Eat Travel By: Fadzlena Jafar January 4, 2020 @ 8:55pm

10 destinasi menarik di Jogjakarta wajib dikunjungi

Jogjakarta yang menjadi nadi di Jawa Selatan, Indonesia mempunyai pelbagai destinasi menarik sama ada tinggalan sejarah mahupun lokasi yang menampilkan binaan buatan manusia.

Tidak keterlaluan jika dikatakan masyarakat Jogjakarta bijak memanipulasi keindahan alam sekitarnya dengan membina pelbagai struktur binaan yang dikhususkan untuk paparan dalam media sosial, malah pelancongan atau wisata dalam bahasa Indonesia kini menjadi sumber pendapatan utama di negeri itu.

Ada beberapa lokasi lain yang wajib dikunjungi jika anda hendak merakamkan pemandangan indah dari atas bukit. Antaranya Hutan Pinus yang menawarkan pelbagai lokasi menarik sesuai untuk pelancongan Instagram berikutan persekitarannya yang amat indah.

Kebanyakannya memaparkan binaan unik buatan manusia yang dibina masyarakat sekitar sebagai inisiatif menarik pelancong dengan dilatari pemandangan alam sekitar semula jadi.

Antaranya Rumah Hobbit, Rumah 1,000 kayu dan binaan unik seperti pelantar terapung, tangan besar, sarang burung serta kincir angin.

Rumah 1,000 kayu antara binaan yang pasti menarik perhatian pengunjung. Gambar NSTP/AFENDI

Selain bangunan bersejarah itu, antara lokasi wajib dikunjungi ialah Kraton atau Istana Jogjakarta kerana Jogjakarta adalah satu-satunya negeri di Indonesia yang masih mengekalkan tradisi pemerintahan beraja.

Kraton berkenaan dibina pada tahun 1755 oleh Sultan Hamengkubuwono I dan siap sepenuhnya pada 1756. Sultan Jogjakarta ke-10, Sultan Hamengkubuwono X yang memerintah ketika ini masih mendiami Kraton.

Baginda mempunyai seorang isteri dan lima puteri yang masing-masing sudah berkeluarga. Walaupun semuanya sudah berkeluarga dan tinggal di luar Kraton, mereka masih mempunyai kediaman di dalam Kraton yang disediakan khusus untuk mereka.

Menariknya, sebahagian daripada Kraton seluas 14 hektar itu dibuka untuk lawatan orang ramai yang ingin mengenali dengan lebih dekat keluarga diraja Jogjakarta.

Selain itu, beberapa destinasi yang wajib dikunjungi ialah Candi Borobudur yang disenaraikan dalam tujuh binaan ajaib dunia, bukan sahaja kerana binaannya yang cantik, tetapi juga teknologi yang digunakan bagi membina candi itu dikatakan melampaui zamannya.

Jangan lupa untuk berkunjung ke Candi Parambanan yang tidak kurang hebatnya. Berbeza dengan Candi Borobudur yang terletak kira-kira dua jam perjalanan menaiki kereta dari bandar Jogjakarta, Candi Parambanan pula berada dalam kawasan bandar Jogjakarta tidak jauh dari Kraton.

Bagaimanapun, jika hendak berkunjung ke semua destinasi berkenaan, empat hari tidak mencukupi kerana kebanyakan masa anda akan berada di dalam kenderaan berikutan lokasi pelancongan yang jauh antara satu destinasi ke satu destinasi.

Pengunjung perlu menyewa kenderaan pacuan empat roda untuk ke Lereng Merapi dan Pantai Timang berikutan keadaan jalan. Gambar NSTP/AFENDI

Tidak keterlaluan juga jika dikatakan lawatan ke Jogjakarta adalah pengembaraan yang lasak kerana membabitkan perjalanan yang jauh, selain memerlukan pengunjung berjalan termasuk mendaki bukit dari pintu masuk atau kaunter tiket untuk ke lokasi dinyatakan.

