Featured By: Yanie Baharom January 11, 2019 @ 9:00am

Figura Januari 2019: Sepi seorang Alyah, bangkit untuk menakluk 2019!

Sesi perbualan yang bermula dengan tenang akhirnya bertukar emosi diiringi deraian airmata apabila Figura ini membicarakan kisah peribadinya.

Terlalu banyak kesedihan sepanjang lima tahun ini, itu apa yang penulis faham. Selebihnya hanya wanita dilahirkan dengan nama Noor Hasliah Abu Hassan atau lebih dikenali dengan nama pentas, Alyah, ini saja tahu bebanan yang ditanggung.

Meraikan ulang tahun ke-38 pada 3 Januari lalu, Alyah mahu meninggalkan segala kedukaan yang dilalui dan berharap 2019 membawa sinar bahagia sekaligus menghangatkan kembali persada seni suara.

Bahkan pelantun lagu Tak Mungkin Kerana Sayang, Kisah Hati, Sesal Separuh Nyawa dan terbaru, Jutaan Purnama ini, membayangkan 2019 adalah tahun agresif dan all out buatnya!

Selanjutnya, ikuti temubual NORHADIANI BAHAROM bersama anak kelahiran Gelang Patah, Johor yang juga bekas juara Bintang HMI 2000 ini.

Hijab&Heels (H&H): Apa khabar Alyah?

Alyah: Khabar baik kak Yanie.

H&H: Single terbaharu anda, Jutaan Purnama nampaknya mendapat sambutan yang cukup baik dan melonjakkan kembali nama Alyah di persada seni suara dan mungkinkah ini satu kemunculan semula?

Alyah: Alhamdulillah, ini satu permulaan yang baik selepas beberapa tahun kebelakangan ini saya agak menyepi daripada publisiti.

Mungkin juga pemilihan lagu ini sebagai lagu tema untuk drama rantaian Seribu Rindu membuatkan ia cepat menular dalam kalangan pendengar.

Foto: EZZSTUDIO

H&H: Tanggal 3 Januari yang lalu, anda melangkah ke usia baru dan khabarnya juga 2019 akan menjadi tahun ‘all out’ untuk anda. Boleh kongsikan perancangan anda?

Alyah: Jika ada yang mentafsirkan keputusan saya untuk lebih agresif dalam bidang nyanyian pada 2019 sebagai suatu kemunculan semula, saya tidak ada masalah dengan tanggapan itu 

Yang pasti, 2019 tahun yang mana machines yang bergerak di belakang saya akan bekerja pantas, jadi saya sudah bersedia sepenuhnya dan teruja untuk mewarnai kembali industri seni dengan pengalaman yang ada.

Foto: EZZSTUDIO

H&H: ‘Meluruh’ walaupun belum lagi melalui proses rakaman studio tetapi mula menjadi bualan ramai, gara-gara video Alyah sebak menyanyikan lagu itu. Apa yang istimewanya mengenai lagu ini?

Alyah: Lagu ini, 90 peratus adalah ciptaan saya sendiri, manakala liriknya ditulis oleh Roslen Fadzil yang 12 tahun dahulu pernah menghasilkan lirik untuk Ku Pinjam Satu Bintang iaitu lagu yang dimuatkan dalam album Tak Mungkin Kerana Sayang.

Selepas 12 tahun, Roslen kembali menyumbangkan lirik untuk saya. Apa yang mengujakan, lagu ini siap dalam masa satu hari ketika kami sama-sama di dalam kereta sambil keadaan hujan lebat di luar.

Saya melagukan melodi dan lirik ditulis oleh abang Roslen dalam tempoh yang sangat singkat.

Lagu Meluruh ini mencerminkan keseluruhan lagu dan menurut Roslen, ia membawa maksud daun-daun yang jatuh atau pengertian dalam kehidupan harapan yang berguguran.

Foto: EZZSTUDIO

H&H: Adakah ini lagu pertama ciptaan anda?

Alyah: Tidak, ini yang kedua. Terus-terang saya memang tidak pandai membaca atau apa saja berkaitan dengan nota muzik.

Sebaliknya diberikan anugerah mencipta melodi lagu dengan cara humming. Kemudian berjumpa dengan komposer Helen Yap untuk membantu saya membina dan mencantikkan lagi struktur melodi lagu ini.

H&H: Ada sumber lagu lain sebagai rujukan atau ilham datang secara spontan?

