Eat Travel By: Yanie Baharom August 16, 2018 @ 5:34pm

14 Lokasi Makan-Makan Terbaik Di Taiping, Perak

Sekiranya anda punya rencana makan angin atau bercuti di Taiping, Perak, jangan lupa singgah di 14 lokasi makan-makan ini.

Menerusi coretan review HamzTravels, yang menjelajah dari bandar Taiping ke Kuala Sepetang hinggalah ke Kamunting, beberapa gerai, kafe dan restoran dikenal pasti berbaloi untuk dikunjungi.

1. Ansari Famous Cendol

Foto: Astro Awani

Orang Taiping mesti sedia maklum tentang lokasi di Jalan Barrack ini. Sudah tiga generasi mereka ini menghidangkan kesegaran cendol dan keenakan pasembor kepada pelanggan. Pilih saja cendol dengan campuran tambahan yang klasik seperti jagung manis, kacang merah, pulut atau durian. Atau bagi yang berselera besar, minta campurkan semuanya! Kalau hendak tengok gambar yang dikongsi netizen di Instagram, ikuti saja hashtag #ansarifamouscendol.

2. Doli Kuey Teow

Foto: Jom Makan Di Utara

Ini tempat yang sekian lama meniti di bibir penggemarnya. Bisnes keluarga di Jalan Tupai ini menumpukan pada kelazatan kuetiau goreng yang kaya dengan rencah. Kuetiau dengan kerang dan udang memang jadi buruan ramai, lebih-lebih lagi kalau dipesan agar digoreng lebih ‘garing’. Mahukan menu lain, di sini juga ada pilihan seperti sup ayam dan kuetiau sup.

3. Locs & Thyme

Foto: Astro Awani

Kafe comel beralamatkan 12, Jalan Lim Teong Chye ini temui secara tidak sengaja. Selain terkenal dengan hidangan nasi lemak dan nasi mentega dengan ayam panggang, kafe ini sentiasa membuat kejutan harian dengan mengetengahkan menu fusion yang lazat dan berselang-seli pula dengan pilihan unik antarabangsa. Anda pernah cuba makanan dari Nigeria bernama egushi? Cuba tanya pada pemilik kafe ini mengenainya.

4. D’Muhibbah Nasi Lemak

Foto: Astro Awani

Warung terbuka yang dibina ringkas dan terletak di pinggir jalan kadang-kadang menyimpan rahsia dapur keluarga yang hebat. Itu yang kami temui di lokasi ini. Bayangkan nasi lemak anda diiringi hidangan gulai ayam, daging, kambing mahupun sotong yang diberi sentuhan kulinari autentik dari tanah seberang. Pastikan singgah di sini untuk memulakan hari anda!

5. The Greenhouse Taiping

Foto: Facebook The Greenhouse Taiping

Restoran, kafe atau lokasi acara; semuanya menjadi satu di premis beralamat 73, Jalan Pasar ini. Variasi hidangan popular seperti pasta, burger, pastri dan kek, setiap satunya mendapat sentuhan kepakaran daripada ahli keluarga pengusahanya. Dekorasi yang ‘menghijau’ di kafe ini tentunya menjadi idaman mereka yang gemar memuat naik foto ke Instagram.

6. The Gate Cafe

Foto: Eatz.Me

Bukan mudah bagi sesebuah bisnes untuk bertahan lebih daripada 10 tahun. Itulah yang dibuktikan oleh pengurusan The Gate Cafe di sudut Jalan Maharajalela ini. Sejak dimulakan pada 2004, kafe mesra pelanggan ini menjadi tumpuan anak muda untuk bersosial dari siang ke malam, diiringi menu lazat yang pelbagai.

7. Restoran Mergastua

Foto: TripAdvisor

Kalau bawa anak-anak ke Zoo Taiping & Night Safari, dan kemudian terasa lapar, bolehlah melangkah masuk ke Restoran Mergastua untuk melunaskan keinginan selera. Pilihan masakan tempatan, Barat dan Asia Selatan menanti dalam suasana yang selesa, dan kami sempat mencuba nasi ayam Hainanese dan juga briyani yang menarik persembahannya.

8. Mee Banjir Udang Mak Teh

Foto: malaysiabest.net

Ini tentunya wajib cuba sebab bisnes ini sudah sekian lama memulakan operasi di Kuala Sepetang, malah rekod kewujudannya mendahului mana-mana pengusaha mi udang yang lain di sekitarnya. Rahsia keenakan mi udang Mak Teh ini terletak pada kesegaran udang yang digunakan. Meskipun tekstur kuahnya tidak pekat, namun jelas terasa perisa daripada isi udangnya yang lemak dan manis. Oh ya, nak puas? Sila pesan mangkuk besar!

