Featured By: tex_admin December 19, 2019 @ 9:51am

5 perkara mengenai derma organ kita perlu tahu

Oleh Amnan Hibrahim

Apabila menyebut perkataan menderma organ, apakah yang lazimnya timbul dalam fikiran masyarakat kita? Daripada dikebumikan dalam keadaan cacat sehinggalah diskriminasi yang akan diterima penderma ketika mendapatkan rawatan jika dikenal pasti telah berikrar sebagai penderma organ, itulah antara persepsi negatif yang timbul dalam fikiran masyarakat kebanyakan.

Hal di atas bukanlah agakan yang tidak berasas, tetapi perkara berkenaan telah dibuktikan dalam satu kajian yang dikeluarkan oleh Hong Kong Journal Emergency Medicine, yang berusaha untuk  mengenal pasti perbezaan sikap terhadap aktiviti menderma organ dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. 

Dalam laporan The Star berkenaan, turut dikongsikan adalah tinjauan yang dilakukan terhadap orang Melayu Islam di Malaysia bertajuk “Organ Donation in Muslim Countries: The Case of Malaysia.”  Dalam kajian berkenaan, mereka mendapati kekurangan maklumat adalah sebab utama mengapa masyarakat Malaysia kurang sedar akan kepentingan menjadi penderma organ.

Dengan meningkatnya permintaan khususnya buat penghidap penyakit buah pinggang, yang menunjukkan peningkatan sebanyak 1,000 orang pesakit setiap tahun, adalah menjadi keperluan untuk setiap daripada rakyat Malaysia bagi terlibat sama membantu individu yang memerlukan dengan mendaftarkan diri sebagai penderma organ.

Pesakit buah pinggang adalah antara golongan tertinggi yang memerlukan rawatan pemindahan organ. NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Sehubungan itu, adalah penting untuk masyrakat Malaysia mengetahui dengan lebih lanjut lagi berkenaan dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan menderma organ.

1.Bukan orang mati sahaja yang boleh menderma

Terdapat dua jenis penderma iaitu penderma hidup dan penderma kadaverik. Penderma semasa hidup lazimnya terdiri daripada individu yang mempunyai pertalian darah ataupun hubungan emosi dengan si penerimanya. Hal yang demikian diambil kira bagi mengelakkan berlakunya kegiatan jual beli organ.

Bagi penderma hidup, mereka hanya boleh mendermakan satu buah pinggang dan sebahagian daripada hati mereka sahaja.

Sementara itu, penderma kadaverik ataupun penderma yang telah meninggal dunia terbahagi kepada dua iaitu meninggal dunia akibat kematian otak dan kematian jantung berhenti berdegup.

Bagi penderma yang meninggal akibat kematian otak, mereka boleh mendermakan organ dan tisu seperti jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, mata, tulang dan kulit. Kematian otak berlaku apabila bahagian otak yang mengawal aktiviti pernafasan dan degupan gantung tidak berfungsi kerana pemberhentian pengaliran darah ke otak.

Sebelum pengesahan kematian penderma, yang hanya boleh disahkan di hospital itu, pesakit yang mengalami kematian otak akan dibantu dengan alat bantuan pernafasan. Mesin bantuan pernafasan akan hanya diberhentikan selepas sijil pengesahan dikeluarkan.

Bagi penderma organ yang kematian otak, mesin akan diberhentikan di dewan bedah sebelum organ diperolehi. Untuk yang selain daripada pendermaan organ, mesin akan diberhentikan di Unit Rawatan Rapi.

Sementara itu, bagi penderma yang mengalami kematian normal ataupun kematian jantung berhenti berdegup, mereka hanya boleh mendermakan tisu seperti mata, tulang, kulit dan inap jantung.

Bagi yang meninggal di hospital, mereka boleh mendermakan semua jenis tisu, manakala untuk yang meninggal di rumah, bahagian tisu yang boleh didermakan hanyalah bahagian kornea mata. Untuk itu, pihak keluarga perlu menghubungi hospital kerajaan terdekat bagi proses pemerolehan tisu berkenaan di rumah.

2.Apakah organ yang boleh didermakan

Tidak semua organ di dalam tubuh seseorang boleh didermakan. Gambar hiasan/NSTP/Amirudin Sahib

Pendermaan organ adalah proses yang melibatkan pengambilan sebahagian organ ataupun tisu daripada tubuh seseorang untuk dipindahkan kepada orang lain yang memerlukan.

