Sudahlah kacak berserban pula, memang cair dibuatnya hati jutaan gadis melihat penampilan bintang K-Pop ini.
Tersebar pada bulan Ramadan yang mulia, bertambah sayang peminat Muslim di seluruh dunia kepada kumpulan BTS, yang beberapa kali merangkul gelaran Lelaki Paling Kacak dunia iaitu V (Victory) bersama ahli kumpulannya Jin yang digelar WorldWide Handsome.
Foto mereka bukan saja tular setelah pengamal media Arab menyiarkannya dalam laman media, bahkan menyuntik keinginan remaja lelaki untuk mengenakan serban.
Jika sebelum ini, pemakaian serban hanya digayakan golongan berusia dan cendekiawan agama, sekarang anak-anak muda ikut tertarik memperagakannya.
Tidak mengapa kalau pada peringkat awal ini ada yang memakainya sekadar mahu berfesyen, lambat-laun mana tahu ia akan menjadi amalan dan dapat mengubah hati seseorang. Doa yang baik-baik!
Berbalik pada kisah V dan Jin tadi, foto mereka mengenakan serban itu dirakam secara kandid sewaktu kunjungan mereka ke Arab Saudi untuk mengadakan persembahan dan rakaman muzik video.
Ini merupakan kali kedua V tular pada bulan puasa, setelah kali pertama tular mengenakan baju Melayu putih keluaran Jakel edisi Dato Aaron Aziz, yang dikirimkan peminat dari Malaysia, tahun lalu.
Selain ahli BTS, foto bintang K-Pop yang tular adalah Eric Nam dan Henry. Menariknya, foto Henry persis putera Arab kerana lengkap berserban dan berjubah putih.
Ahli kumpulan Seventeen dan Monsta X juga pernah mencuri tumpuan apabila pernah mengenakan set lengkap jubah dan serban!
Sumber foto: EH!