Pernahkah anda lihat kuih-muih atau manisan enak yang sangat sempurna bentuk dan adunannya sehingga sukar untuk memilih sama ada hendak dimakan atau dibuat hiasan?
Lebih-lebih lagi jika melihat sepiring biskut yang sangat cantik seolah-olah dihasilkan oleh mesin dan bukannya buatan tangan.
Pastinya terdetik di dalam hati sayang untuk dimakan, terasa seperti mahu dibingkaikan sahaja kerana terlalu cantik dan sempurna sentuhannya. Itulah yang dihasilkan seorang pempengaruh di laman media sosial Instagram @nm_meiyee (Mei Yee).
Jika dilihat sekali imbas tentu ramai menyangka gambar yang dikongsi itu adalah sarung telefon pintar atau gubahan bunga kecil yang sangat berseni.
Ada juga juadah yang disangka gubahan buah beri disusun cantik dengan latar alas berwarna hijau atau ungu, tetapi sebenarnya pastri enak lagi sedap.
Hakikatnya, bukan sebarang jari yang mampu menyusun dan menggubah sebegitu rupa.
Hijab & Heels paparkan beberapa hasil tangan Mei Yee yang sentiasa menyertakan resipi untuk dicuba oleh sesiapa yang berminat. Hampir keseluruhan resipi yang dikongsi Mei Yee itu menggunakan bahan-bahan berasaskan tumbuh-tumbuhan dan cukup menyelerakan untuk dicuba.
Jom kita lihat beberapa lagi seni gubahan dan susunan kek, biskut serta pastri yang dihasilkan Mei Yee.
Pic 1
Siapa tidak terliur melihat tart matcha coklat putih dengan pastri yang sangat sempurna dan pelbagai jenis buah beri disusun melengkung menjadikan ia seperti bahan permainan masak-masak sahaja.
Pic 2
Penggemar mochi pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk menghasilkan mochi kacang dan kelapa yang sangat comel ini, ia seakan-akan bersaiz mini, tetapi itu bukan masalah, yang penting cuba hasilkan sendiri di dapur anda.
Pic 3
Sagu santan dengan bunga ungu kecil itu pun tidak boleh dinafikan keenakannya, jika diberikan segelas untuk dicuba, pasti tiada siapa yang mampu menolak kerana sudahlah cantik, rasanya pun pasti sedap.
Memandangkan baru-baru ini ramai yang membuat hantaran resipi sagu gula Melaka di laman media sosial masing-masing, kita cuba resipi sagu santan yang dikongsi Meiyee menerusi akaun Instagramnya:
Sagu santan dengan bunga butterfly pea kering
Bahan-bahan:
Sagu kelapa
7 kuntum bunga butterfly pea kering Suncorefoods
2 cawan air mendidih
¼ cawan sirap mapel
Puding santan
¾ cawan santan
3 sudu teh sirap mapel
¼ sudu teh serbuk bunga butterfly pea Suncorefoods
¼ sudu teh garam
½ sudu teh serbuk agar-agar
Cara penyediaan:
1. Rendam bunga butterfly pea di dalam air panas selama 10 minit untuk mendapatkan warnanya yang terang. Biarkan ia sejuk dan tapis.
2. Rendam sagu di dalam air rendaman bunga berkenaan.
3. Di dalam kuali kecil, panaskan santan, masukkan serbuk butterfly pea dan serbuk agar-agar. Kacau perlahan hingga sebati selama seminit dan padamkan api. Tuang adunan ke dalam bekas sesuai.
4. Di dalam periuk lain, tuang dua cawan air, masukkan ekstrak bunga butterfly pea dan sagu. Biarkan sagu kembang sepenuhnya. Apabila sudah masak, tapis dan bilas sagu.
5. Masukkan sagu ke dalam mangkuk, campurkan santan kelapa dan sirap mapel, kacau perlahan-lahan agar sebati.
6. Untuk menghidang, masukkan puding ke dalam gelas kecil sebagai lapisan bawah dan kemudian letakkan dua sudu besar sagu sebagai lapisan atas. Hias dan bolehlah dimakan.
Gambar kredit: Instagram @nm_meiye