familuv By: Shaidah Shafie February 18, 2020 @ 6:22pm

Ketahui 5 fakta penting penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak

Video menunjukkan seorang kanak-kanak kecil berada di atas lebuh raya yang tular baru-baru ini, wajar dijadikan iktibar kepada semua pengguna jalan raya. Kanak-kanak berkenaan dikatakan tercampak keluar dari kenderaan keluarganya selepas dilanggar sebuah kenderaan lain di lebuh raya.

Kanak-kanak berkenaan selamat meskipun hampir dilanggar beberapa kenderaan lain, tetapi apa yang penting kejadian itu menjadi bukti pentingnya penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam setiap kenderaan.

Statistik yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan, menunjukkan sebanyak 1,559 kes kematian kanak-kanak berusia bawah 10 tahun dari 2007 hingga 2017 berpunca daripada kemalangan di jalan raya sama ada akibat impak perlanggaran atau tercampak keluar dari kenderaan.

Pengarah Urusan Butik Barangan Ibu dan Bayi (Tateh), Sheikh Ahmad Haiqal Sheikh Murad, berkata penguatkuasaan berkenaan adalah langkah bijak demi keselamatan kanak-kanak, namun ibu bapa perlu mengetahui beberapa perkara penting mengenai pemakaian atau penggunaan CRS yang betul.

“Menggunakan kerusi keselamatan untuk anak-anak ini adalah satu tindakan yang sangat bagus, tapi ibu bapa perlu pastikan kerusi yang digunakan menepati piawaian yang sepatutnya dan sesuai dengan saiz anak.

“Lebih-lebih lagi, kerusi keselamatan kanak-kanak ini dikeluarkan oleh banyak syarikat dan semestinya cara penggunaan adalah berbeza bagi setiap jenama,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Detik Kehamilan Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ), Bangi, baru-baru ini.

Pada majlis itu, beliau turut berkongsi cara betul menggunakan CRS bagi memastikan keberkesanan penggunaannya. 

ARTIKEL BERKAITAN: 4 kesilapan lazim dalam pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak

Sheikh Ahmad Haiqal menunjukkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak kepada pengunjung pada majlis yang berlangsung di Bangi, baru-baru ini.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan setiap kenderaan persendirian wajib menggunakan CRS jika membawa kanak-kanak berusia bawah 10 tahun.

Penguatkuasaan itu membuka mata banyak pihak terutama ibu bapa mengenai keselamatan anak yang juga ‘penumpang’ tetap setiap hari sama ada ketika menghantar mereka ke rumah pengasuh atau ke tadika.

Meskipun pelaksanaan wajib pada 1 Januari lalu, pihak berkuasa belum mengenakan sebarang tindakan terhadap ibu bapa yang tidak meletakkan kana-kanak dalam CRS ketika dalam kenderaan, sebaliknya lebih memberikan nasihat sebelum penguatkuasaan sepenuhnya Jun ini.

Tempoh berkenaan diberikan bagi membolehkan setiap keluarga yang mempunyai anak kecil berusia bawah 10 tahun membeli CRS bersesuaian dengan umur si kecil.

Sejak pengumuman itu dibuat, kebanyakan butik barangan bayi turut melakukan persediaan dengan menawarkan pelbagai jenis CRS di pasaran.

Bagaimanapun, setiap jenama mempunyai cara penggunaan dan ciri keselamatan kerusi keselamatan kanak-kanak yang berbeza bergantung pada rekaan serta kreativiti masing-masing. 

Sehubungan itu, Sheikh Ahmad Haiqal berkata, pengguna dinasihatkan meneliti fungsi dan cara penggunaan kerusi keselamatan terlebih dahulu sebelum membeli bagi memastikan keselesaan si kecil.

“Setiap jenis kerusi keselamatan kanak-kanak mempunyai cara pemasangan berbeza, justeru penggunaan perlu mengetahui cara yang betul supaya anak berada dalam keadaan selamat apabila diletakkan di dalam kerusi berkenaan.

“Mungkin pada mulanya anak akan menangis apabila diletakkan di atas kerusi khas untuknya, namun ibu bapa perlu mendisiplinkan anak agar mereka biasa dengan kerusi berkenaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 5  jenis kerusi keselamatan kanak-kanak yang anda perlu tahu

Penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak mengikut piawaian yang dibenarkan. Sumber foto: Bernama.

 

Selain itu, antara perkara yang perlu diambil kira adalah kesesuaian umur kanak-kanak dengan CRS kerana bayi di bawah usia setahun tidak boleh menggunakan CRS khusus untuk kanak-kanak yang lebih dewasa.

Sheikh Ahmad Haiqal berkata, kerusi keselamatan lazimnya direka dengan mengambil kira kesesuaian saiz dan anatomi kanak-kanak, justeru ibu bapa perlu memastikan kriteria berikut dan bukannya membeli berdasarkan rekaan yang cantik.

“Saiz anatomi bayi yang lahir terbahagi kepada komposisi tubuh, kepala dan badan serta setiap anggota badan mempunyai nisbah berat yang berbeza. Sebab inilah kerusi keselamatan ada teknik penggunaan dan bukan boleh diletak ikut keselesaan sendiri.

“Ada kerusi keselamatan yang perlu diletakkan dalam posisi pandang belakang. Tujuannya adalah untuk melindungi leher, kepala dan bahagian belakang bayi atau kanak-kanak. Perlu diingat jenis kereta yang dipandu juga menghasilkan hentakan berbeza dan situasi ini menimbulkan kesan berlainan terhadap individu yang duduk di dalamnya,” katanya.

ARTIKEL BRKAITAN: 5 panduan elak anak meragam  ketika duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak.

 

5 Fakta penting mengenai pengunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang ibu bapa perlu tahu

# Kanak-kanak perlu menggunakan kerusi keselamatan sehingga tinggi mencecah 135 cm. Sekiranya tinggi sudah melepasi 135 cm, dia tidak perlu lagi duduk di dalam kerusi khas untuknya tidak kira berapa usianya.

# Jika kerusi keselamatan kanak-kanak diletakkan di bahagian belakang, letakkan ia dalam posisi pandang ke belakang.

# Pastikan kerusi keselamatan yang digunakan sesuai dengan ketinggian dan usia anak.

# Bayi tidak sesuai diletakkan di kerusi sebelah pemandu kerana dikhuatiri tercedera sekiranya beg udara melantun keluar dan boleh menyebabkan hentakan yang kuat pada kerusi bayi. Begitu juga apabila brek mengejut, kepala bayi dikhuatiri akan terlipat dan menyebabkan kecederaan.

# Elak meletakkan kerusi keselamatan kanak-kanak pada bahagian hadapan kerana ada beg udara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak.

ARTIKEL BEKAITAN: Panduan pilih, pasang kerusi kereta bayi & cara pujuk anak untuk biasakan diri.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Tue, 25 Apr 2023
Featured Wed, 17 Nov 2021

Bapa Tinggalkan Anak Tanpa Pengawasan, Budak 4 Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat 29

Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui mati terjatuh dari tingkat 29 akibat kecuaian seorang bapa meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan di rumah di sebuah kondominium dekat Jalan Ipoh, pada Selasa. Polis menerima laporan kejadian […]

Featured Mon, 8 May 2023
Acara Mon, 4 May 2020
Featured Wed, 23 Jan 2019

Ramai yang memuja kecantikan Imma, sayangnya dia hanyalah sebuah boneka… 

Melihat seleksi foto-fotonya, memang sukar mempercayai bahawa Imma adalah patung!