Featured By: Yanie Baharom January 7, 2020 @ 12:34pm

Figura Januari 2020: Bicara Optimistik Joy Revfa dan Mawar Karim!

Semenjak 1991, saat inilah yang paling dinanti-nantikan. Terutamanya untuk melihat apakah Wawasan 2020 dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berjaya dilaksanakan.

Meskipun ada sebahagian daripada misi itu tidak tercapai dan diperakui Tun Mahathir Mohamed sendiri selaku pencetus idealisme ini (memperkenalkannya sejak 29 tahun yang lalu), lembaran baharu 2020 wajar disambut dengan semangat dan pengharapan agar suatu hari Malaysia kembali bersinar!

Begitulah ibaratnya, perihal dua usahawan jelita ini dalam menyantuni kehidupan mereka.

Dipertemukan Hijab & Heels (H&H) atas beberapa persamaan, kedua-duanya pernah bersuamikan selebriti dikenali ramai namun akhirnya kecundang di tengah jalan.

Siapa tidak kenal dengan pemilik empayar perniagaan Tudung Fareeda, Mawar Abdul Karim (Mawar), 30, yang juga bekas isteri kepada aktor, pengacara dan usahawan, Fizo Omar.

Tidak kurang hebatnya, Siti Arifah Mohd Amin, 33, atau lebih dikenali sebagai Joy Revfa, yang pernah meledak dengan berita perceraian penuh kontroversi bersama penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, sedikit masa lalu.

Apa yang dihajatkan dua ibu muda ini dalam menempuhi era 2020, segalanya ada dalam coretan

NORHADIANI BAHAROM.

Foto: NIZARHAFIZ MUSTAFA

H&H: Pertama kali disatukan dalam fotografi, kalian pernah bersua sebelum ini?

Mawar: Pernah bertemu Joy pada beberapa majlis sebelum ini. Tetapi kalau fotografi, ini yang pertama kali.

Joy: Sama seperti Mawar, namun pertemuan hari ini cukup mengujakan. Dapat tahu bakal digandingkan sama, memang seronok sangat. Mawar antara usahawan muda yang saya kagumi.

H&H: Kalian berkongsi satu persamaan, yakni pernah mendirikan rumah tangga dengan selebriti. Apabila bercerai, tak banyak sedikit pasti terkena tempias apabila kisah peribadi menjadi tatapan umum dan sebahagiannya menjadi hakim tidak bertauliah. Bagaimana menanganinya?

Mawar: Ya Allah, genap lima bulan hari ini kami berpisah. Saya bercerai pada 10 Julai 2019 (fotografi diadakan pada 10 Disember 2019).

Apa yang saya lihat, saya juga harus muhasabah diri saya kerana saya pun ada silap. Bukan nak kata saya betul saja, apa yang berlaku mungkin ada hikmah untuk menjadikan kita insan yang lebih baik.

Menjawab soalan, memanglah orang nampak business woman ini semacam kuat, apapun saya tetap wanita. Bila dilanda masalah misalnya rumah tangga, kuat-kuat kita pun ada kalanya rapuh juga.

Cuma itulah, saya daripada dulu sampai sekarang memang tidak gemar berkongsi hal peribadi. Kalau perasan di Instagram peribadi saya, saya hanya kongsi hal-hal yang baik saja.

Sebab saya berniaga tudung, orang melihat penampilan saya. Takkan saya nak bercerita hal buruk dan meroyan pula nanti pelanggan lari pula.

Lagipun saya bukan selebriti, yang artis itu bekas suami. Sebagai ahli perniagaan yang serius, saya pilih untuk kunci mulut tentang kehidupan peribadi saya. Memang tidak dinafikan hal sebegini kadang makan dalam, tetapi saya tumpukan pada hal yang baik-baik saja.

Perpisahan ini menjadikan saya seorang yang lebih terbuka dan berhati-hati dengan keadaan sekeliling. Fokus saya cuma anak dan perniagaan saya.

Foto: NIZARHAFIZ MUSTAFA

Joy: Saya lihat kontroversi perceraian saya bukan saja sebagai satu kekhilafan yang mematangkan diri tetapi juga memberikan pengajaran kepada semua.

Apa yang berlaku menjadikan kita insan yang lebih baik lagi. Mungkin kita sendiri ada banyak kekurangan yang tidak kita sedari.

Dalam mentafsir kejadian yang Allah SWT dah duga, sedarlah betapa sayangnya Allah SWT kepada kita. Sebab itulah Dia bagi ujian.