Di beberapa lokasi seperti Pantai Timang dan Lereng Merapi, pengunjung perlu menyewa kenderaan pacuan empat roda kerana jalannya yang tidak sesuai untuk kenderaan biasa.

Bagaimanapun, Jogjakarta bukan kota beli-belah seperti Jakarta atau Bandung, sebaliknya destinasi pelancongan yang memberikan anda pengembaraan untuk mengenali budaya Jawa dan merakam memori indah di negeri bersejarah itu.

Perkara yang penting, pelancong perlu menyediakan wang rupiah mencukupi bagi membayar yuran masuk ke setiap lokasi yang berharga antara 2,000 Rupiah (60 sen) sehingga 350,000 Rupiah (RM105). Ketika ini (awal 2020) pertukaran mata wang  Ringgit Malaysia-Rupiah adalah kira-kira RM300 bagi setiap 1 juta Rupiah.

Berikut disenaraikan 10 destinasi menarik untuk dikunjungi jika Jogjakarta menjadi pilihan anda:

1. Candi Borobudur

Candi Borobudur tarikan utama pelancong ke Jogjakarta. Gambar NSTP/Afendi

Candi atau kuil ini dibina pada kurun ke-9 di daerah Magelang di Jawa Tengah. Borobudur ialah kuil terbesar di dunia bagi penganut Buddha yang menampilkan 504 patung Buddha dengan satu kubah besar di tengahnya.

Perjalanan menaiki kenderaan dari Jogjakarta mengambil masa lebih dua jam dan anda pasti kagum melihat kawasan kampung yang kebanyakannya masih bersifat tradisional di sepanjang perjalanan.

Di Candi Borobudur, selepas membayar yuran masuk, pengunjung perlu berjalanan kaki sejauh 500 meter ke pintu barat Borobudur. Bagi yang tidak sanggup berjalan jauh khususnya dalam cuaca panas, ada disediakan kenderaan iaitu tayo atau bugi (buggy) dan kereta kuda dengan membayar antara 15,000 Rupiah (RM4.50) hingga 25,000 Rupiah (RM7.50) seorang bergantung pada kenderaan disediakan.

Pengunjung perlu menaiki kira-kira 100 anak tangga untuk sampai ke puncak Borobudur. Gambar NSTP/AFENDI

Bagi memudahkan perjalanan pelawat, mereka dikehendaki masuk menerusi tangga di barat candi berkenaan dan pengunjung perlu mendaki lebih 100 anak tangga untuk ke puncak sebelum keluar di pintu timur, namun ada pelbagai tempat menarik untuk merakam gambar sepanjang pendakian itu.

Bagi mendapatkan pemandangan indah, datang pada awal pagi atau petang, selain boleh mengelakkan panas terik pada waktu tengah hari. Kuil ini masih digunakan terutama pada Hari Wesak apabila penganut Buddha akan berarak sejauh satu kilometer ke Borobudur.

Bayaran masuk: 350,000 Rupiah (RM105).

2. Candi Parambanan

Candi Parambanan menjadi kebanggan penganut Hindu di Jogjakarta. Gambar Klook.

Kuil ini dikatakan dibina pada kurun ke-9 oleh penganut Hindu dan menampilkan beberapa kuil yang dikatakan dibina mengelilingi tiga kuil utama menggambarkan tiga dewa Hindu, iaitu Brahman (dewa pencipta), Vishnu (dewa pelindung) dan Siva (dewa pemusnah),

Begitu pun, kuil terbesar ialah kuil Siva, malah pengkaji menyatakan nama asal Prambanan ialah Siwagrha yang bermaksud Rumah Dewa Siva. Seperti Candi Borobudur, Parambanan juga menampilkan pelbagai elemen dan binaan menarik yang pasti mengagumkan pengunjung.

Meskipun pengkaji sejarah masih kurang pasti tarikh sebenar candi ini dibina, kebanyakannya bersetuju ia dibina sekitar kurun ke-9, sama seperti Borobudur,

Bayaran masuk: 300,000 Rupiah (RM90).

