adalah berbeza dan instrumen yang digunakan juga tidak sama seperti tahun sebelumnya.
“Ini merupakan tahun kelima kami membawa Swiss Dream Circus ke Malaysia. Setiap tahun kami akan kembali dengan pertunjukan yang baru dan berbeza seperti pertunjukan palang dan wayar tinggi, gelung hoola, trapeze, juggling, basikal BMX, Diabolo, badut dan banyak lagi.
“Persembahan yang dibawa tahun ini lebih menarik dan mengujakan di mana kami membawa award-winning artist yang berkaliber dari seluruh dunia antaranya Switzerland, Perancis, Australia, Amerika Syarikat, Ukraine dan Russia,” katanya ketika ditemui pada sidang media Swiss Dream Circus 2019, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Yang turut hadir ialah Pengasas dan Penerbit Swiss Dream Circus, Marco Baumgartner.

Antara aksi yang dipertontonkan di Swiss Dream Circus yang berlangsung di Carpark 3, Plaza Arkadia, Desa Park City. Foto: NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD.
Menerusi persembahan dua jam itu, penonton bakal disajikan dengan pelbagai aksi menakjubkan termasuklah paparan akrobatik, aksi udara dan aksi lagak ngeri dalam khemah berhawa dingin yang mampu memuatkan sehingga 900 penonton pada satu masa.
“Ada pelbagai pertunjukan menarik yang dipersembahkan antaranya aksi penuh debaran yang bakal melonjakkan adrenalin semua iaitu Wheel of Death.
“Pertunjukan High Wire juga dijangka menarik perhatian dan debaran penonton kerana dalam disiplin ini pemain sarkas profesional akan meniti wayar selebar 15mm sambil membuat aksi mendebarkan pada ketinggian 12 meter,” katanya.

Aksi High Wire dari Kumpulan Troup Dnepprovskii membuatkan adrenalin penonton berdegup kencang. Foto: NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD.
Sementara itu, Marco berkata, pertunjukan sarkas adalah hiburan asas yang sesuai ditonton bersama keluarga lebih-lebih bersama anak-anak yang pastinya terhibur dengan pertunjukan sedemikian.
“Kami berharap anda tidak akan melepaskan peluang keemasan ini. Sarkas adalah hiburan untuk semua. Kami menjanjikan persembahan sarkas yang luar biasa untuk penonton merasai pengalaman dan atmosfera berbeza bersama keluarga dan anak-anak,” katanya kepada Hijab & Heels.
Istimewanya, penganjur Le Tresor turut mengambil inisiatif melakukan kerja amal dan kemasyarakatan kepada golongan yang memerlukan di mana mereka menjemput 150 anak yatim, golongan asnaf serta ibu tunggal dari PPR Pantai Dalam dan Rumah Chow Kit untuk menonton pertunjukan sarkas ini.

Aksi tali daripada Zac Tomlinson memukau penonton Swiss Dream Circus. Foto: NSTP/KHAIRUL AZHAR AHMAD.
“Menjadi satu kegembiraan buat kami apabila melihat kanak-kanak yang datang menikmati persembahan yang diadakan. Gelak tawa mereka memberi kepuasan kepada kami semua,” tutur Ismail mengakhiri perbualan.
Jangan ketinggalan untuk merasai sendiri persembahan hebat Swiss Dream Circus yang diadakan di Carpark 3, Plaza Arkadia, Desa ParkCity. Swiss Dream Circus bakal diadakan sehingga 22 September depan dan harga tiket boleh didapati bermula RM49 hingga RM199.
Dibawa khas oleh Traveloka, anda juga berpeluang untuk menikmati harga promosi dari Bonuslink, CIMB dan Digi.
Maklumat lanjut mengenai Swiss Dream Circus termasuk jadual persembahan serta tempahan tiket boleh didapati menerusi laman web www.swissdreamcircus.com dan media sosial Facebook serta Instagram, Swiss Dream Circus.