Terus-terang tidak susah untuk saya bangun daripada kegagalan. Setiap kali mula hendak berasa sedih mengenang nasib saya dan anak,  saya bersyukur kerana saya punya ramai kawan-kawan dan keluarga yang menghiburkan hati saya.

Foto: NIZARHAFIZ MUSTAFA

H&H: Tip untuk wanita menghadapi kegagalan rumah tangga dengan positif?

Mawar: Kena reda, itu paling penting. Jika kita tidak meredakan sesuatu yang sudah tertulis buat kita, selamanya kita terus hidup dengan menghukum diri sendiri dan takdir.

Seperti disebutkan tadi, saya profesional dalam menangani masalah peribadi saya. Paling utama adalah anak dan perniagaan saya.

Joy: Kalau buka ruangan inbox message saya di Instagram, ramai yang mengirimkan mesej dan bertanya bagaimana saya menghadapi penceraian yang boleh dikatakan kontroversi dan mengaibkan. Apatah lagi ini merupakan perceraian kedua saya.

Mereka yang bertanya itu melihat saya sebagai seorang wanita yang kuat. Walaupun dilanda masalah, saya masih berupaya mengendalikan emosi serta menguruskan perniagaan dengan baik.

Nasihat saya kepada wanita di luar sana, tak perlu meratap memikirkan mengapa perkara sebegini terjadi kepada aku? Kenapa Allah SWT sering menduga aku? Sedangkan ujian diberi kerana Dia sedang mengangkat darjat hambaNya untuk menjadikan kita orang yang luar biasa hebat.

Wanita di luar sana, jangan berasa diri hina, rasa diri tidak berguna. Bangkit dan terus bangkit. Cari apa keistimewaan yang ada pada diri. Itulah, kadang-kadang wanita tak tahu betapa istimewanya dia, tapi mereka kena cari.

H&H: Cabaran bergelar ibu tunggal?

Foto: NIZARHAFIZ MUSTAFA

Mawar:  Lain orang lain penerimaan dan cabarannya. Saya bersyukur kerana sumber kekuatan saya adalah anak saya (Wan Maryam) dan sokongan keluarga.

Walaupun Maryam belum masuk dua tahun tapi pada usia sebegini dia sedang rancak meniru cara percakapan dan perbuatan orang di sekelilingnya.

Jadi saya elak melakukan sesuatu yang negatif sekali gus boleh memberi kesan pada emosi Maryam. Setiap hari saya muhasabah diri untuk jadi ibu yang lebih baik untuk Maryam.

Joy: Bagi saya tidak susah bila kita pandai cari duit sendiri. Yang buat susahnya apabila wanita itu tidak pandai berdikari.

Jadi bila berpisah dengan suami, wanita sebegini akan fikir ‘aku ni nak makan apa’ sebab selama ini hidupnya bergantung harap kepada suami.

Wanita itu kuat sebenarnya. Apa yang mereka perlu, hanya kekuatan untuk bangkit.

H&H: Cantik dan berjaya, pasti ramai yang nak dekat. Agak-agak sudah ada pengganti ke? Bagaimana pilihan hati kali ini, masih selebriti?

Foto: NIZARHAFIZ MUSTAFA

Mawar: Sejujurnya saya masih fobia. Lagipun tiada yang cuba untuk dekat mungkin sebab saya garang., malah saya sendiri menolak untuk mengenali lelaki, jauh sekali menjalinkan hubungan.

Fokus saya sekarang untuk memberikan pendidikan yang terbaik untuk Maryam. Setiap minggu Maryam ada kelas untuk perkembangan minda yang dianjurkan oleh pakar perbidanan dan sakit puan, Dr Hamid Arshat.

Melalui program ini, antara inisiatifnya untuk memastikan si kecil dapat menguasai sekurang-kurangnya empat bahasa.

Nampaknya saya terlalu sibuk sehingga tak sempat nak bercinta! Haha.

Joy: Alamak, masalahnya sekarang banyak yang saya berkawan adalah selebriti!

Terus-terang saya cuba berkawan dengan sesiapa saja. Kalau rasa tidak serasi dan tiada masa depan bersama, baiklah tidak diteruskan.

Pada umur begini, jangan pandang apa yang kita mahu, tetapi lihat apa yang kita perlu. Dua kali bercerai, saya tidak serik tetapi lebih pada berhati-hati.

H&H: Menghadapi 2020, apa perancangan kalian?

Mawar: Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, strategi perniagaan juga harus berubah tak boleh guna modul yang sama.