3. Lereng Merapi

Pengunjung perlu menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk mengunjungi Lereng Merapi (kelihatan di belakang). Gambar NSTP/AFENDI

Jika berkunjung ke Jogjakarta, lokasi wajib dikunjungi ialah Lereng Merapi yang menjadi nadi masyarakat Jogjakarta. Gunung yang masih aktif itu dikatakan meletus setiap empat tahun dengan letusan terbesarnya adalah pada tahun 2006 dan 2010 yang menyebabkan ramai penduduk hilang tempat tinggal.

Bagaimanapun, dikatakan selepas letusan besar pada 2010, Lereng Merapi tidak lagi memuntahkan laharnya. Sejak itu ada beberapa gegeran kecil dan pada 2018, Indonesia menjangkakan Lereng Merapi kembali meletus, namun hanya berlaku gegaran kecil.

Gunung ini dianggap keramat bagi penduduknya, malah Kraton Jogjakarta berada di tengah garisan lurus antara gunung berkenaan dengan Lautan Hindi. Kedudukan garisan yang menempatkan gunung, istana dan lautan itu sebagai simbolik kepercayaan masyarakat tempatan perkaitan antara gunung, laut dan keluarga diraja yang dianggap suci.

Ada beberapa lokasi menarik untuk pengunjung merakam gambar, malah penduduk sekitar turut membina beberapa binaan iaitu The Lost Castle yang menampilkan bangunan seperti istana kecil dan Stonehenge yang menyamai susunan batu Stonehenge di Wiltshire, England dan .

Antara tinggalan perabot dalam rumah masyarakat di Lereng Merapi yang musnah akibat letusan pada tahun 2010. Gambar NSTP/AFENDI

Pelancong juga boleh mengunjungi Muzium Merapi yang menempatkan kesan letusan Merapi pada 2010. Muzium berkenaan adalah tinggalan rumah yang musnah bukan akibat lahar, sebaliknya asap yang berapi ketika Merapi meletus dan memusnahkan rumah, harta benda serta lembu ternakan penghuninya yang turut dipamerkan.

Jangan lupa untuk mengunjungi Bunker Kaliadem yang dibina kerajaan bagi menempatkan pelancong jika berlaku letusan tidak dijangka. Di kawasan ini, pengunjung berpeluang membeli pelbagai cenderamata untuk dibawa pulang.

Untuk melawat Lereng Merapi, pengunjung perlu menaiki jip atau kenderaan pacuan empat roda yang disediakan dengan bayaran kira-kira 200,000 rupiah (RM60) seorang.

Bayaran masuk: Terdapat beberapa kaunter masuk yang memerlukan bayaran antara 2,000 rupiah (RM0.60) hingga rupiah (RM1.50) bagi setiap pengunjung  dan setiap lokasi mengenakan bayaran!

4. Pantai Timang

Penulis merakam kenangan di tebing Pantai Timang berlatarbelakangkan pemandangan indah ombak besar menghempas tebing. Gambar NSTP/AFENDI

Pantai Timang yang terletak di Gunung Kidul menawarkan pengalaman paling mengujakan. Pelancong berpeluang menaiki gondola ke pulau kecil Watu Panjang dengan merentas laut yang berombak besar sejauh kira-kira 100 meter.

Destinasi pelancongan baharu di Jogjakarta itu sebenarnya dibina penduduk kampung di Pantai Timang pada 1997 untuk kegunaan orang kampung ke Watu Panjang yang dikatakan menjadi kediaman udang kara sebagai punca rezeki masyarakat setempat.

Sebelum gondola dibina untuk memudahkan orang kampung merentas ke Watu Panjang, penduduk kampung bersabung nyawa berenang merentas ombak besar yang menghempas tebing Pantai Timang untuk menangkap udang kara di Watu Panjang.

