Pemakaian topeng muka terlalu lama boleh menyebabkan bahagian yang tertutup berpeluh, sekali gus menyebabkan minyak terkumpul.
Jika berlarutan, ia boleh menyebabkan risiko bintik hitam pada hidung kerana hidung adalah antara bahagian yang banyak menghasilkan minyak.

Kredit gambar: Gebrina Media
Selain itu, cuaca panas dan lembap di negara kita juga antara faktor liang pori mudah terbuka. Apabila liang pori terbuka, ia akan memudahkan bakteria masuk lalu menyebabkan liang pori tersumbat, sekali gus mengakibatkan bintik hitam muncul pada hidung.
Bukan itu saja, faktor gemar memakan makanan yang bergoreng dan berminyak juga akan menyebabkan lambakan bintik hitam pada hidung.
Kewujudan bintik hitam yang banyak boleh menyebabkan segelintir wanita berasa rendah diri. Majoriti mereka yang mempunyai bintik hitam gemar memicit bintik hitam menggunakan jari.

Kredit gambar: Raaniya Rajpar
Tidak dinafikan memang puas apabila lihat benjolan seperti ‘biji nasi’ itu dapat dikeluarkan, namun ini bukanlah cara terbaik untuk menghilangkan bintik hitam.
Memicit dengan jari terutama dengan tangan yang kurang bersih akan membuatkan kulit mudah dijangkiti bakteria, sekali gus mendedahkan kepada kemunculan masalah lain seperti jerawat.

Kredit gambar: Get Rid of Blackheads
Kaedah yang boleh dilakukan untuk menghilangkan atau mengurangkan bintik hitam di hidung adalah dengan memastikan muka dicuci dengan bersih sekurang-kurangnya dua kali sehari. Guna produk penjagaan penyental muka dua atau tiga kali seminggu untuk mencuci muka dan hidung.

Kredit gambar: Femina.in
Selain itu, sangat penting untuk amalkan gaya pemakanan sihat dan seimbang. Anda juga boleh memakai pelekat hidung yang dijual di pasaran untuk mengurangkan bintik hitam. Semoga bermanfaat!