Meskipun Aidilfitri hanya disambut pada penghujung Mei ini, beberapa jenama sudah mula melancarkan himpunan Aidilfitri bagi memudahkan umat Islam membuat persiapan awal.
Antaranya, Siti Khadijah, jenama yang lebih sinonim dengan rekaan telekung berinovasi dan berkualiti, turut melancarkan himpunan #nostalgiaraya Siti Khadijah 2020 yang menampilkan pelbagai baju kurung dan baju Melayu.
Pengasas Siti Khadijah, Padzillah Enda Sulaiman, berkata rekaan bagi himpunan #nostalgiaraya Siti Khadijah 2020 itu disesuaikan dengan aspirasi Siti Khadijah yang sinonim dengan konsep pemuliharaan warisan.

Kebarung klasik tampak anggun menawan apabila digayakan. Gambar SK
“Rekaan himpunan untuk Aidilfitri ini mengutamakan elemen kesopanan bersesuaian dengan tema Keanggunan Kesopanan bagi semua produk gaya hidup Siti Khadijah namun kami memastikan identiti warisan Nusantara dikekalkan dalam setiap rekaan dengan sentuhan moden.
“Setiap rekaan dalam himpunan ini masih mengekalkan ciri-ciri yang praktikal, selesa, mengikut peredaran zaman dan paling penting ada jaminan kualiti,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Butik Gaya Hidup SK, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Butik Gaya Hidup SK menampilkan pelbagai pakaian harian berimejkan sopan, tetapi moden. Gambar SK
Pelancaran butik Gaya Hidup SK itu disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Hazimah Zainuddin, Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd (Siti Khadijah Apparel), Ir Aminuddin Mohd Nasir dan Pengarah Eksekutif Jualan dan Pemasaran Siti Khadijah Apparel, Mohammad Munzir Aminuddin,
Butik Gaya Hidup SK yang pertama itu dibuka di pusat beli-belah KLCC dengan membabitkan 80 peratus pakaian harian seperti baju kemeja lelaki dan wanita, seluar kasual wanita, blaus, baju kurung, baju Melayu dan himpunan tudung Hegira, selain aksesori seperti kasut wanita, tas tangan, kerongsang serta produk penjagaan diri.

Pelbagai pilihan warna lembut sesuai dengan wanita yang menggemari gaya sederhana. Gambar SK
Himpunan #nostalgiaraya Siti Khadijah 2020 yang mengimbau kembali zaman silam kanak-kanak suatu ketika dulu itu, menampilkan rekaan tradisional dengan sentuhan kontemporari bagi menarik minat golongan muda.
Lebih menarik, himpunan itu dinamakan berdasarkan nama panggilan yang sering digunakan dalam keluarga di Malaysia, antaranya baju kurung Kak Long, baju kurung Kak Lang, baju kurung Kak Teh, baju kurung Kak Cik, kebarung Kak Lang dan baju Melayu Osman.

Potongan kemas dan segak menjadikan baju Melayu Osman SK tampak lebih maskulin. Gambar SK
Bersesuaian dengan konsep Muslimah, himpunan berkenaan memanfaatkan warna lembut seperti putih, kelabu, kuning muda, hijau neon, biru muda dan merah jambu. Selain baju kurung dan blaus, butik berkenaan turut menyediakan aneka telekung Siti Khadijah yang eksklusif dan hanya boleh didapati di butik terbabit.
Peminat setia jenama Siti Khadijah boleh tempahan menerusi laman sesawang jenama itu di https://sitikhadijah.com/nostalgiaraya dan berpeluang mendapatkan telekung Siti Khadijah untuk 1,000 pembeli terawal.