Alyah: Sebenarnya masa tu, saya sedang mendengar lagu lama nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza dan ia antara satu lagu kegemaran saya.

Judulnya, Bicara Manis Menghiris Kalbu. Sebaik tamat lagu itu, saya tutup radio dan melodi Meluruh tiba-tiba muncul dalam kepala saya. Kemudian saya terus melagukan dan merekodkan melodinya.

Foto: EZZSTUDIO

H&H: Kenapa anda menangis ketika melakukan demo lagu berkenaan?

Alyah: Bila terlalu menghayati, saya akan mudah sebak. Lagipun Meluruh itu sendiri sebuah lagu yang sangat dekat dengan kisah hidup saya, malah kebanyakan lagu-lagu saya ada.

Foto: EZZSTUDIO

H&H: Beralih kepada soalan yang sedikit peribadi, impak dan implikasi kejadian menyindir suami anda di Instagram tidak lama dulu?

Alyah: Orang berhak untuk menghakimi walaupun mereka tidak tahu kebenarannya.

Saya seorang yang berfikiran jauh. Apapun tindakan saya lakukan ketika itu, saya sudah memikirkan implikasinya.

Kejadian yang berlaku, baru-baru ini, saya terlebih dulu mempertimbangkan buruk dan baiknya. 18 tahun berkecimpung dalam industri hiburan dan lima tahun melalui alam perkahwinan, saya tahu apa yang saya buat.

Kadang-kadang orang di luar sana perlu tahu perkara ini, penyanyi juga manusia. Orang yang selalu diambil tahu oleh mereka juga punya hati dan perasaan.

Dulu kalau orang kutuk artis, kita hanya dapat tahu melalui akhbar mahupun majalah. Tapi zaman teknologi sekarang ini, kita boleh dapat maklum balas umum secara langsung dalam media sosial.

Saya ingin umum tahu, jika anda bercakap buruk mengenai seseorang artis, artis juga mempunyai hak untuk membalas.

Selebriti, tak kisahlah sama ada mereka itu pengacara, pelakon mahupun penyanyi, mereka juga manusia yang punya hati, bukannya robot.

Memang orang kata artis ini milik masyarakat, tetapi sebenarnya dakwaan itu salah. Separuh hidup kita milik masyarakat dan separuh lagi adalah hak kita.

Separuh lagi itu, orang luar tidak berhak masuk campur.

Saya bukan mencari kontroversi tetapi saya berbuat demikian kerana itu adalah perkara yang wajar saya buat supaya pihak sebelah sana (suami) faham saya juga punya hati dan perasaan.

Apapun saya tidak boleh halangan persepsi orang terhadap saya.

Foto: EZZSTUDIO

H&H: Penerimaan suami anda, Datuk Ramli MS pula bagaimana?

Alyah: Saya dapat impak yang paling besar dalam kehidupan berumah tangga. Tetapi saya pernah melalui situasi yang lebih teruk daripada itu.

Saya sudah sampai satu tahap, di mana dulunya saya berikan kesetiaan saya, sayang saya dan cinta saya, kini saya serahkan hanya kepada Yang Di Atas.

Itu membuatkan saya lebih bahagia. Saya sudah tidak kisah apapun tekanan yang datang dari sebelah kiri saya.

Melainkan emak saya. Kerana emak yang ada di saat kita susah dan sakit.

Saya bukan kata saya tidak perlukan suami tetapi harapan itu dah tak ada bagi manusia. Sebabnya kalau saya bagi kepada manusia 100 peratus saya tak mungkin dapat 100 peratus balik.

Saya belajar untuk alihkan fokus itu kepada benda lain.

Foto: EZZSTUDIO

H&H: Maksudnya keadaan rumah tangga anda keruh sekarang ini?

Alyah: Sebenarnya kejadian yang berlaku baru-baru ini, satu titik mula yang menyedarkan kedua-duanya.

Dia (suami) baru sedar yang saya wujud selepas lima tahun kami berkahwin. Tetapi sejauh mana penerimaan di pihak sebelah sana, saya tidak dapat pastikan.

Yang saya tahu, saya lebih banyak memikirkan mengenai apa yang saya hendak buat untuk 2019.

Apa yang boleh saya cakap di sini, saya tak boleh samakan perkahwinan saya dengan orang lain.

Mungkin kita dengar cerita orang lagi daripada versi yang berbeza-beza. Pengalaman yang mengajar saya sama sekali tidak sama.

