Sedu (hiccup) pun boleh mendatangkan stres. Kenapa? Yalah, bila kita tiba-tiba sedu, mesti orang lain akan pandang kita semacam!
Sedu melibatkan diafragma anda yang membantu menarik udara masuk ke dalam paru-paru. Bila anda hembuskan nafas, diafragma anda akan relaks dan udara akan keluar daripada paru-paru dan melalui hidung dan mulut.
Kadang-kadang, diafragma meradang. Bila ini berlaku, ia akan tersekat-sekat dan menyebabkan anda untuk menghirup udara melalui kerongkong anda secara tiba-tiba.
Bila udara masuk ini terkena kotak suara anda, tali vokal anda pula akan tertutup tiba-tiba. Inilah situasi yang menyebabkan sedu serta menghasilkan bunyi “hik” itu.
Contohnya, bila seseorang itu makan dengan cepat, dia akan menelan sekali udara bersama makanan, dan akhirnya mendapat sedu.
Situasi lain pula termasuklah meminum terlalu banyak air bergas atau alkohol. Jika ia berkaitan dengan makan atau minum, sedu dikatakan sebagai sejenis refleks yang melindungi anda daripada tercekik. Hmm… berguna juga!
Sedu juga boleh berlaku apabila adanya keradangan di dalam perut atau kerongkong (contohnya, penulis selalu mendapat sedu setelah makan cili padi!), ataupun apabila anda berasa gementar atau excited.
Walau bagaimanapun, kalau sedu lama-lama pun tak selesa, kan? Di sini ada cara-cara yang anda boleh cuba untuk hilangkan sedu ini. Kalau satu cara tak efektif bagi anda, cuba yang lain!
1. Tarik nafas dan tahan selama 10 saat. Ulang hingga sedu hilang.
2. Ambil beg kecil, letakkan mulutnya di mulut anda, tarik nafas dan hembus ke dalamnya. Ulang.
3. Sedut jus daripada sehiris buah lemon.
4. Teguk air dengan laju.
5. Letakkan sesudu gula di atas lidah anda.
6. Telan sesudu peanut butter, atau Nutella.
7. Kunyah sesudu kecil jintan putih (dill).
8. Campurkan sesudu madu ke dalam segelas air suam dan minum.
9. Minta sesiapa untuk sergah anda sampai anda terkejut.
10. Tutup lubang telinga dengan jari dan dengan menggunakan straw, sedut dan telan air sikit demi sikit.
Nota: Cara-cara yang dilampirkan ini tak semestinya boleh digunakan untuk memulihkan sedu bayi anda, ya! Rujuk kepada doktor anda untuk mendapatkan nasihat.
Sumber: Kidshealth, Reader’s Digest