Gondola yang dibina masyarakat kampung di Pantai Timang kini menjadi tarikan pelancong ke Jogjakarta. Gambar NSTP/AFENDI

Apabila semakin ramai pelancong datang untuk menaiki gondola ke Watu Panjang, penduduk menaik taraf gondola berkenaan pada tahun 2015 dan mula mengenakan bayaran. Memandangkan gondola itu hanya inisiatif masyarakat kampung, mereka menggunakan apa sahaja yang ada termasuk menggunakan sport rim tayar motosikal sebagai takal bagi menarik gondola berkenaan.

Di situ ada pelbagai sudut menarik bagi pelancong yang pasti tidak mahu melepaskan detik untuk merakamkan pemandangan indah berlatarbelakangkan ombak besar menghempas tebing Pantai Timang.

Bayaran: Selain perlu membayar tiket pacuan empat roda 100,000 rupiah (RM30) seorang, pelancong juga perlu membayar tiket menaiki gondala 200,000 rupiah (RM60) seorang.

5. Kraton

Balai di satu sudut Kraton yang menjadi dewan bagi penganjuran majlis. Tiang berkenaan dihiasi hiasan daripada emas tulen. Gambar NSTP/AFENDI

Istana yang menjadi simbol kebudayaan masyarakat Jawa itu terdiri daripada beberapa bangunan yang merangkumi kediaman keluarga diraja dan juga muzium yang menempatkan sejarah kesultanan Jogjakarta.

Orang ramai boleh melawat muzium diraja dalam Kraton berkenaan, selain diberi peluang melihat balai yang menempatkan tiang seri dihiasi corak diperbuat daripada emas tulen.

Antara bilik yang menjadi muzium di Kraton ini turut diperbuat daripada emas tulen. Gambar NSTP/AFENDI.

Jangan lupa untuk mengunjungi muzium khusus yang menempatkan barangan Almarhum Sultan Hamengkubuwono IX. Baginda antara pejuang penting dalam sejarah Indonesia yang membantu membebaskan Indonesia daripada penjajahan Belanda dan diangkat sebagai Naib Presiden negara itu.

Istana berkenaan mempunyai 3,000 kakitangan dan sebahagian daripadanya menjadi pemandu pelancong kepada pengunjung, manakala sebahagian lagi ialah kakitangan yang ditugaskan melaksanakan aktiviti kebudayaan. Jangan terkejut jika melihat kebanyakan kakitangan berkenaan tidak memakai kasut kerana itu adalah sebahagian daripada peraturan di Istana.

Bayaran masuk: 15,000 rupiah dan 1,000 rupiah lagi untuk mengambil gambar

6. Gua Pindul

Bahagian dalam Gua Pindul yang indah menjadi tarikan pelancong. Gambar Travel Wisata

Jika berhajat untuk mengunjungi Gua Pindul, pastikan anda menyediakan sepersalinan pakaian kerana kunjungan ke gua berkenaan memerlukan anda menaiki pelampung melalui sungai untuk melihat keindahan di dalam gua.

Terletak di Guning Kidul tidak jauh dari Pantai Timang, Gua Pindul antara aktiviti yang menyeronokkan bagi pencinta alam.

Pelancong akan menaiki pelampung untuk masuk ke gua berkenaan dan berpeluang melihat stalaktit dan stalagmit yang terhasil ribuan tahun.

Bayaran masuk: 45,000 rupiah (kira-kira RM14)

7. Hutan Pinus

Antara binaan buatan manusia yang menjadi tarikan pengunjung di Hutan Pinus. Gambar NSTP/AFENDI

Bagi pencinta alam, kunjungan ke Hutan Pinus pasti dinantikan. Pengunjung dinasihatkan untuk datang ke kawasan ini pada waktu petang kerana pemandangan yang dirakam amat indah sekali seolah-olah berada di Eropah dengan berlatarkan langit indah pada waktu senja.

Satu lagi lokasi menarik di Hutan Pinus. Gambar NSTP/AFENDI

Terdapat beberapa lokasi menarik untuk dikunjungi jika anda seorang pengguna tegar media sosial. Antaranya Kebun Buah Manganan di Hutan Pinus yang mana anda berpeluang mengabadikan gambar di satu kawasan tinggi seolah-olah berdiri di atas gumpulan awan.

