Featured By: Yanie Baharom August 1, 2019 @ 10:00am

Figura Edisi Merdeka, Ogos 2019: Deskripsi Jiwa Merdeka Sarah Hildebrand

Sehangat namanya, Sarah Hildebrand srikandi seni yang semakin mencuri perhatian ramai. Menelusuri laluan yang tidak mudah, paras menawannya sentiasa sahaja mengundang keraguan umum, apakah gadis ini benar-benar berbakat?

Bagaimanapun watak Nadine, suatu permainan karakter yang pernah didukungnya begitu melekat dan merubah tanggapan ramai. Sempena Figura edisi Merdeka, gadis berbintang Leo yang bakal meraikan usia ke-29 pada 18 Ogos ini, sempat berkongsi tip bagaimana wanita harus bangkit daripada satu kegagalan menjurus konteks percintaan juga definisi kebebasan baginya.

Baru-baru ini, gadis kacukan Amerika (sebelah bapa) dan Melayu (ibu) itu sempat membuat pendedahan terbuka di Instagram, berhubung perpisahannya dengan teman lelaki yang terjalin selama lima tahun.

Antara luahan gadis mesra disapa Sarah ini, dia sering dihina, dipersalahkan dan dibuli. Malah dituduh berlaku curang dan dikatakan sanggup melakukan perkara di luar tabii terhadap pengurusnya demi mengejar populariti. 

Malah bekas teman lelakinya sering sahaja mengelak untuk membicarakan soal kahwin.  Sekian lama membiarkan dirinya ditindas, akhirnya pada Februari lalu, Sarah menoktahkan hubungan mereka dan mengakui itu adalah keputusan terbaik pernah dilakukannya! 

Pengakuan paling terbuka sepanjang temu bual bersama Hijab & Heels (H&H) ialah apabila model, pelakon dan pengacara ini mengakui tidak pernah mencium tikar sembahyang sehingga akhirnya menemukan hidayah yang membawa perubahan dalam hidupnya hari ini.

Selanjutnya, ikuti temu bual penuh penulis NORHADIANI BAHAROM

 

H&H: Ceritakan bagaimana pembabitan anda dalam bidang seni bermula?

Sarah: Pada 2014, di mana saya bermula sebagai model sebelum menyertai Gadis M2. Tidak lama selepas memenangi pertandingan itu saya mula menceburi bidang pengacaraan dan lakonan. 

H&H: Tahun lalu memperlihatkan karier lakonan anda semakin bersinar, adakah anda melalui jalan sukar untuk membina nama. Selain itu watak yang menaikkan nama anda?

Sarah: Susah dan agak perlahan berbanding dengan rakan seangkatan lain yang tampak lebih mudah menaikkan nama. 

Produser panggil uji bakat, kemudian tak jadi ambil, itu sudah menjadi perkara biasa. Mungkin kerana adanya persaingan menyebabkan beberapa kali terlepas peluang. 

Barangkali ada kekurangan sana dan sini. Tetapi Alhamdulillah rezeki Allah SWT, saya diberikan watak Nadine, menerusi drama Pujaan Hati Kanda. 

Kuatnya watak Nadine, sehinggakan di luar pun saya disapa dengan nama itu. Ia satu kepuasan apabila watak lakonan kita meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton.

Pengalaman di set, sejujurnya penat sebab nak kena marah-marah ni tapi seronok dapat jadi watak macam kurang ajar, diva sedangkan saya bukan macam itu di luar.

Saya juga pernah dimarahi pengarah sampaikan tak tahu nak cakap dan rasa apa, yang pasti saya sedar teguran itu adalah untuk kebaikan sendiri. Di hadapan orang saya pura-pura okay, tapi dalam kereta menangis! 

H&H: Susah atau tidak untuk anda buktikan bakat di sebalik wajah yang cantik? 

Sarah: Selalu sahaja orang meragui bakat saya, pada fikiran mereka muka sahaja cantik tapi apa yang boleh saya lakukan? 

Iyalah muka campuran mat salih, orang selalu pandang sebelah mata jadi saya memang terpaksa bekerja keras untuk buktikan kepada umum yang saya punya bakat, bukan hanya sekadar ini (menghalakan jari ke mukanya). 

Jujur, saya tidaklah rasa saya cantik sangat! 

Apapun sama ada muka campuran atau tidak, penyamaran karakter itu boleh dilakukan melalui teknik solekan, cara kita berpakaian selain kemampuan seseorang pelakon untuk menjiwai watak yang diberikan. 

H&H: Setiap pelakon pasti ada watak idaman. Apa lagi watak yang mahu dilakonkan anda?

Sarah: Setakat ini sudah dapat jadi antagonis, juga anggota badan berpakaian seragam iaitu bomba. Selepas ini saya mahu mencuba pula watak komedi, atau orang gila ke? Ataupun watak antagonis yang bukan diva, sebaliknya betul-betul sakit otak, jahat! Rupa saja pakai tudung tapi hati hitam legam, busuk! 

