Eat Travel By: Fadzlena Jafar July 13, 2019 @ 10:15pm

Paragliding penawar untuk mereka yang takut pada ketinggian

Pertama kali melakukan sukan luncur udara paragliding, pasti memberikan pelbagai  pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Ada yang berpeluh satu badan, muka pucat lesi, jantung berdebar kencang, malah ada yang kejang apabila berada di puncak bukit sebelum meluncur dan tidak kurang yang muntah apabila berada di udara.

Baru-baru ini, Realme Malaysia, jenama telefon pintar baharu yang kian mendapat tempat dalam kalangan pengguna menganjurkan Cabaran Dare To Leap dengan membawa sekumpulan media untuk melakukan sukan paragliding di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Aktiviti Paragliding bersama media anjuran Realme Malaysia bagi program Dare To Leap di Stadium Millennium, Kuala Kubu Bharu. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Program bersempena dengan kempen #daretoleap itu adalah simbolik bagi menggambarkan kehebatan teknologi Realme yang setanding jenama pintar sedia ada, malah dari sesetengah aspek, mungkin lebih baik.

Kesemua wakil media yang hadir dicabar untuk ‘melompat’ di udara pada ketinggian 1,400 meter dari puncak Bukit Batu Pahat di Kuala Kubu Bharu dan terbang ke Stadium Millennium yang terletak tidak jauh dari bukit berkenaan.

Meskipun tidak pernah melakukan aktiviti paragliding, kesemua wakil media termasuk penulis bersedia menyahut cabaran berkenaan.

Selepas mendengar taklimat oleh wakil daripada Kelab Luncur Udara Kuala Kubu Bharu (KLUKKB), kami dibawa menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD) melalui laluan mencabar untuk ke puncak bukit terbabit.

Sebaik tiba di puncak bukit, kebimbangan lebih terasa apabila melihat landasan untuk berlepas di lereng bukit yang agak curam. Ketika itu perasaan bercampur baur antara teruja dan takut, lebih-lebih lagi melihat pemandangan di bawah bukit yang saujana mata memandang.

Pemandangan dari puncak Bukit Batu Pahat yang indah, tetapi pasti menggerunkan bagi mereka yang takut pada ketinggian. – NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Bagaimanapun, bagi mereka yang ingin mencuba sukan ekstrem ini anda tidak perlu bimbang kerana akan terbang bersama-sama pakar dalam sukan luncur udara atau dikenali paragliding tandem (berpasangan).

Penulis difahamkan hanya mereka yang menjalani latihan dan mempunyai lesen sahaja yang boleh melakukan paragliding individu, manakala untuk tujuan komersial anda perlu melakukan paragliding tandem bersama-sama penerbang profesional.

Temu bual di udara

Penulis bersama-sama Mohd Faizal, atlet paragliding Malaysia yang menjadi penerbang bagi aktiviti paragliding tandem sempena program Dare To Leap anjuran Realme Malaysia di Kuala Kubu Bharu. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Kami hanya diberi masa seminit untuk memakai peralatan bagi sukan ini dan seminit lagi mendengar taklimat ringkas cara untuk berlepas oleh penerbang profesional paragliding, justeru debaran tidak begitu terasa.

Sebaik berlepas ke udara, perasaan takut pasti hilang apabila melihat keindahan alam sekitar dan burung yang berterbangan di samping anda.

Penulis sempat menemu bual atlet paragliding Malaysia, Mohd Faizal Abdul Wahab yang menjadi pasangan terbang ketika berada di udara.

Hebat orangnya, beliau sering mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa, termasuk beberapa kali mewakili Malaysia dalam pertandingan antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.

Ikuti temu bual dengan beliau menerusi rakaman video Hijab & Heels di bawah:

Paragliding semakin popular

Sukan luncur udara antara sukan lasak yang kian popular di negara ini. Selain Kuala Kubu Bharu, ketika ini ada beberapa lokasi yang digunakan untuk paragliding antaranya di Gunung Ledang, Johor; Bukit Jugra, Selangor; Gunung Jerai, Kedah; Bukit Bubus, Terengganu; Pedas, Negeri Sembilan; Bukit Kokol dan Ranau di Sabah.

Difahamkan sukan ini lebih banyak dikendalikan oleh kelab terutama dalam kalangan pencinta sukan ekstrem, namun melihat pada popularitinya yang semakin meningkat, sokongan pelbagai pihak khususnya kerajaan mampu menjadikan sukan ini sebagai tarikan pelancongan utama Malaysia kelak.

Sukan luncur udara paragliding semakin mendapat teempat dalam kalangan peminat sukan ekstrem. – NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti paragliding tandem di Kuala Kubu Bharu, harga bagi pelancong tempatan hanya RM300, manakala pelancong asing sebanyak RM350. Bayaran tambahan sebanyak RM50 akan dikenakan bagi individu yang mempunyai berat 90 kg atau lebih.

Bayaran berkenaan merangkumi perkara berikut:

    • Insuran harian
    • Video ketika di udara
  • Penerbangan antara 5 hingga 15 minit bergantung pada keadaan cuaca
  • Pengangkutan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dari Stadium Millennium ke landasan berlepas di puncak Bukit Batu Pahat (perjalanan kira-kira 10 minit melalui laluan mencabar)

Rasa gayat di udara

Jika anda tidak boleh berdiri di tepi lereng bukit atau terasa diri menjadi kejang apabila berdiri di kawasan atau bangunan tinggi, anda mungkin tergolong dalam mereka yang dikategorikan sebagai achrophobia.

Achrophobia atau takut pada ketinggian adalah antara 10 kebimbangan akut yang sering dialami bukan saja wanita, tetapi juga lelaki.