Bercakap mengenai perniagaan Tudung Fareeda misalnya, kami pernah melakukan kesilapan pada 2017 dan 2018 sehingga kehilangan pelanggan apabila menghentikan penghasilan tudung awning, sedangkan orang ramai mengenali jenama kami dengan rekaan sedemikian. Tudung awning adalah signature (tanda dgang) kami.

Kami terlepas pandang pelanggan yang menggemari rekaan ini dek kerana mahu menyasarkan kelompok baharu yang lebih muda.

Justeru untuk 2020, Fareeda akan merancakkan kembali koleksi signature awning dengan rekaan yang lebih terkini. Sementara di bawah jenama Mawar pula, memfokuskan rekaan untuk wanita berusia 35 tahun ke bawah yang menggemari gaya tudung lilit dan bawal.

Saya menjadikan jenama Armani sebagai rujukan kerana di bawah syarikat Giorgio Armani terdapat dua jenama ready-to-wear (sedai untuk dipakai) iaitu Emporio Armani dan Armani Exchange.

Saya meletakkan jenama Mawar pada tahap Armani Exchange yang menghadirkan koleksi ringkas, lebih muda dan mampu milik. Pendek kata nak murah sikit, mereka boleh dapatkan koleksi Mawar.

Sementara Fareeda, masih lagi memfokuskan wanita berusia 40 tahun ke atas yang berkemampuan sebagaimana pelanggan kami sebelum ini terdiri daripada kakitangan kerajaan.

Semestinya setiap rekaan kami dipatenkan, malah bahan yang diguna juga selesa dipakai oleh segenap lapisan usia.

Foto: NIZARHAFIZ MUSTAFA

Joy: Untuk 2020 saya ingin mengeluarkan set barangan kosmetik yang sesuai untuk ibu dan anak.

Ini kerana dari pemerhatian saya, kalau si ibu membeli untuk diri mereka, akhirnya akan membeli dua tiga lagi gincu atau palet pembayang mata untuk anak dara mereka.

Selain menampilkan warna-warna menawan, tekstur yang mudah dioles, suci dan selamat digunakan, pembungkusan produk Merve Cosmetics merupakan satu-satunya produk kosmetik di Malaysia yang berkonsepkan puteri fairy tales.

Mungkin disebabkan konsep yang Merve Cosmetics ketengahkan, membuat remaja dan kanak-kanak suka.

Sememangnya saya ingin wanita berasa diri mereka adalah seorang puteri. Sekalipun mereka itu berusia 45 tahun, tak salah untuk mereka merasai perasaan itu. Saya mahu wanita menghargai kecantikan mereka.

Berbalik pada perancangan 2020, menghasilkan set kosmetik ibu dan anak menjadi impian saya.

Selain itu saya ingin melihat lebih banyak produk Merve Cosmetics berada di farmasi popular tempatan bagi memudahkan pelanggan saya mendapatkannya selain meneruskan tradisi jualan  secara atas talian.

Alhamdulillah sekarang ini, Merve sudah boleh didapati di beberapa kedai farmasi, cuma saya harap selepas ini Merve berada di farmasi seluruh Malaysia.

Semestinya perancangan memasarkan produk ini pada peringkat global terutamanya pasaran Asia Barat. Setakat ini Merve sudah berada di Singapura, Indonesia dan Brunei.

Perancangan lain, saya menerima tawaran membintangi sebuah drama pada Mac nanti. Teringin untuk mencuba, tetapi bukan untuk dijadikan kerjaya.

Selebihnya, persiapan untuk anak Arryan Firdaus memasuki sekolah rendah tahun hadapan.

Foto: NIZARHAFIZ MUSTAFA

H&H: Nasihat kepada mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan?

Mawar: Mereka perlu bermula daripada bawah dan kutip sebanyak pengalaman terlebih dulu. Misalnya ada yang bercita-cita untuk memiliki jenama sendiri, sebelum anda mengendalikan empayar perniagaan, belajar jual produk orang lain dulu.

Selepas anda sudah ada ilmu dalam urusan jual beli, barulah mula membuka perniagaan sendiri secara berperingkat supaya tidak mengalami kerugian. Selain itu pastikan sentiasa ada perancangan dan strategi.

Foto: NIZARHAFIZ MUSTAFA

Joy: Saya memulakan perniagaan Merve Cosmetics iaitu produk kecantikan di bawah Merve Group Holding Berhad ini, seminggu selepas perceraian dengan suami pertama saya, yang mana saya dicabar seseorang yang mahu melihat kemampuan saya.

