Mata jendela hati dan mata juga adalah ‘jalan’ kepada gerbang ilmu kerana menerusi mata banyak perkara boleh dilakukan terutama membaca buku yang membawa anda kepada pencarian ilmu.
Oleh itu, mata ialah satu harta yang tiada tolok banding nilainya dan penjagaan mata amatlah penting. Anda hanya memiliki sepasang mata yang telah diberikan oleh Tuhan dan hargailah ia sebaik mungkin.
Sepertimana tubuh yang memerlukan kalsium untuk tulang yang kuat dan sihat, mata juga memerlukan set pemakanan khusus bagi mengekalkan fungsi retina serta kesihatan mata.
Andai dijaga dengan baik dan mendapat khasiat yang cukup, anda boleh melihat dengan terang dan mengelakkan ia daripada mengalami kabur sebelum tiba masanya.
Ini antaranya makanan untuk mata yang kita boleh amalkan dalam pemakanan harian kita.
-
Sayuran berdaun hijau
Kailan dan bayam merupakan sayuran berdaun hijau yang sangat kaya dengan sumber Lutein dan Zeaxanthin. Ia adalah bahan antioksidan yang berfungsi dalam melindungi dan mengekalkan kesihatan sel dalam tubuh badan.
2. Tiram
Tiram ialah makanan yang kaya dengan sumber Zinc. Kekurangan Zinc boleh mengakibatkan gangguan penglihatan pada waktu malam dan masalah katarak. Bagi anda yang tidak menggemari tiram, makanan lain seperti udang kara, ikan salmon, daging merah atau susu boleh diambil untuk sumber Zinc menggantikan tiram.
3. Aprikot
Aprikot kaya dengan sumber Beta Carotene dan Lutein. Beta Carotene dan Lutein adalah daripada kumpulan Caretonoids yang membantu dalam mengekalkan fungsi penglihatan yang baik.
4. Telur
Telur juga antara makanan yang kaya dengan Zinc dan sumber Omega 3 serta Lutein. Ia mengandungi Carotenoids tetapi peratusannya tidak sebanyak seperti sayur-sayuran hijau. Penyerapan Carotenoids daripada sayur-sayuran hijau adalah lebih baik daripada telur.
5. Gandum
Kandungan vitamin E yang tinggi dalam gandum mampu mengurangkan risiko katarak. Selain daripada gandum, almonds, biji bunga matahari , mentega kacang dan serta ubi keledek juga boleh diambil untuk memperbaiki kesihatan mata anda.
6. Lobak
Lobak antara makanan yang terkenal dan sering dikaitkan dengan penglihatan yang bagus. Sayuran dan buahan yang berwarna oren dan kuning mempunyai beta karotene yang tinggi. Ia merupakan sejenis vitamin A yang boleh dijumpai dalam tumbuhan yang dapat membantu melindungi mata anda.