Selain achrophobia, ramai juga yang mengalami zoophobia iaitu takut akan haiwan, achlouphobia (takut akan kegelapan), claustrophobia (takut akan tempat sempit), glossophobia (takut untuk berucap di depan orang ramai), brontophobia (takut akan petir dan kilat), belonephobia (takut pada jarum suntik), agoraphobia (takut berada dalam kalangan orang ramai), pediophobia (takut pada benda tertentu seperti badut) dan triskaidekaphobia (takut pada no 13).

Jika anda tergolong dalam kumpulan yang takut pada ketinggian atau gayat, kebanyakan pakar psikologi berpendapat, penawar terbaik bagi menyelesaikan masalah itu adalah berdepan dengan ketakutan anda.

Mungkin melakukan sukan luncur udara paragliding ini boleh menjadi penawar bagi mereka yang gayat.

Wakil media yang menyertai program Dare To Leap Realme Malaysia diberi taklimat oleh penerbang profesional sebelum berlepas untuk paragliding tandem. – NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Mohd Faizal berkata, sesiapa saja termasuk mereka yang takut pada ketinggian boleh melakukan paragliding kerana aktiviti berkenaan memerlukan pergerakan berbanding jika seseorang itu sekadar berdiri di bangunan tinggi.

“Saya juga seorang yang gayat apabila berada di tempat tinggi contohnya di menara. Apabila berdiri di puncak sesuatu bangunan dan melihat ke bawah, saya akan berasa gayat kerana ia statik.

“Ini berbeza dengan aktiviti paragliding kerana konsep paragliding adalah terbang, iaitu anda akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah yang boleh digunakan bagi seseorang itu untuk menghilangkan rasa takut atau gayat apabila berada di tempat tinggi.

Panduan untuk menghilangkan rasa gayat

Ketinggian ketika melakukan aktiviti paragliding antara faktor menyebabkan ramai yang tidak berani melakukan sukan luncur udara paragliding. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Mohd Faizal berkongsi panduan untuk mereka yang takut pada ketinggian, tetapi berminat untuk melakukan sukan paragliding:

1. Pakai pakaian selesa

Sebelum terbang, pastikan anda memakai pakaian dan seluar yang bersesuaian untuk aktiviti lasak. Ini membolehkan anda berasa lebih selesa dan tidak mengganggu tumpuan anda.

2. Kasut sukan

Pakai kasut sukan yang bersesuaian dan pastikan tali kasut diikat kemas. Pergerakan di udara boleh membuatkan kasut tertanggal dan jika kasut tercabut anda mungkin berasa cemas di udara.

3. Simpan barang penting dalam beg

Persiapan sebelum berlepas penting bagi memastikan peserta berasa selesa sebelum melakukan paragliding . – NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN

Jangan letak telefon bimbit dalam saku seluar kerana telefon anda boleh jatuh, sekali gus membuatkan anda berasa panik di udara.

4. Tenangkan diri

Bagi aktiviti seperti paragliding, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menenangkan diri. Sibukkan diri dengan berlatih untuk berlari sambil mengenakan peralatan yang akan dipakai ketika terbang.

5. Kawal pernafasan

Sebaik anda bersedia untuk berlepas, cuba kawal pernafasan dan bernafas dengan baik.

6. Lihat sekeliling

Sebelum berlepas, jangan melihat ke bawah bukit, sebaliknya lihat panorama yang ada di sekeliling anda. Bayangkan selepas itu anda akan menikmati keindahan alam dari satu sudut yg berbeza dan menarik.

7. Ikut arahan penerbang profesional

Perkara ini paling penting, baik sebelum berlepas, ketika berada di udara dan apabila hendak mendarat. Ikut saja arahan penerbang profesional atau jurulatih kerana mereka lebih arif, sekali gus boleh mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Anda berani menyahut cabaran paragliding? Cubalah, anda pasti teruja berada di awan biru!

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Mon, 8 Aug 2022

“Saya Akan Besarkan Anak-Anak Kami Dengan…” – Dikritik Pilih Status Kerakyatan British Untuk Anak, Ini Respons Dr Amalina Bakri

Ini pilihan Dr. Amalina & suami. Lahir di Malaysia atau luar negara, yang penting anak tersebut ditatang bagai minyak yang penuh, dididik dengan baik untuk menjadi insan bertanggungjawab di masa hadapan.

Featured Fri, 1 Apr 2022

“Penyanyi Nasyid Juga Manusia Biasa..” – Raihan Mohon Jangan Cepat Jatuh Hukum Pada Yasin Sulaiman

Sebak pula mendengar pendapat Raihan mengenai isu penyanyi nasyid tersebut..

Featured Mon, 12 Jun 2023

Isu Buka Tudung Sehingga Kaitkan Arwah Bapa, Alya Iman Tampil Beri Respons

Amboi kemain netizen sampai libatkan arwah ayah dia 🥲

Eat Travel Fri, 11 May 2018

Sebelum Melancong Ke Tokyo, Belajar Dulu Tentang Etika Dan Budaya Orang Jepun

Mereka terkenal dengan budaya sopan, jadi apa salahnya kalau kita hormati gaya hidup mereka bila kita di sana?

Featured Mon, 1 Mar 2021

Moratorium Berakhir Mac Ini, Moratorium Menyeluruh Disarankan Buat..

Umum maklum, moratorium secara bersasar bagi mereka yang memerlukan bakal berakhir Mac ini. Justeru, Setiausaha Agung Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Stan Singh-Jit berkata aliran aktiviti runcit telah merosot dan menjejaskan perniagaan sektor itu susulan […]