H&H: Umum tahu, Februari yang lalu hubungan anda dan Nabil Mahir berakhir selepas lima tahun menjalinkan hubungan. Tip untuk wanita move on daripada suatu perpisahan? 

Sarah: Saya belajar satu perkara, bila kita (wanita) mencintai seseorang, kita mencintai sepenuh hati kita. Biasalah orang perempuan kan! Saya tak kata lelaki tidak menyayangi sepenuh hati mereka, cuma wanita lebih mendalam. Kita bila sudah sayang, kita korbankan segala hati perasaan kita hingga lupa untuk menjaga hati sendiri. 

Perkara yang perlu kita buat saat menghadapi perpisahan, kita perlu sedar kepentingan untuk menyayangi diri sendiri terlebih dulu. Pasti ada sebab disebalik perpisahan yang berlaku. Mungkin sudah sampai masa harus mengutamakan perasaan sendiri, menyayangi diri bagi memudahkan anda untuk meneruskan hidup dan menjadi seorang wanita yang lebih kuat.

H&H: Berapa lama masa yang diambil oleh anda untuk pulihkan perasaan?

Sarah: Itu bergantung, tengok break up lah! Dengan siapa dan berapa lama perhubungan itu. Tapi untuk perpisahan kali ini agak cepat, hanya beberapa bulan sahaja. Hidup mesti diteruskan, tak boleh nak bersedih sangat! 

H&H: Pendekatan seperti apa yang patut wanita lakukan apabila berpisah?

Sarah: Untuk seseorang belajar menyayangi diri mereka, pilih untuk dikelilingi mereka yang menyayangi anda iaitu keluarga, sahabat dan sesiapa pun yang memberikan anda kata semangat. 

Mereka yang boleh membuatkan anda sedar yang anda sebenarnya tidaklah seteruk mana, bukan seorang yang lemah dan bukanlah seperti individu yang digambarkan. Malah seorang yang kuat agar anda lebih menghargai diri sendiri.  

Menghadapi perpisahan juga memerlukan anda melakukan perubahan untuk berasa lebih bahagia. Jika anda rasa perlu menukar gaya rambut lakukannya, menukar gaya tudung misalnya, buat! 

Jika anda merasakan perlu untuk kosongkan gerobok anda dan membuang segala apa yang boleh dikaitkan sebagai memori dengan bekas kekasih anda dan itu langkah terbaik untuk refresh, lakukan tanpa ragu. 

Dapatkan barangan yang baru yang boleh buat anda gembira tanpa perlu mengenang kesedihan yang anda lalui.

H&H: Definasi kebebasan bagi anda? 

Sarah: Kebebasan ialah apabila anda boleh mengekspresikan diri anda. 

Bila sebut kebebasan, ia tidak terbatas kepada kebebasan negara, dunia, peperangan dan keamanan sahaja. 

Dalam sesuatu perhubungan, anda juga memerlukan kebebasan untuk mengekspresikan diri, walaupun pasangan kita mungkin lebih dominan daripada  seorang lagi, itu tidak bermakna mereka boleh menghalang pasangan yang lemah tadi meluahkan perasaan.  

Sesiapapun perlukan kebebasan untuk mereka kekal tulus. 

H&H: Sebagai seorang yang berdarah campuran, adakah anda merasakan diri anda patriotik? 

Sarah: Semestinya saya punya jati diri. Moden dan berfikiran terbuka kerana dibesarkan dalam dua kepercayaan agama dan budaya,  itu tidak bermakna saya tidak sedar diri yang sebahagian saya ini mengalir darah Melayu! 

Malah rasanya saya lebih menghargai apa yang saya miliki ini. Saya sendiri prefer makanan Melayu, sambal belacan dan sebagainya. 

Budaya Malaysia bukan sahaja seronok, malah penuh warna jika hendak dibandingkan dengan budaya sebelah ayah saya. 

Di sini segala macam ada. Hidup makmur biar berlainan bangsa, malah senarai apa sahaja makanan yang anda mahu semuanya ada. Orang luar datang ke sini untuk cari makan! 

H&H: 29 tahun, adakah anda rasa sudah agak lewat untuk berkahwin?

Sarah: Saya tidak rasa begitu, apalagi zaman sekarang ini wanita juga penyumbang ekonomi keluarga dan harus keluar bekerja. Tidak macam zaman dahulu, hanya memerlukan seorang sahaja mencari rezeki. 

Berbeza dengan sekarang tak boleh  mengharapkan lelaki sahaja. Lagipun dunia semakin moden, saya tidak rasa terlambat untuk berkahwin dan mempunyai anak. 

Ibu saya sendiri, melahirkan saya ketika usianya 30-an. Jadi tiada salahnya, malah anda boleh berkahwin dan dapatkan anak bila-bila masa anda bersedia. 

H&H: Difahamkan anda anak tunggal, tentu anda anak manja kan? 

