Categories: FeaturedGaya Hidup

M’sia dijangka panas hingga Oktober, ikuti 12 cara sejukkan badan

Laporan terkini daripada Bernama mengatakan bahawa Malaysia dijangka mengalami cuaca panas dan kurang taburan hujan hingga Oktober.

Bukan Malaysia sahaja, Singapura, Sumatera dan Indonesia pun sama!

Aduh! Tak syok betul jika cuaca sentiasa panas. Kalau hujan sekali-sekala pun sudah cukup bagus, betul tak?

Jadi dalam mengharungi hari-hari panas ini, apa yang anda perlu lakukan supaya rasa lega?

Yang paling ketara ialah pasang pendingin udara ketika tidur. Itu pun kalau anda memang ada alat pendingin udara di rumah.

Bagi yang tidak ada, ada banyak lagi cara untuk menyejukkan badan, menurut WebMD. Jom cuba!

1. Gunakan jenis kain cadar yang betul

Kain kapas atau linen mampu membuatkan anda rasa sejuk, membiarkan udara masuk dan menyerap peluh. Kain campuran kapas dan polyester pula tidaklah begitu sejuk.

Kemudian, cari kain dengan jumlah thread count di antara 200 ke 400. Jika ia lebih daripada itu, kain itu tidak akan dapat ‘bernafas’ dan mungkin akan menyerap haba serta kelembapan.

2. Sejukkan kain cadar sebelum tidur

Foto: WebMD

Masukkannya dalam plastik dan ikat atau zipkan betul-betul. Kemudian, letakkannya di dalam peti ais untuk beberapa minit sebelum memasang semula cadar pada tilam anda.

Memanglah rasa sejuk ini tidak akan kekal berpanjangan, tapi mungkin ia mampu bertahan hingga anda terlelap.

3. Bekukan botol air panas

Selalunya orang gunakan botol ini untuk memanaskan badan. Tahukah anda? Air sejuk pun boleh.

Isikan dengan air dan letakkannya di dalam peti ais. Sebelum memeluknya, anda mungkin perlu membalutnya dengan tuala, sekiranya berasakan  ia terlalu sejuk pula.

4. Gunakan pek ais

Jika anda betul-betul panas, gunakan pek ais ataupun tuala yang dibasahkan dengan air sejuk. Letakkannya di pergelangan tangan, buku lali, bahagian dalam siku dan di belakang lutut.

Lakukannya hanya untuk 20 minit pada satu masa. Pastikan anda lapikkan kulit dengan tuala dulu, jika anda rasa ia terlalu sejuk.

5. Pakai krim pelindung matahari

Kesan selaran matahari (sunburn) boleh membuatkan anda ternyahidrat. Lagi susah untuk badan anda berasa sejuk.

Jadi apabila anda keluar, pakai topi dan cermin mata hitam yang boleh melindung diri daripada terdedah kepada matahari.

Sapukan krim pelindung matahari (sekurang-kurangnya SPF 30, 30 minit sebelum keluar) pada kulit. Jika anda sentiasa di luar, anda perlu sapukan semula krim ini sepanjang hari.

6. Kurangkan pengambilan kafein

Kafein ialah ‘perangsang’ di dalam air kopi yang anda minum setiap pagi, yang membakar semangat anda untuk melakukan apa jua aktiviti pada hari itu.

Nampak sahaja seperti tidak merbahaya tapi ia boleh meningkatkan suhu badan anda. Jika anda sedia ada panas, kafein memang tidak bagus untuk diminum.

Bukan kopi saja, kafein boleh dijumpai di dalam coklat, teh, air soda, air minuman sukan dan banyak jenis ubat.

7. Gunakan katil lain

Foto: Brandalyn Marie

Dalam keadaan cuaca panas, bagi anda yang berkongsi katil, mungkin anda perlu cuba tidur secara berseorangan. Anda juga boleh tidur di bilik yang lebih sejuk udaranya.

Walaupun anda akan merindui pasangan tidur anda, nescaya anda akan rasa lebih segar esoknya.

8. Minum banyak air

Apabila badan anda panas, ia mengeluarkan haba ini menerusi peluh. Dan berpeluh ini sama sahaja seperti pendingin udara – ia memerlukan air untuk berfungsi.

Jadi ingat, sentiasa minum air untuk sejukkan badan. Beberapa jam sebelum anda melakukan aktiviti sukan, minum dulu beberapa cawan air.

9. Pastikan angin tak terperangkap di dalam bilik atau rumah

Foto: Best Life

Bagi anda yang menggunakan kipas angin, bukakan tingkap atau pintu supaya ada peredaran angin.

Anda akan terasa bahangnya ketika berada di dalam bilik yang mana anginnya terperangkap.

10. Pakai baju nipis

Mestilah anda perlu elak daripada memakai banyak helaian baju. Tetapi jenis kain pakaian itu pun anda perlu pilih yang betul.

Pilih pakaian yang nipis, longgar dan boleh menyerap, seperti kain kapas. Satu lapis sahaja cukup.

Pilih juga warna yang terang kerana kain berwarna gelap akan menyerap haba.

11. Mandi dengan air sejuk

Foto: EyeEm

Lapkan badan dengan air sejuk pun sudah cukup untuk turunkan suhu badan.

Mandi dengan air suam pun berkesan kerana badan anda akan rasa sejuk apabila air mula tersejat daripada kulit dan rambut. Tetapi jangan gunakan air yang terlalu panas pula!

12. Ambil masa untuk biasakan diri

Jika anda tiba-tiba pergi ke tempat yang jauh lebih panas daripada biasa, elak daripada melakukan banyak aktiviti luar. Tambahkan jumlah aktiviti satu demi satu hingga anda dapat biasakan diri dengan cuaca.

Jika anda rasa seperti hendak pitam, baring dan angkatkan kaki ke atas. Cuba pergi ke kawasan yang lebih sejuk dan minum air secepat mungkin.

Semoga hari-hari panas ini akan dapat diharungi dengan mudah, ya!

Ad Ops