Penularan wabak COVID-19 bukan sahaja menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat, malah ia mampu memberi kesan terhadap kesihatan mental individu.
Situasi COVID-19 yang berlaku di negara ketika ini mungkin boleh menyebabkan seseorang itu ketakutan atau kegelisahan kerana bimbang wabak berkenaan akan menjangkiti diri dan keluarga.
Bukan itu sahaja, perubahan dalam pola tidur dan pemakanan juga boleh berlaku sehingga mampu menjejaskan kesihatan diri.
Tapi awas, situasi itu juga boleh berlaku kepada golongan kanak-kanak dan mungkin tidak disedari oleh golongan dewasa terutama ibu bapa.
Hal ini boleh berlaku kerana kanak-kanak mungkin sudah terbiasa dengan aktiviti di luar rumah seperti pergi ke sekolah, bermain di taman dan sebagainya sebelum ini, namun apabila tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, mereka terpaksa berkurung lama di rumah sehingga mampu memberi kesan terhadap kesihatan mental mereka.
Profesor Psikiatri berkaitan kesihatan mental dan keluarga di Duke University, Dr Robin Gurwitch, berkata kanak-kanak tidak selalunya meluahkan secara lisan akan kesukaran yang dialami mereka, justeru ibu bapa perlu sentiasa memantau keadaan atau perubahan yang berlaku pada anak mereka.
“Apabila kanak-kanak tertekan, ia selalunya ditunjukkan melalui perubahan fisiologi, emosi serta tingkah laku. Ibu bapa perlu memahami perubahan atau sebarang tanda kesihatan mental yang berlaku kepada kanak-kanak,” katanya.
Berikut ialah tanda anak mungkin mengalami tekanan atau kemurungan yang ibu bapa perlu beri perhatian bagi membantu mengurangkan kebimbangan mereka dalam mengharungi situasi yang berlaku ketika ini.
1. Terlalu rapat atau sentiasa ingin melekat dengan ibu bapa
Jika anak sentiasa mengekori, tidak boleh berjauhan, tidak mahu berpisah atau pendek kata sentiasa berkepit dengan ibu bapa di luar kebiasaan, itu mungkin antara tanda gangguan kesihatan mental.
Anak mungkin takut atau gusar kehilangan ibu bapanya, justeru ibu bapa perlu melakukan sesuatu seperti meluangkan masa bersama-sama, beri pelukan serta ciuman bagi membuatkan mereka tahu anda sayang dan sentiasa ada di sisi mereka.
2. Perubahan emosi dan perlakuan
Menurut perkongsian pakar psikologi klinikal, Dr John Mayer, anak yang kemurungan mungkin akan mula membuat perangai atau sebarang tabiat agresif. Mereka mungkin cenderung melanggar arahan ibu bapa.
Emosi mereka juga terganggu seperti mudah marah secara tiba-tiba, cepat merajuk, mudah menangis, lebih gemar mengasingkan diri dan hilang minat melakukan perkara yang disukai. Ibu bapa perlu bertenang dan cuba fahami keadaan tekanan yang dialami anak. Jangan terus memarahi anak kerana ia mungkin akan menjejaskan lagi keadaan kesihatan mental mereka.
3. Perubahan pola makanan
Menerusi laman Huffpost, seorang terapi kanak-kanak dan pemilik AnxiousToddler.com, Natasha Daniels, berkata kanak-kanak yang mengalami kemurungan mungkin akan mengalami perubahan selera makan seperti hilang selera makan dan mengamal pemakanan tidak sihat.
4. Masalah tidur
Kemurungan boleh membuatkan seseorang itu mengalami masalah tidur. Apabila berdepan tekanan, tidur mereka akan terganggu dan mungkin akan mengalami imsonia sehingga boleh membawa kepada permasalahan kesihatan yang lain.
Tindak balas terhadap keadaan COVID-19 pastinya berbeza dengan individu lain, justeru ibu bapa perlu peka dengan perubahan yang dialami anak bagi membantu mengurangkan kebimbangan dan kegelisahan yang mereka hadapi.
Kredit sumber: Hello Doktor & Huffpost