“Macamana nak kahwin, masak nasi pun tak pandai”.
Siapa pernah kena bebel macam ni dengan ibu kalian?
Masa zaman remaja dahulu, penulis sendiri selalu elak masak nasi apabila disuruh ibu. Bukan sebab malas, tapi tak suka bila nasi mentah atau terlalu lembik. Walaupun ikut sukatan seperti diajarkan ibu.
Bab sediakan lauk-pauk insya-Allah tak ada masalah, bahagian yang ini boleh dikatakan agak cekap!
Hendak dijadikan cerita, masak nasi memang nampak mudah, tetapi kalau tersalah sukatan air, nasi boleh menjadi bubur atau membuatkan perut memulas sekiranya ia mentah.
Lebih-lebih lagi nasi yang berperisa seperti nasi lemak, nasi tomato, nasi minyak, nasi beriani, nasi dagang, nasi hujan panas dan bermacam lagi.

Foto: Bidadari My
Contoh terbaik hari ini ibu penulis masak nasi lemak. Sudah berpuluh tahun masak, tetapi entah apa yang tidak kena nasi mentah dibuatnya. Makanya terpaksa ditambah air dan masak atas dapur gas.
Bilang ibu, mungkin dia belum begitu biasa menggunakan beras yang baharu dibeli kerana biasanya guna beras lain.
Disebabkan masak nasi juga memerlukan skil, Hijab & Heels ingin berkongsi tip yang boleh dijadikan panduan tatkala memasak nasi lemak yang dikongsikan seorang wanita bernama Nieza Nor Hamnira.
“Tip masak nasi lemak ini, guna formula bagi mak-mak yang masih mencari cara nak masak nasi lemak dengan masak elok dan cantik.
“Pasti jadi, sedang-sedang, elok-elok air dan rasa lemaknya. Nak guna beras basmathi boleh, beras biasa pun boleh Lebih kurang kan airnya ikut muai beras.
Gunakan formula 1: 1: 0.5
Contoh
1 cawan beras : 1 cawan air : ½ cawan santan ( nak bagi selamat supaya tak jelantah, lebihkan dalam satu sudu lagi santan)

Foto: Iluminasi
Tip nak bagi lagi sedap: Masukkan secubit garam, gula (tidak wajib), sedikit mentega atau minyak (untuk longkahkan antara butir nasi).
Tumbukkan halia, bawang merah, bawang putih dan daun pandan (tidak mahu guna bawang merah dan putih pun tidak mengapa). Kacau dan rasakan santannya, barulah tekan on pada periuk nasi.

Foto: Miragas
Mudah bukan? Selamat mencuba!