Featured By: Fadzlena Jafar March 29, 2020 @ 9:39pm

Dr Noor Hisham umpama lilin membakar diri 

Sejak wabak novel koronavirus (COVID-19) melanda negara Januari lalu, nama Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mula menjadi sebutan dari mulut ke mulut setiap lapisan masyarakat di negara ini.

Penampilannya di skrin televisyen setiap jam 5 petang, sering dinantikan hampir 30 juta rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan maklumat terkini mengenai  COVID-19.

Difahamkan, sejak wabak itu melanda, jadual hariannya begitu sibuk dengan menghadiri pelbagai mesyuarat dan perbincangan dari awal pagi hingga ke larut malam, termasuk pada hujung minggu.

Pelbagai mesyuarat perlu dihadiri Dr Noor Hisham termasuk memberikan taklimat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. (Gambar hiasan/NSTP)

Beliau juga aktif di laman sosial dengan memberikan pelbagai maklumat mengenai COVID-19 yang sentiasa dikemas kini sehingga awal pagi. 

Meskipun kebelakangan ini ada riak keletihan pada wajahnya, tidak pernah sekali pun beliau menunjukkannya, malah terus setia menjawab pelbagai soalan media.

Kepetahannya menjawab soalan demi soalan membabitkan COVID-19 dikagumi dan dipuji warganet sehingga ada komen nakal yang mencadangkan supaya Ketua Pengarah Kesihatan itu dilantik Menteri Kesihatan.

Manakan tidak, setiap soalan pasti dijawab dengan berhemah dan penuh maklumat, sekali gus menunjukkan pengalaman luasnya dalam bidang berkenaan.

Tidak kurang juga ramai yang memberikan penghargaan dan mendoakan kesejahteraan beliau serta semua petugas barisan hadapan yang dianggap wira negara. 

Bagaimanapun, dalam kalangan wartawan yang menulis mengenai isu kesihatan, pakar bedah itu sangat popular sejak akhir 1990-an lagi.

Ketika itu, beliau menjawat jawatan Ketua Unit Pembedahan Payudara Endokrin di Jabatan Pembedahan Hospital Kuala Lumpur (bermula 1998) dan sering memberikan taklimat atau ceramah mengenai isu terkini membabitkan kanser payudara.

Pelbagai pengalaman menemu bualnya mengenai penyakit yang dianggap pembunuh utama wanita itu, amat menyenangkan. Dianggap doktor yang mesra media, Dr Noor Hisham amat mudah didekati dan sentiasa tenang menjawab soalan.

Beliau juga bijak memberikan penerangan mengenai isu kesihatan dalam bahasa yang mudah untuk difahami, mungkin memahami kebanyakan wartawan sememangnya tidak mempunyai asas dalam bidang perubatan. Pendek kata, beliau memudahkan tugas kami sebagai penulis.

Sehubungan itu, tidak mengejutkan apabila beliau dilantik memegang jawatan Ketua Jabatan Pembedahan Payudara Endokrin dan Pembedahan Am di Hospital Putrajaya pada 16 Ogos 2002, terutama apabila hospital itu dijadikan pusat rujukan kanser payudara negara.

Sebelum dilantik ke jawatan Ketua Pengarah Kesihatan pada 1 Mac 2013, Dr Noor Hisham terlebih dahulu memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan bermula 1 Februari 2008.

Dr Noor Hisham Abdullah ketika hadir sidang media berhubung keadaan semasa jangkitan COVID-19 di Putrajaya. Turut kelihatan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon. (Gambar NSTP/MOHD FADLI HAMZAH)

Dr Noor Hisham memperoleh Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran Perubatan dalam Pembedahan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988 dan seterusnya menjadi Pakar Pembedahan Am di Hospital Kuala Terengganu pada 1994.

Beliau kemudian menjalani latihan dalam Pembedahan Payudara Endokrin di Royal Adelaide and Queen Elizabeth Hospital, University of Adelaide, Australia pada 1994, diikuti latihan dalam Pembedahan Endokrin di Royal North Shore Hospital, University of Sydney, Australia.

Berbekalkan pengalamannya itu termasuk pembabitan dalam rawatan kanser payudara di negara ini, Dr Noor Hisham menghasilkan pelbagai artikel mengenai pembedahan endokrin dalam jurnal perubatan tempatan serta antarabangsa.

Kepakarannya dalam bidang berkenaan menyebabkan beliau dilantik memegang pelbagai tanggungjawab antarabangsa dan pada Ogos 2017, Dr Noor Hisham dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi Jawatankuasa Eksekutif Komuniti Pakar Bedah Antarabangsa (ISS) untuk lima tahun (2017-2019, 2019-21).

Semoga Dr Noor Hisham dan semua petugas barisan hadapan yang berkorban masa serta tenaga, berhujan dan berpanas bagi membendung wabak COVID-19 yang kini sudah meragut 34 nyawa di Malaysia, diberi ganjaran sewajarnya.  

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Mon, 30 Jan 2023
Featured Thu, 4 Feb 2021
Featured Fri, 5 May 2023

“Ridzuan Hashim Rahsia Derita Sakit Jantung, Tak Mahu Hilang Job” – Didie Alias

Allahu Akbar! Moga arwah ditempatkan dalam kalangan yang beriman dan beramal soleh!

Gaya Hidup Mon, 19 Feb 2018

8 Ragam Wanita Yang Bikin Lelaki ‘Turn Off’ Dan Menyesal Dating Dengan Anda

Tetapi awas, lelaki biasanya mudah turn off dengan wanita yang banyak ragam!

Featured Wed, 5 Apr 2023
Gaya Hidup Tue, 15 Jan 2019
Gaya Hidup Wed, 17 Jan 2018

Bahaya Tidur Lewat Untuk Wanita!

Semua orang tahu tidur sangat penting untuk kesihatan tubuh badan, namun masih ramai yang memandang ringan mengenai perkara ini. Biarpun disarankan sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan jam sehari untuk waktu tidur, namun dek kesibukan rutin kerja […]