Eat Travel By: Fadzlena Jafar December 9, 2019 @ 11:54pm

Mudahnya buat kek tiramisu dengan resipi ini

Kek tiramisu antara pemanis mulut Itali yang amat popular di Malaysia. Rasanya yang enak berkrim dengan sedikit sentuhan pahit espresso membuatkan kek ini antara pilihan untuk dihidangkan pada majlis istimewa.

Pasti ramai yang menyangka agak sukar untuk membuat kek tiramisu lebih-lebih lagi apabila melihat kek ini yang berlapis dan cantik.

Bagaimanapun, perkongsian pengasas Hand.Some.Cake, Mohd Helmi Osman pada Kelas Memasak Ekspress Bersama-sama Media anjuran LG Malaysia, baru-baru ini membuktikan membuat kek mewah ini tidak sesukar rupanya yang indah.

“Kek tiramisu adalah antara hidangan yang paling mudah untuk disediakan, malah tiramisu adalah antara kek yang tidak perlu dimasak kecuali ketika hendak menyediakan zabaglione, iaitu hanya menggunakan double boiler (periuk berlapis).

“Bahan-bahannya juga tidak banyak dan cara penyediaannya amat mudah. Apa yang penting, pastikan anda menggunakan keju yang betul kerana pemilihan keju adalah rahsia keenakan tiramisu dan saya lebih gemar menggunakan keju mascarpone,” katanya ketika membuat demonstrasi menyediakan kek tiramisu.

Wakil media bergambar bersama-sama Teo (tiga dari kanan) dan Mohd Helmi (empat dari kanan) pada program Kelas Memasak Ekspress anjuran LG Malaysia di Petaling Jaya, baru-baru ini. Gambar NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Yang turut hadir ialah Pengurus Besar Jabatan Permasaran LG Electronics (M) Sdn Bhd, Teo Yong Hung.

Pada majlis itu, LG Malaysia turut memperkenalkan peti sejuk baharunya, InstaView yang mempunyai pelbagai keistimewaan dengan teknologi yang canggih.

Selain jimat tenaga, peti sejuk itu juga antara produk LG yang dihasilkan dengan binaan wifi bagi memudahkan penggunanya mengawal dari jarak jauh.

Bagi yang ingin cuba membuat kek tiramisu ini, berikut dikongsikan resipi Mohd Helmi yang popular dalam media sosial menerusi perkongsian pelbagai rekaan hiasan kek yang bukan saja kreatif, tetapi juga enak sekali.

ARTIKEL BERKAITAN: Bakar Kek Soufflé Coklat Dengan Hanya 2 Bahan, Ringkas Tetapi Sedap!

Bahan-bahan:

1 pek (200 g) biskut jejari

Serbuk koko

Bahan bagi lapisan mascarpone:

6 kuning telur

¾ cawan gula kastor

1 cawan keju mascarpone

1 cawan krim putar

1 sudu teh ekstrak vanilla

Kulit oren, diparut

Bahan bagi sirap untuk biskut jejari:

1 cawan air panas

2 sudu besar gula kastor

1 sudu teh espresso

Cara membuat:

Menyediakan zabaglione yang terdiri daripada kuning telur, gula kastor  dan parutan kulit oren dipukul di atas periuk berlapis. Gambar NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

1. Bagi menghasilkan zabaglione, pukul kuning telur, gula kastor dan parutan kulit oren dalam mangkuk. Apabila sebati, letakkan di atas periuk berlapis yang panas (double boiler) dan pukul lagi sehingga adunan sebati dan kelihatan seperti kastard.

2. Apabila adunan sudah naik (kelihatan berganda daripada asal), angkat dan biarkan selama 15 minit sehingga berada dalam suhu bilik.

3. Masukkan keju mascarpone ke dalam adunan zabaglione dan pukul menggunakan pengadun sehingga sebati atau tiada lagi ketulan kecil.

4. Dalam mangkuk lain, masukkan krim putar dan pukul sehingga naik atau krim berkenaan tidak jatuh/meleleh apabila diangkat.

5. Masukkan 1/3 daripada krim putar tadi ke dalam adunan mascarpone tadi dan kaup menggunakan spatula sehingga adunan sebati. Masukkan baki sedikit demi sedikit sehingga sebati.

PETALING JAYA 05 DECEMBER 2019. LG baking class with media at Brickhouse Petaling Jaya. Gambar NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

6. Bagi penyediaan biskut jejari untuk dilapiskan dalam mangkuk, masukkan semua campuran sirap iaitu air panas, gula kastor dan espresso ke dalam mangkuk. Gaul sehingga gula larut.

7. Masukkan biskut jejari dalam larutan sirap tadi dan atur ke dalam mangkuk. Jangan rendam biskut kerana biskut jejari mudah lembik.

Lapisan bawah tiramisu dengan biskut jejari diikuti lapisan adunan keju mascarpone dan ulang langkah yang sama. Gambar NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

8. Selepas lapisan biskut jejari tadi, sapukan lapisan adunan keju mascarpone tadi dan buat langkah sama dengan menyediakan lapisan kedua biskut jejari diikuti adunan keju mascarpone.

9. Masukkan kek tiramisu yang sudah siap ke dalam peti sejuk. Biarkan semalaman untuk rasa yang lebih enak atau sekura-kurangnya dua jam dalam peti sejuk.

10. Langkah terakhir tabur serbuk koko di atas kek yang sudah siap untuk dihidang.

Tabur serbuk koko di atas tiramisu  apabila hendak dihidangkan. Gambar NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Nota: Pastikan serbuk koko tadi ditabur di atas kek tiramisu hanya apabila hendak dihidangkan kerana serbuk berkenaan boleh menjadi lembap jika ditabur lebih awal.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Wed, 7 Sep 2022
Featured Fri, 15 May 2020
Featured Mon, 12 Apr 2021

Benzoloo, Jonathan Tse Kini Semakin “Bebas”..

Kredibiliti muzikal dalam diri dua penyanyi, Benzooloo dan Jonathan Tse tidak perlu disangkal semakin terbukti berada dalam kelas tersendiri. Kini mereka tampil bergabung menerusi lagu terbaru berjudul Bebas. Bebas adalah lagu kedua kerjasama mereka selepas […]

Featured Wed, 20 Apr 2022