Kegawatan ekonomi memberi kesan yang agak mencabar terhadap kewangan seluruh rumah, lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barang di pasaran, selain keadaan harga minyak petrol dan sebagainya, perancangan kewangan amat penting untuk menjimatkan kos sara hidup.
Sehubungan itu, sebagai pengguna, kita perlu bijak mengawal perbelanjaan kerana ia mampu membantu mengurangkan beban sara hidup atau kos perbelanjaan harian.
Satu daripada langkah yang boleh dilakukan adalah dengan mengawal penggunaan minyak kenderaan. Berikut adalah panduan yang boleh diamalkan untuk menjimatkan penggunaan minyak kenderaan.
1. Periksa tekanan angin tayar
Isi angin tayar dengan spesifikasi yang betul mengikut carta berat dan tekanan angin yang disarankan bersesuaian dengan kenderaan anda. Tekanan angin tayar tidak tepat atau kurang akan menyebabkan kenderaan dipandu lebih berat sekali gus menggunakan lebih banyak minyak.
2. Jangan tunggu simbol minyak berkelip
Lumrah manusia, selagi simbol minyak tidak memberi ‘amaran,’ selagi itu inisiatif untuk mengisi petrol dipandang remeh. Ramai yang tidak tahu, semakin banyak baki minyak dalam tangki, semakin kurang kapasiti ruang udara yang dipenuhi wap. Oleh itu, mengisi petrol ketika minyak masih ada dapat memberi lebih petrol dalam tangki yang lebih optimum.
3. Isi minyak sewaktu suhu sejuk
Amalkan mengisi petrol di awal pagi, waktu malam atau dalam erti kata lainnya ketika suhu sejuk. Elak mengisi ketika waktu tengah hari atau panas terik kerana minyak adalah cecair yang boleh bertukar menjadi wap ketika waktu panas.
Jika anda perasan, wap petrol akan keluar daripada tangki dan ini akan menyebabkan kerugian petrol yang ‘hilang’ ditelan angin. Mengisi minyak ketika suhu sejuk dapat memberi kapasiti yang lebih banyak kerana ianya mempunyai wap yang berlebihan.
4. Isi minyak dengan perlahan-lahan
Elakkan menarik picu pam minyak ke tahap paling maksimum kerana ia dapat mengurangkan wap keluar bersama-sama petrol. Kawal picu secara separuh penuh kerana cara ini mampu membuatkan cecair petrol masuk sepenuhnya ke dalam tangka dan mengurangkan fenomena wap petrol meruap bebas sekali gus membazirkan petrol.
5. Kurangkan beban kenderaan
Jangan jadikan kereta seperti stor dengan meletakkan barang-barang yang tidak perlu di dalamnya. Kurangkan kadar berat atau bebanan kerana kadar penggunaan minyak akan melebihi tahap biasa dan minyak akan banyak digunakan.
6. Kelajuan konsisten dan statik
Pastikan anda mengekalkan kelajuan kilometer yang konsisten dan statik. Kelajuan yang sesuai iaitu di antara 70 hingga 90 km/j mampu menjimatkan minyak. Selain itu, memecut atau memberhentikan (brek) kenderaan secara mendadak akan memberi kesan terhadap penggunaan minyak yang banyak. Oleh itu, memandulah dengan berhemah agar penjimatan minyak dapat dikawal.
7. Tutup enjin dan penghawa dingin apabila kenderaan tidak bergerak
Matikan enjin jika kereta tidak bergerak, terutama ketika menunggu seseorang. Jangan lupa untuk menutup air-cond kerana penggunaan minyak akan bertambah 10 peratus jika menggunakannya.
8. Panaskan enjin dengan betul
Biarkan sekurang-kurangnya 30 saat setelah enjin kereta dihidupkan. Jangan tekan pedal untuk memanaskan enjin kerana ia akan membazirkan minyak sahaja.
Selain panduan di atas, anda juga boleh mengurangkan kos petrol dengan sentiasa menjaga enjin kereta, tukar minyak pelincir mengikut jadual, rancang pemanduan dengan mengelak melalui jalan yang sesak dan yang penting, amalkan kongsi kenderaan.
Semoga bermanfaat!