9. Mee Ketam Kg. Dew

Foto: D_08

Sebelum terpesona dengan kerlipan cahaya kunang-kunang di Kampung Dew yang bermula sejurus matahari terbenam, pastikan anda menikmati terlebih dahulu semangkuk mi ketam ini yang menjadi identiti kawasan tersebut. Apa kata anda datang lebih awal ke jeti popular itu, dan hangatkan dahulu tubuh anda dengan mi yang kaya rasa ketam ini. Oh, bukan guna perasa ya, tapi ada seekor ketam ‘bersarang’ dalam gumpalan mi itu!

10. Raintown Brother Western

Foto: Astro Awani

Sampai ke Kamunting kami menjelajah. Sekiranya hidangan Barat yang anda mahukan namun tawaran di hotel tidak menepati selera, apa kata anda singgah di tempat ini yang terletak di Kamunting. Nyatakan saja mahu apa- pasta, lamb chop, stik mengenyangkan, burger dengan patty daging berjus, semuanya ada. Bagi yang sekadar mahu membasahkan tekak, sila lihat senarai menu minumannya yang bermacam-macam. Anda akan ambil masa sedikit untuk membuat keputusan.

11. Oasis Restaurant

Foto: Astro Awani

Ya habibi! Siapa kata di Taiping tiada makanan Arab? Bisnes keluarga Hajah Soraya di alamat 42, Jalan Assam Kumbang ini memang dalam kelas tersendiri. Malah ada pendapat mengatakan, masakan seperti kabsa, mandy dan madghout daripada air tangan keluarga Melayu ini lebih ‘menjadi’ berbanding pengusaha Arab-Yemen sebenar! Lebih unik, perniagaan ini menjalankan operasinya di dalam sebuah banglo kolonial.

12. Nafis Kitchen

Foto: Astro Awani

Di sini ada ‘aura’ restoran mamak gred A, namun dengan pilihan menu luas merentas geografi! Pada sebelah siang ditawarkan seleksi menu kegemaran tempatan, namun apabila malam menjelma, dapur Bangkok pun beraksi! Nafis Kitchen menambahkan senarai menunya ke hidangan utara Thailand. Kalau datang berkumpulan, boleh pesan menu set pelbagai hidangan yang harganya sangat… sangat… sangat berpatutan! Jumpa Dataran Warisan, jumpalah restoran ini.

13. The Train

Foto: Astro Awani

Senang saja nak cari lokasi ini. Katalah anda sampai Taiping dengan ETS, keluar saja dari pekarangan stesen kereta api, teruskan melangkah ke kanan. Teruskan berjalan beberapa meter ke bangunan stesen kereta api lama, dan berhenti di ruang premis Nombor 1. Aroma kepak ayam enak dengan peraman istimewa gaya Buffalo, Thai atau Jepun sedia menyambut anda. Oh ya, kalau anda kenal dramatis 80-an popular, Hilal Azman, perniagaan ini sebenarnya diusahakan oleh anak-anaknya. Kalau beliau ada sekali, memang seronok bersembang!

14. Roti Bakar Arang Fadzil House

Foto; orangkecilorangbesar

Kalau ke Pokok Assam, marilah ‘bergoyang’ sampai kenyang! Ya, penulis maksudkan kuning telur yang ‘seksi’ bergoyang atas kepingan roti yang dibakar menggunakan arang. Smokey taste pada roti yang dihidang bersama telur separuh masak dan ditambah kacang panggang memang tiada tandingannya dalam kamus orang yang gemar bersarapan. Beberapa lagi pilihan sarapan lazim rakyat Malaysia juga boleh dipesan di sini yang pasti menggembirakan mood pagi anda!

Sumber: Astro Awani

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Eat Travel Mon, 6 Apr 2020
Eat Travel Tue, 24 Jul 2018

Kejernihan Air Sungai Bangang Mendamaikan Jiwa

Keindahan alam semula jadinya juga pasti akan memukau mata memandang.

Eat Travel Thu, 31 May 2018

Bagai Pasar Malam Mewah, Bufet Ramadan Hotel DoubleTree By Hilton Sediakan Macam-Macam Juadah

Hidangannya seperti makanan yang selalu kita jumpa di pasar malam, tapi lebih mewah.

Eat Travel Tue, 26 Jun 2018
Eat Travel Mon, 30 Mar 2020

Makan hatinya tengok Adele sekarang, jom cuba sirtfood diet

Hilang 3 kilogram dalam masa seminggu.

Eat Travel Tue, 19 Jun 2018

5 Bahagian Kabin Kapal Terbang Yang Paling Kotor Dan Berkuman, Anda Memang Patut Elak

Elakkan daripada terkena jangkitan virus dengan tips ini.

Eat Travel Fri, 27 Apr 2018

8 Kek Ini Nampak Realistik Sangat, Tak Tahulah Nak Makan Atau Simpan Buat Kenangan

Kena belajar buat kek berapa tahun untuk jadi semahir mereka ini?

Eat Travel Thu, 9 Jan 2020
Eat Travel Sun, 5 Apr 2020