Antara organ yang boleh didermakan adalah:

  • Jantung
  • Paru-paru
  • Hati
  • Buah Pinggang

Selain itu, bahagian tisu yang boleh didermakan adalah:

  • Injap jantung
  • Mata 
  • Tulang
  • Kulit

3. Apa kata fatwa

Fatwa Kebangsaan yang diputuskan pada tahun 1970 menyatakan bagi seseorang yang telah mati, adalah harus hukumnya di dalam Islam baginya untuk mendermakan organ jantung dan mata bagi tujuan pemindahan.

Dalam fatwa berkenaan, terdapat empat pertimbangan yang digariskan iaitu:

  • Di dalam keadaan terdesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya
  • Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya
  • Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya
  • Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya di dalam kematian akibat kemalangan

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan di laman webnya pula menyatakan bahawa adalah harus bagi seseorang yang sudah mati mahupun hidup untuk mendermakan organ mereka kepada orang yang memerlukan.

Turut dikongsikan dalam kenyataan berkenaan adalah empat syarat yang telah ditetapkan oleh ulama yang mengeluarkan fatwa berkenaan pemindahan organ manusia iaitu:

  • Hendaklah orang yang diambil sebahagian anggotanya telah mengizinkannya sebelum matinya dan dia adalah seorang yang berakal waras, sudah baligh dan tidak ada paksaan atau telah diizinkan oleh walinya sebelum kematiannya
  • Hendaklah terbukti dan meyakinkan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan lain
  • Hendaklah dipastikan bahawa pemindahan itu semata-mata untuk berubat dan bukan untuk maksud dan tujuan lain
  • Tidak ada unsur kontrak jual beli dalam pemindahan organ berkenaan

4. Siapa yang layak menderma dan caranya

Semua individu boleh mendaftar sebagai penderma melainkan mereka menghidap beberapa penyakit berjangkit. Gambar hiasan/NSTP/ABDULLAH YUSOF

Setiap individu boleh menjadi penderma organ dengan syarat meraka itu tidak menghidap sebarang penyakit berjangkit seperti HIV/AIDS, Hepatits B dan C, Siflis. Bagi yang berumur bawah 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ahli keluarga sekiranya mereka mahu mendaftar sebagai penderma organ.

Untuk yang berminat mendaftar sebagai penderma organ, mereka hanya perlu pergi ke hospital kerajaan yang berdekatan dan mengisis borang pendaftaran pengikrar penderma organ.

Pendaftaran menerusi atas talian juga turut disediakan. Mereka hanya perlu pergi ke www.dermaorgan.gov.my/daftar untuk mendaftar. Bagi yang sudah mendaftar, mereka akan diberi kad yang mengesahkan bahawa mereka telah berikrar untuk menjadi penderma organ.

5. Maklumkan kepada ahli keluarga, kalau tidak sia-sia

Di Malaysia, lebih kurang 80 peratus pendaftar tidak dapat mendermakan organ mereka kerana kekangan daripada ahli keluarga mereka. Antara sebab mengapa perkara ini berlaku adalah disebabkan oleh ketidaktahuan ahli keluarga akan hajat si mati untuk mendermakan organ selepas kematiannya.

Untuk itu, bagi individu yang telah mendaftar sebagai penderma organ, mereka dinasihatkan untuk memaklumkan kepada keluarga akan hajat mereka. Di samping itu, pihak keluarga juga perlu diberikan penerangan yang jelas berkenaan dengan apa yang akan berlaku setelah mereka mendaftar sebagai penderma organ.

Sumber: MyHEALTH

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Mon, 13 Feb 2023

Altimet Bidas Individu Pertikai Cara Penilaian Juri AJL 37

Setiap tahun mesti akan ada isu ni.. Hmm

Featured Sun, 3 May 2020

PKPB: Majikan perlu beri ruang kepada pekerja untuk mulakan tugas

Ikut jadual pergerakan yang disediakan PDRM

Featured Wed, 9 Nov 2022

Tegar Sedih Dihalau Keluar Dari Rumah Sewa, Akui Sering Ditipu

Aku yang dulu bukanlah yang sekarang…

Featured Wed, 8 Jun 2022
Featured Wed, 1 Feb 2023

Berani Kerana Benar, Bella Astilah Dedah Bukti Perbualan Dengan Sophia Albarakbah – “Please Forgive Me, I Nak Tebus Salah”

Fuhhh, makin hangat isu ni.. Betul juga cakap Bella, kenapa nak lari dari keadaan tegang?