Aidilfitri sering mengundang keceriaan apabila semua adik beradik dan sanak saudara lain berkumpul di bawah satu bumbung setelah lama tidak bersua lantaran masing-masing sibuk bekerja dan menguruskan hidup.
Individu paling gembira tentunya orang tua kita sama ada emak, makcik atau nenek yang sudah pasti merencana sesuatu untuk hidangan anak cucu serta handai taulan yang datang berkunjung.
Bagaimanapun, situasi ini mungkin pernah dilalui antaranya juadah makanan yang disediakan untuk tetamu basi menjelang petang, padahal ia belum sampai 24 jam dimasak.
Pun begitu, petua orang lama sering memberi penyelesaian kepada anda yang bertanggungjawab menyediakan hidangan mahupun menu terbaik untuk sesiapa saja yang bakal berkunjung ke rumah ketika Aidilfitri.
Hijab & Heels ada panduan khusus untuk anda lakukan bagi mengelakkan juadah Aidilfitri anda cepat basi dan boleh dihidangkan dengan sempurna untuk tetamu yang berkunjung ke rumah walaupun hari sudah lewat petang.
Berikut adalah 5 langkah yang boleh dilakukan untuk elak makanan cepat basi:
1. Pastikan sudip kering
Gunakan senduk atau sudip yang kering ketika mengacau lauk pauk yang dimasak kerana titisan air yang terdapat pada senduk atau sudip kayu/besi yang digunakan mungkin tidak bersih.
2. Guna air masak
Jika masakan yang dihasilkan itu jenis yang berkuah dan menggunakan santan kelapa, pastikan anda memerah kelapa menggunakan air yang sudah dimasak dan jika ingin membanyakkan kuah dalam masakan berkenaan, pastikan anda menggunakan air yang sudah dimasak juga.
3. Tumis sehingga bahan masak
Sekiranya menyediakan menu yang memerlukan anda menumis cili atau bawang, pastikan bahan tumisan masak sempurna supaya hasil masakan anda boleh bertahan lama.
4. Elak tutup periuk awal
Apabila makanan sudah masak, padam api dan jangan terus menutup periuk berisi makanan panas kerana hawa panas yang terhasil pada bahagian tudung itu mungkin akan menyebabkan makanan cepat basi.
5. Panaskan lauk selang 4 jam
Kita lazim menyediakan makanan untuk hidangan tetamu pada awal pagi dan ada sesetengah individu mungkin seawal Subuh. Apa yang perlu anda lakukan selepas empat atau lima jam, elok dihangatkan menu berkenaan agar bakteria tidak ‘bekerja’ merosakkan makanan anda.