Didikan orang tua saya, jika mahukan sesuatu kita kena kejar dan usaha. Tetapi fasa kehidupan saya dari remaja hingga dewasa mengubah sedikit pemikiran saya.

Tidak semua benda saya boleh ubah di dalam dunia ini, meski saya sudah mencuba 100 peratus untuk melakukan yang terbaik dalam hidup saya.

H&H: Melalui perkahwinan yang penuh kontroversi dan cela, bagaimana anda mengumpul kekuatan?

Alyah: Saya selalu fikirkan kesusahan emak saya. Kita bukan daripada keluarga yang kaya.

Berdasarkan itu saya fikir macam mana emak saya boleh besarkan kami 12 beradik, dengan tak ada duit!

Abang dan kakak saya terpaksa bersusah payah ketika remaja mereka dan melupakan hasrat menyambung pengajian kerana harus berkorban untuk masa depan adik-adik.

Bagaimana ibu saya berdepan dengan Allahyarham bapa saya yang sangat garang.

Saya tak pernah jumpa walaupun suami saya seorang yang garang juga tapi rasanya tidaklah segarang arwah bapa saya.

Allahyarham lelaki paling garang yang pernah saya jumpa di atas muka bumi sepanjang 37 tahun saya hidup.

Namun pada akhir hayatnya, wanita yang dia dipuji adalah emak saya.

Bilang emak, Allahyarham ketika masih ada hayatnya mengakui dia tidak pernah jumpa perempuan sesabar emak saya.

Jadinya, daripada pengalaman itu saya kumpul kesabaran dan kekuatan saya.

Foto: EZZSTUDIO

H&H: Nasihat ibu anda saat menghadapi dugaan?

Alyah: Kami selalu berkomunikasi di telefon. Dalam hidup ini yang saya belajar sekarang, kadang-kadang kita tak ada daya pun, walaupun orang kata minta saja cerai!

Mulut senang melafazkan, tapi ada kalanya orang tidak tahu yang daya kita untuk buat sesuatu itu, seperti orang kata tidaklah semudah yang disangka.

Saya ingat pesan arwah bapa yang disampaikan kepada kakak-kakak saya sebelum ini. Jangan sekali kita perempuan minta cerai selagi tidak memudaratkan diri kita.

Itu jugalah pesan emak kepada saya…

Justeru saya anggap semua ini dugaan dalam perkahwinan. Mungkin laluan kehidupan saya tak seperti orang lain tapi saya tahu Allah SWT itu ada banyak rahsia yang saya sendiri tak tahu hikmahnya.

Barangkali dugaan ini mengajar saya untuk lebih banyak bersabar dan banyak berdoa. Kadang-kadang kita rasa doa kita dah banyak tapi di sisi Allah SWT belum cukup lagi.

Foto: EZZSTUDIO

H&H: Apa azam anda untuk 2019?

Alyah:  Tingkatkan jati diri saya maksudnya dari segi dalaman. Setakat ini Alhamdulillah, lebih baik dari yang semalam. Selain itu, saya ingin lebih berdaya saing!

Saya juga bakal muncul dengan koleksi baru kanta lekap, Eyenoon by Alyah yang dilancarkan bulan ini. Doakan kejayaan saya!

PENAJA LOKASI: EZZSTUDIO

Alamat: No 59-1, Maxim Citylights, 

Jalan Sentul Pasar,

51100 Sentul, 

Federal Territory of Kuala Lumpur.

Instagram: @ezzstudio

 

WARDROBE: Syafieq Ayman

Instagram: @syafieq_ayman

 

SOLEKAN: Bosco

Instagram: @Boscooooooooooooo

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Eat Travel Mon, 6 Jan 2020

Resipi kuih tepung bungkus paling sedap dan mudah

Peminat kuih tradisional wajib cuba!

Featured Mon, 7 Aug 2023
Featured Mon, 6 Nov 2023
Acara Wed, 24 Jul 2019

Undi artis K-Pop kesayangan anda dalam ABPBH 32

BH perkenal 2 ketagori baharu artis luar negara

Featured Fri, 11 Mar 2022
Featured Wed, 15 Jan 2020
Featured Mon, 19 Sep 2022

Terpaling Juara: Netizen Kritik Vokal Sumbang, Hazami Akui Hilang Fokus – “Saya Anggap Tribute Untuk Adibah Noor”

Alahai, sebaknya 🥺 Bukan vokal yang diutamakan, yang penting penyampaian lagu tu sampai pada semua pendengar 🥺

Featured Thu, 26 Jan 2023