Sarah: Setiap kali jumpa orang, ada yang bertanya adik-beradik berapa orang? Bila saya jawab anak tunggal, pasti disahut dengan ‘mesti awak anak manja kan!’

Walhal tidak sama sekali. Ibu bapa saya terutamanya ayah, menetapkan syarat kalau saya mahukan sesuatu. Contohnya iPod yang suatu ketika dahulu jadi kemestian anak muda, saya mesti buktikan keputusan peperiksaan straight A dulu, mengemas bilik dan buat itu ini untuk buktikan saya layak mendapatkannya. 

Bukan main tunjuk-tunjuk saja terus dapat! 

H&H: Mungkin soalan ini sudah basi, tapi boleh anda kongsikan keputusan anda untuk berhijab? 

Sarah: Saya pakai hijab pada September 2015, tidak lama kemudian pertandingan gadis M2. Saya ingat lagi masa itu saya tak solat, tapi saya hendak sangat-sangat menang pertandingan itu.

Setiap hari saya berdoa, Ya Allah Ya Tuhanku tolonglah bagi aku menang dan Alhamdulillah Allah SWT makbulkan doa saya. 

Selepas memenangi pertandingan itu saya masih juga tidak bersolat hinggalah suatu hari kesedaran datang. Saya mula terfikir, apa saja permintaan saya pasti dikabulkan Allah SWT walaupun saya tidak patuh pada suruhanNya.

Dengan hanya berdoa sesungguh hati, Allah SWT tetap mendengar permintaan saya. 

Jadi saya merasakan saya patut bersyukur. Langkah pertama saya lakukan adalah berhijab, kerana ia mengingatkan diri bahawa saya seorang Muslim, saya kena jaga solat dan lakukan apa yang saya patut buat sebagai seorang Islam. Kemudian saya ubah cara hidup saya.

H&H: Beralih kepada topik yang lebih santai dan wanita suka, antara kasut, beg tangan dan baju yang mana satu anda suka? 

Sarah: Semua pun suka sebenarnya. Tapi kalau kena pilih salah satu, rasanya pilihan saya adalah kasut. Bagi saya kalau ada satu beg tangan sudah memadai, sebaliknya kasut kena ada banyak untuk dipakai pada waktu dan majlis yang berbeza. Kasut bertumit untuk majlis formal, sementara sneakers dipakai untuk acara kasual termasuk selipar dan sandal.

H&H: Kongsikan bagaimana gaya harian anda?

Sarah: Grunge, kasual malas, sangat ringkas dan minimal tanpa aksesori atau solekan. 

Informasi Kru

Penyelaras Fotografi: Norhadiani Baharom

Instagram: @yaniebaharom

Jurukamera: Jim & Multimedia NSTP

Jurugambar: Nizarhafiz Mustafa

Instagram: @nizarhafizmustafa

Hijab stylist: Aiza Adriena

Instagram: @aizaadriena

Penaja

Penaja Lokasi 

Red By Sirocco : Menara M101 Dang Wangi, 3, Jalan Kamunting, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Instagram: @redbysirocco

Penaja pakaian 

Syomir Izwa Gupta

Instagram: @syomirizwagupta

Solekan

Schanoo Ladiva

Instagram: @schanooladiva

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Events Sun, 14 Nov 2021

Siti Nordiana Bakal Tampil Berkolaborasi Dengan Bunga

Penyanyi, pelakon dan pengacara, Siti Nordiana berjaya memenangi trofi kategori Penyanyi Wanita Popular dan Artis Versatil Popular Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34). Menurut Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, dia bersyukur kerana masih […]

Featured Thu, 1 Sep 2022

Terpaling Juara: “Kita Jangan Fikir Negatif” – Fauziah Latiff Hormati Penyanyi Senior & Junior

Tidak kira senior atau junior, masing-masing ada kekuatan tersendiri!

Eat Travel Thu, 9 Apr 2020
Gaya Hidup Fri, 1 Feb 2019

Diberi mandat menyiapkan persalinan Yang di-Pertuan Agong dan keluarga, Datuk Rizalman bagaikan bermimpi!

Beliau turut berkongsi momen emas ketika sesi fotografi bersama keluarga diraja Sultan Pahang.

Featured Sat, 5 Mar 2022
Events Thu, 23 Jun 2022
Featured Wed, 20 Nov 2019

Bandar raya lestari inspirasi koleksi terbaharu Uniqlo Malaysia

Penuhi keperluan jangka masa panjang pengguna

Featured Wed, 5 Jul 2023
#tilljannah Thu, 27 Oct 2022

“Sebelum Ini Tak Pernah Bersentuhan…” – Nana Sheme Akui Masih Kekok Pegang Suami

Penyanyi Nana Sheme selamat bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Zikri Zakaria dalam satu majlis pernikahan di Damai Central, Kuching, Sarawak pada Sabtu lalu. Memetik laporan Gempak, pemilik nama Nur Nabilah Hashimi itu mengakui dirinya agak […]