Acara By: Yanie Baharom February 10, 2020 @ 11:00am

Teknik grafik Augmented Reality bawa penonton ke alam ‘sumpahan’ kosmik!

Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) mengakhiri kemuncaknya dengan melakar satu lagi sejarah baharu apabila menobatkan lagu Sumpah nukilan pengkarya muda, Naim Daniel dan Omar K sebagai pemenang utama di acara berprestij berkenaan.

Kemenangan yang sememangnya sudah dijangkakan itu, sekali gus membolehkan Naim dan Omar K membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Selain kejayaan lagu itu disambut baik, konsep yang melatari persembahan Naim Daniel semasa menyampaikan lagu berkenaan turut diperkatakan ramai.

Sumber: YouTube

Bagi yang menonton AJL34 di rumah, dunia kosmik yang diketengahkan terasa benar-benar wujud apatah lagi dengan konsep solekan komik yang digayakan oleh Naim. Khabarnya konsep persembahan dan solekan begitu dikenakan sebagai kesinambungan karakter yang dipamerkan di dalam klip video Sumpah.

Berbalik pada konsep dunia kosmik, ia dibangunkan dengan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR). Apa itu AR?

AR, adalah teknik menambah kandungan digital ke dalam suapan kamera langsung, menjadikan kandungan digital kelihatan seolah-olah wujud dalam lingkungan dunia nyata sekeliling anda.

Bercakap mengenai penampilan Naim Daniel, pasukan yang bertanggungjawab menata rias wajah dan pakaiannya wajar diberikan pujian.

Sut yang dipakai penyanyi berusia 22 tahun itu, direka khas oleh pereka fesyen terkenal Hatta Dolmat, manakala solekan pula oleh Eva Shahrul dan Daniey Junaedy.

Berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur, ia turut menjadi malam bersejarah buat Aman Ra dan Navigator apabila dinobatkan sebagai Naib Juara AJL34, menerusi lagu Bangun yang dinyanyikan oleh Aman Ra sendiri. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000 berserta trofi.

Tempat ketiga pula menjadi milik lagu Anta Permana ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong nyanyian Bob Yusof, yang mendapat teriakan ramai sebaik Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil membuat kejutan.

Malangnya, mikrofon Siti tidak berfungsi hampir 10 saat pada bahagian penting lagu itu sehinggakan mengundang amarah peminat beliau yang begitu menanti-nantikan momen kemunculan Diva nombor 1 negara itu pada malam final AJL34.

Walaubagaimanapun kemenangan itu menyaksikan mereka berkongsi hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Penyanyi lagu Kisah Cinta Kita iaitu Hafiz Suip dipilih sebagai pemenang Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 berserta trofi atau jumlah keseluruhan RM24,000.

Namun begitu, ramai yang berpendapat penyanyi Ernie Zakri yang mempertaruhkan lagu Ku Bersuara adalah individu paling layak diangkat sebagai pemenang Vokal Terbaik.

Statusnya sebagai guru vokal serta aplikasi teknik nyanyian yang memukau, ternyata penyanyi kecil molek mendominasi peserta yang lain. Apatah lagi Hafiz membuat beberapa kesilapan misalnya tersalah tempo dan ‘terkucil’ ketika menyanyikan korus kedua lagu Kisah Cinta Kita. 

Sumber: YouTube

Tidak dinafikan Hafiz juga mempunyai vokal yang baik dan terbukti dengan kemenangannya tiga kali berturut-turut menerusi kategori berkenaan di AJL, bagaimanapun mengambil kira persembahannya paa malam berkenaan agak kurang kemas.

Begitu juga dengan kategori Persembahan Terbaik, ramai berpendapat Haqiem Rusli yang menampilkan Datuk Rosyam Nor sebagai cameo di dalam lagu Lembah Kesepian sehingga meruntun hati penonton lebih layak menang. 

Foto: Instagram

Persembahan kontroversi pendatang baharu Aina Abdul yang pertama kali muncul di pentas AJL, dilihat mempunyai peluang cerah untuk merebut Persembahan Terbaik.

Penulis tidak melihatnya sebagai ekspresi membunuh diri sebagaimana tanggapan sesetengah pihak. Sebaliknya simbolik kelukaan hati seorang wanita yang parah gara-gara perbuatan meninggalkan sang kekasih. Persembahan Aina pada pandangan penulis bukan sahaja unik tetapi mempunyai estetika seni yang indah!

Foto: Instagram

AJL34 dihoskan Awal Ashaari, Sherry Al Hadad dan Haziq Hot FM. Persembahan pembuka tirai AJL34 membariskan pemenang vokal terbaik AJL yang lalu seperti Liza Hanim, Misha Omar, Adibah Noor, Jaclyn Victor, Lah Ahmad, Black dan Hazami.

Persembahan interlude AJL 34 pula menampilkan karya-karya balada Datuk M Nasir yang disampaikan oleh Ameng Spring, Fredo, Datuk Hattan, Datuk David Arumugam dan Datuk M Nasir sendiri.

 

Lagu yang turut bertanding

1. Drama

Penyanyi: Drama Band
Komposer: Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib
Penulis lirik: Aepul Roza, Daus SRK, Faeez Ikhwan, Syed Syahmir, Nik Adib

2. Sumpah

Penyanyi: Aina Abdul
Komposer: Aina Abdul
Penulis lirik: Aina Abdul

3. Peneman

Penyanyi: Hazama The Penglipurlara
Komposer: Tam
Penulis lirik: Tam

4. Dinda

Penyanyi: Kugiran Masdor
Komposer: Ali Sariah
Penulis lirik: Ali Sariah

 

5. Ragaman

Penyanyi: Fairuz Misran
Komposer: Faizal Tahir, Mike Chan, Romeo
Penulis lirik: Faizal Tahir, Jaare, Karim Karam, Mike Chan

6. Rampas

Penyanyi: Akim & The Majistret
Komposer: Hang Nadim, Laq
Penulis lirik: Bunga Cantik

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

#tilljannah Sun, 11 Sep 2022

Erra Fazira Ucap Tahniah Kepada Shahir, Doa Perkahwinan Kekal Ke Syurga

Lurvee Erra Fazira! Kawan yang baik kan?! ❤️

Acara Mon, 4 Mar 2019
Acara Tue, 26 Nov 2019
Acara Wed, 10 Apr 2019
Acara Thu, 9 Aug 2018

Wow! Fasha Sandha Pernah Memenangi Pertandingan Kerana Giginya Cantik!

Tugasan Ikon Aurawhite itu turut digalas Fasha bersama Izzue Islam serta pendakwah bebas, PU Azman.

Acara Mon, 29 Oct 2018

Milik Siapakah Trofi Drama & Filem Terbaik Anugerah Skrin 2018?

Anugerah Skrin 2018 bakal berlangsung pada 2 November ini jam 9.00 malam.