Jika sebelum ini, ramai yang gemar berkunjung ke restoran atau kafe untuk mencuba hidangan baharu pada hujung minggu, mungkin penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini memberi peluang untuk anda memasak sendiri di rumah.
Tidak mustahil juga selepas lebih sebulan duduk di rumah, ramai yang sudah berjaya menggilap kemahiran memasak. Daripada hanya tahu menyediakan hidangan mudah, mungkin kini sudah arif memasak hidangan yang selalunya hanya dinikmati di restoran.
Hujung minggu ini, mungkin anda boleh mencuba satu lagi hidangan unik. Jika anda gemar mengumpul buku resipi, cuba cari resipi yang sedikit berbeza.
Anda juga boleh membuat carian mengenai resipi yang diidamkan dalam Internet atau YouTube, malah portal dan YouTube Hijab & Heels juga banyak berkongsi resipi untuk wanita kontemporari hari ini.
Khusus untuk penggemar masakan Cina, pelakon Adam Corrie Lee berkongsi resipi keluarganya iaitu mi kicap wantan.

Adam Corrie
Perkongsian Adam pada 9 April 2020 itu, mendapat maklum balas positif warga siber sehingga memperoleh lebih 30,000 tanda suka (Like) , malah rata-rata pengikutnya melahirkan kekaguman atas kemahiran pelakon berkenaan.
Berikut dikongsikan resipi mi kicap wantan cara Adam Corrie Lee.
a. Bahan-bahan mi:
Mi wantan
Minyak bijan secukupnya
Kicap pekat
Kicap cair
Sos tiram
Sayur sawi (siew pak choi)
Cara penyediaan:
- Leraikan mi wantan dan celur (bukan rebus) dalam air panas. Angkat dan tos mi berkenaan, masukkan ke dalam bekas serta masukkan air sejuk. Ulang langkah ini beberapa kali sehingga mi wantan tidak melekat.
- Masukkan semua bahan di atas dalam satu bekas lain, kacau sebati dan masukkan mi wantan tadi. Hidangan ini tidak perlu dimasak.
- Akhir sekali masukkan sayur sawi yang sudah dicelur dan hias dengan bawang goreng.
b. Bahan-bahan isi wantan:
Udang, dicelur atau ayam, dikisar
Daun bawang, dipotong halus
Lobak merah, dipotong halus
Sedikit tepung
Lada sulah
Sos tiram
Sedikit garam
Cara penyediaan:
- Gaul semua bahan. Anda juga boleh mencampur bawang besar ataupun cendawan, namun Adam lebih gemar membuat inti ringkas supaya inti tidak terlalu basah.
- Biarkan seketika.
c. Bahan-bahan kulit wantan:
Tepung gandum
Sedikit tepung ubi atau tepung jagung
Air panas mendidih
Sedikit garam
1 sudu besar minyak masak
Cara penyediaan:
- Masukkan kesemua tepung dalam satu bekas.
- Masukkan air panas, garam dan minyak besar. Uli sehingga lembut.
- Jadikan dalam bentuk bulat dan masukkan inti.
- Goreng wantan dalam minyak penuh.
d. Bahan-bahan sup ringkas:
Air
Lada sulah
Kiub ayam
Daun ketumbar
Bawang goreng
Cara penyediaan:
- Didihkan air seketika, masukkan lada sulah dan kiub ayam.
- Apabila sup sudah masak sepenuhnya, masukkan wantan yang sudah digoreng.
- Akhir sekali masukkan daun ketumbar dan bawang goreng.
- Hidang bersama-sama mi wantan tadi.
Gambar: Kredit Instagram @adamcorrielee