Bayaran masuk: 5,000 rupiah

8. Rumah Hobbit

Rumah Hobbit yang dibina sebagai tarikan pelancong di Hutan Pinus. Gambar NSTP/AFENDI

Masih dalam kawasan Hutan Pinus, pelancong boleh mengabadikan gambar di Rumah Hobbit yang sinonim dengan filem Lord of The Ring. Terdapat beberapa rumah yang dibina seolah-olah untuk kediaman manusia Hobbit.

Pemandangan indah di sekitarnya membuatkan pelancong berasa seolah-oleh berada di alam lain.

Bayaran masuk: 5,000 rupiah

9. Sangga Langit

Pengunjung perlu mendaki sejauh hampir 500 meter untuk sampai ke Sangga Langit, namun pemandangannya amat berbaloi. Gambar NSTP/AFENDI

Tidak jauh dari Rumah Hobbit, pengunjung boleh berjalan kaki mendaki sehingga 500 meter untuk merakamkan gambar di Sangga Langit. Memang penat, tetapi berbaloi kerana pelancong berpeluang merakam gambar berlatar belakangkan alam semula jadi dan di kejauhan kelihatan bandar Jogjakarta.

Bayaran masuk: 5,000 rupiah

10. Tebing Breksi

Tebing Breksi antara tarikan baharu di Jogjakarta yang berasal dari kuari bukit kapur putih. Gambar 3.bp.blogspot.com

Pertama kali melihat  Tebing Breksi, sesiapa saja pasti kagum melihat bukit batu kapur yang ditarah ini. Difahamkan, lokasi menarik untuk merakam gambar ini sebenarnya kuari yang dihentikan operasi kerana berada dalam kawasan kebudayaan di Jogjakarta.

Kini, Tebing Breksi menjadi lokasi wajib untuk dikunjungi kerana selain latar belakangnya yang cantik untuk dirakam, pengunjung juga boleh melihat lereng merapi dan Candi Parambanan dari kejauhan.

Terletak di Sleman, lokasi ini menjadi destinasi pelancongan terkini di Jogkajarta yang menjanjikan gambar anda menarik dan mengagumkan.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Thu, 26 Jan 2023

Mohon Doa Peminat, Zizi Kirana & Yusuf Bahrin Tunai Umrah

Penyanyi terkenal, Zizi Kirana bersama suami, pelakon Yusuf Bahrin berangkat ke Tanah Suci menunaikan ibadah umrah.   View this post on Instagram   A post shared by KIRANA (@zizi_kirana) Menerusi hantaran Zizi di laman Instagram […]

Featured Thu, 25 Aug 2022

Tauke Cili Berjaya, Ella Bersyukur Dilantik Sebagai Figura Peladang

Alhamdulillah tahniah! Ella rasa Ella sukaaa..

Featured Thu, 11 Aug 2022

Gara-Gara Video Berunsur L*cah, PU Syed Beri Teguran Buat Aliff Syukri – “Bayangkan Anak Kamu…”

Fikir soal kematian, sedia ke nak tanggung dosa penonton – PU Syed

Featured Fri, 28 Oct 2022

“Kalau Kenen Gurau Tak Apa, Jangan Pula…” – Peminat Suka Gandingan Khai Bahar & Hawa Rizwana

Penyanyi dan pelakon, Khai Bahar sudah memahami permainan netizen yang suka mengaitkan dia menjalin cinta dengan wanita disekitarnya. Baru-baru ini, peminat telah mengaitkan Khai dengan pengacara dan penyampai berita, Hawa Rizwana. Namun, pelantun lagu Bayang […]

Featured Mon, 8 Nov 2021

Abang Ditikam Adik Apabila Tegur Tunggang Motosikal Tanpa Pengetahuan

Seorang lelaki cedera parah ditikam oleh adiknya menggunakan pisau lipat kerana menegur remaja itu keluar menunggang motosikal tanpa memberitahu kakaknya pada Ahad. Menurut laman Berita Harian, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima maklumat […]