Penggemar ais krim di Malaysia ini pasti pernah merasai kelazatan snek sejuk beku McFlurry di McDonald’s.
Istimewanya ia merupakan ais krim berperisa vanila yang digabungkan dengan macam-macam ramuan ekstra atau topping.
Yang paling popular rasanya topping durian Musang King; sampai boleh sold out! Tapi yang paling legend adalah topping biskut Oreo. Gabungan biskut coklat dengan ais krim vanila itu memang kena!
Tapi anda perasan tak? Sajian McFlurry ini, harganya makin mahal, tapi bekas makin kecil. Maka jumlah ais krim yang diberi pun makin sikit! Rasa sakit hati pula bila beli.
No problem! Jika anda buat sendiri ais krim ini, anda boleh makan sebanyak mana yang anda nak!
Cara yang paling obvious adalah dengan mencampurkan biskut Oreo hancur dengan ais krim vanila. Dua-dua pun anda boleh beli di pasaran. Tapi rasa ais krim tersebut mungkin tak ngam dengan biskut coklat ini.
Jangan risau, di bawah ini ada resipi lengkap yang anda boleh cuba untuk buat sendiri ais krim ala McFlurry. Jom cuba!

Foto: McDonald’s
Bahan-bahan
- 1 tin susu cair
- 1/4 tin susu pekat (kalau nak ais krim yang kurang manis, kurangkan jumlahnya)
- 1 sudu kecil esen vanila
- 1 pek biskut Oreo besar
- 1 sudu besar ovalett (pastikan anda guna yang halal!)
Cara Penyediaan
- Buka pek biskut Oreo dan asingkan bahagian biskut dan krimnya.
- Blend atau tumbuk biskut itu hingga sederhana hancur.
- Untuk membuat adunan ais krim, masukkan susu cair, susu pekat, esen vanila dan ovalett ke dalam mixer dan pukul selama 15 minit.
- Apabila ia sudah nampak gebu dan berkrim, campurkan separuh daripada jumlah biskut Oreo yang telah dihancurkan tadi. Pukul lagi selama 5 minit hingga sebati.
- Adunan dah siap, jadi pindahkannya ke dalam bekas simpanan yang betul. Taburkan biskut Oreo hancur yang selebihnya ke atas adunan tersebut.
- Tutup bekas itu dan simpan di dalam freezer. Tunggu hingga ia betul-betul beku sebelum makan.
Selamat mencuba!
Sumber: Twitter Resepi Makanan Malaysia