Sedangkan saya memang darah bisnes sebab ibu dan bapa saya, kedua-keduanya ahli perniagaan. Alhamdulillah pada 2015, saya berjaya membina empayar perniagaan sendiri.

Kenapa saya memilih kosmetik sebagai produk asas saya? Dulunya saya bekerja sebagai MUA (makeup artists) di Indonesia dan sering terlibat dalam perfileman di sana.

Saya sendiri belajar di Marta Tilaar atau Puspita Martha International Beauty School, jadi memang tahu sedikit sebanyak mengenai penjagaan kulit wajah dan solekan.

Ibu saya juga mempunyai akademi kecantikan yang sudah melahirkan ramai usahawan kecantikan. Akademi ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Berbalik pada soalan, tip paling penting pilih perniagaan yang anda minat dan pastikan ada ilmu supaya anda dapat menguruskan perniagaan dengan baik.

Nawaitu kita juga penting. Saya membuka perniagaan ini dengan impian agar ia memberi manfaat kepada yang lain terutamanya wanita.

Maksudnya, orang lain boleh buat duit dengan menjual produk saya. Syukur Alhamdulillah sudah ramai stokis berjaya dilahirkan melalui Merve Cosmetics.

Foto: NIZARHAFIZ MUSTAFA

Penaja dan tenaga produksi

Jurugambar: NIZARHAFIZ MUSTAFA

Instagram: @nizarhafizmustafa

Videografi:

Muhammad Muctaar & Ahmad Hanif Muhamad

Instagram: @enjim dan @anyfmy

Penaja busana: NANA NASRI CREATIONS

Alamat: NANA NASRI KUALA LUMPUR, Lot 2.33 1st floor, Medan Mara,Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur.

Instagram: @nana_nasri

Penaja blaus: LEEYANA RAHMAN

Alamat: 1-23, Jln Medan Pusat Bandar 7, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Instagram: @leeyanarahman.co

Penaja skaf: Tudung Fareeda

Instagram: @fareedagroup

Solekan Mawar: APPLE HALIQUE

Instagram: @applehalique

Solekan Joy Revfa: FEIRUZ SOHOR

Instagram: @feiruzsohor

Penata gaya hijab: AIZA ADRIENA

Instagram: @aizaadriena

 

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Tue, 23 Feb 2021

Mahkamah Keluar Waran Tangkap Terhadap Sajat

Bila agaknya kes ni nak selesai?

Featured Fri, 6 Jan 2023

Galak Menari Di TikTok, Netizen Risau Kelibat Lelaki Terpana Tengok Baby Shima – “Abang Tu, Amboi Mata Tak Kelip”

Penyanyi kontroversi, Baby Shima sekali lagi tular di TikTok apabila galak menari sambil diperhatikan oleh seorang lelaki. @babyshimaofficial Betul ke nombor tiada penghujungnya? coba hitung di komen kalau begitu… nahhh begitu lah cinta ku padamu […]

Featured Mon, 6 Feb 2023
Featured Fri, 2 Dec 2022

“Like Mother, Like Daughter!” – Gelagat Serta Tarian Norreen Iman & Anak Curi Perhatian

Bagi pengguna aplikasi TikTok, pasti ramai yang mengetahui pelakon dan pempengaruh Norreen Iman sering memuat naik video kandungan lucu yang mencuit hati penonton. Baru-baru ini, tular sebuah perkongsian yang dimuat naik di TikTok yang memaparkan […]

Featured Fri, 27 Apr 2018

Kencing Di Dalam Kolam Renang Bukan Saja Jijik Tapi Boleh Mudaratkan Diri Sendiri

Pasti ramai antara kita yang pernah membuang air kecil di dalam kolam renang. Begitupun, tindakan tersebut sebenarnya perlu dielakkan. Selain menjijikkan, ia juga boleh memudaratkan kesihatan.

Featured Tue, 20 Feb 2024

Tular Video Berbusana Pengantin, Ziana Zain Dah Nikah? Ini Penjelasan Pengurus

Harap tiada lagi spekulasi yang timbul berkenaan perkahwinan Ziana Zain okay!🤧

Featured Wed, 13 Oct 2021

Hadir Ke Mahkamah Syariah Bersama Suami, Siti Saleha Fail Tuntutan Cerai

Pergolakan rumah tangga aktres jelita, Siti Saleha menjadi persoalan ramai apabila pelakon itu didakwa hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada pagi Rabu bagi sebutan kes perceraiannya. Menurut laporan sebuah portal, prosiding dilakukan di […]