Penguasaan dalam kemahiran tertentu bukan saja mampu membuka peluang pekerjaan kepada seseorang itu, tetapi juga dapat mencipta perniagaan baharu yang akan memberi manfaat kepada lebih ramai wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif Negeri Johor, Sheikh ‘Umar Bagharib Ali, berkata kemahiran seharusnya tidak lagi dilihat sebagai inisiatf untuk menjana pendapat sampingan, sebaliknya dijadikan landasan untuk meningkatkan ekonomi ummah.
“Perkembangan pesat Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) ketika ini dilihat membuka pelbagai peluang kerjaya khususnya berkaitan kemahiran, justeru saya berharap setiap wanita menggunakan peluang yang ada untuk melengkapkan diri dengan ilmu kemahiran.
“Kita lihat hari ini ramai usahawan yang berjaya hanya dengan kemampuan menguasai kemahiran sehingga ada yang membina empayar perniagaan yang memberikan kesenangan dalam hidup,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan Bengkel Keusahawanan i-Skil Johor, di Johor Bahru, baru-baru ini.
Yang turut hadir Timbalan Pengarah Politeknik Mersing, Mohamad Yusof Sulaiman; Pengarah Institus Pendidikan Guru Kampus Temenggong Ibrahim, Mohd Zain Badui; Ketua Unit Gaya Hidup NSTP yang juga Editor Hijab & Heels, Fadzlena Jafar; wakil Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd, Siti Norizyanti Harun dan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Johor, Mohd Tarmizi A Razak.
Bengkel anjuran Politeknik Mersing itu diadakan dengan kerjasama Unit Gaya Hidup The New Straits Times Press (NSTP) menerusi portal Hijab & Heels berlangsung di Institut Pendidikan Guru, Kampus Temenggong Ibrahim, Johor Baharu pada 28 April lalu.
Kira-kira 150 peserta menghadiri bengkel sehari membabitkan Kursus Pengacaraan yang dikendalikan Noor Liza Pamuji; Kursus Lukisan Henna (Norren Samat) dan Kursus Tatarias (Nur Khaleesa Saiful Azli).
Sementara itu, Fadzlena berkata, Bengkel i-Skil Hijab & Heels itu dianjurkan bagi memberi peluang kepada wanita dan penuntut kolej atau universiti yang bercadang untuk berdikari dengan membina kerjaya sendiri.
“Tiga kursus yang kami tawarkan iaitu pengacaraan, lukisan henna dan tatarias mampu membantu peserta untuk menjana pendapatan sekiranya dimanfaatkan dengan baik oleh peserta.
“Pihak kami bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan program ini, malah mengalu-alukan penajaan daripada pelbagai agensi bagi merealisasikan usaha untuk menyediakan kemahiran yang bermanfaat ini,” katanya.