Featured By: Fadzlena Jafar May 7, 2020 @ 2:08pm

Penulis Harry Potter ungguli senarai 5 penulis paling kaya di dunia pada 2019

Anda peminat Harry Potter dan pernah membeli novel berkenaan? Anda mungkin antara jutaan peminat siri Harry Potter yang menyumbang pada kekayaan luar biasa penulis novel berkenaan, JK Rowling.

Terkini, JK Rowling, sekali lagi diumum antara lima penulis buku yang menerima bayaran paling tinggi di dunia Forbes pada 2019, malah mengetuai senarai berkenaan dengan anggaran pendapatan RM397.95 juta (USD92 juta).

Jumlah berkenaan meningkat hampir 40 peratus berbanding pendapatan yang diterimanya pada 2018, iaitu RM233.52 juta (USD54 juta).

Pengiraan Forbes itu bersandarkan pada jumlah royalti yang diterima Rowling daripada perjanjian antara penulis dengan penerbit. Rowling yang dikatakan menerima 15 peratus bagi setiap jualan bukunya, boleh menerima bayaran sehingga RM6.49 bilion (USD1.5 bilion) daripada jualan semua novel Harry Potter.

Di samping itu, Forbes menganggarkan kesemua filem yang diadaptasi daripada enam novel Harry Potter berjaya membawa pulangan hampir RM15.14 bilion (USD3.5 bilion) dengan keuntungan bersih RM10.81 bilion (USD2.5bilion).

Rowling juga menerima bayaran kira-kira RM216.22 juta (USD50 juta) daripada royaliti buku yang dihasilkannya selepas novel Harry Potter, iaitu siri jenayah Cormoran Strike menggunakan nama pena Robert Galbraith.

Berbanding Harry Potter yang diilhamkan daripada pengalaman Rowling menunggu kereta api dari Manchester ke London pada 1990, buku siri jenayah itu dihasilkan berdasarkan minatnya terhadap genre misteri. Antara buku yang diterbitkan ialah The Cuckoo’s Calling (2013), The Silkworm (2014), Career of Evil (2015), dan Lethal White (2018).

Pada 2004, Forbes menamakan Rowling sebagai individu pertama yang memperoleh bayaran lebih RM4.32 bilion (USD1 bilion) daripada penulisan buku, selain turut disenaraikan sebagai penghibur wanita kedua terkaya di dunia.

Pada tahun sama, Rowling juga disenaraikan berada pada kedudukan ke-1,062 terkaya di dunia, namun beliau menafikan pengumuman Forbes itu kerana dikatakan kebanyakan pendapatannya turut disumbang kepada badan amal di seluruh dunia.

Meskipun ketika dunia beranggapan industri penerbitan akan melalui zaman malap berikutan era digital, kejayaan Rowling dan beberapa penulis buku yang berjaya memperoleh bayaran melebihi sembilan angka membuktikan buku cetakan masih mendapat tempat dalam kalangan peminat.

Menurut Forbes, selain bayaran royalti daripada penjualan buku, kebanyakan penulis buku memperoleh bayaran daripada pelbagai sumber lain berdasarkan buku yang ditulis mereka.

JK Rowling bukan sahaja penulis novel Harry Potter, tetapi juga terbabit dalam penulisan skrip bagi filem Harry Potter. (Kredit gambar)

Sebagai contoh, kebanyakan penulis yang mengungguli senarai lima penulis yang menerima bayaran tertinggi pada tahun lalu,memperoleh pendapatan daripada filem yang diadaptasi daripada novel mereka, taman tema yang menggunakan nama buku popular dan produksi teater.

Pengiraan pendapatan penulis itu berdasarkan anggaran yang diperoleh daripada sistem penskoran ditetapkan bermula 1 Jun 2018 sehingga 1 Jun 2019.

Bagaimanapun, jumlah dinyatakan itu adalah sebelum cukai dan bayaran kepada ejen, pengurus serta peguam yang mewakili penulis terbabit.

Berikut ialah senarai lima penulis yang menerima bayaran paling tinggi pada 2019.

1. JK Rowling – RM397.85 juta (USD92 juta)

Pendapatan lapan angka itu bukan daripada royalti bukunya, sebaliknya daripada kerjasama dengan taman tema, produksi teater dan filem baharu The Boy Who Lived. Bagaimanapun, Rowling masih menerima royalti daripada penjualan novelnya.

2. James Patterson – RM302.71 juta (USD70 juta)

Kredit sumber: YouTube

Penulis paling kaya di Amerika Syarikat (AS) itu berjaya menjual lebih 5.5 juta naskhah bukunya sepanjang sistem penskoran itu dilaksanakan. Buku bertajuk The President is Missing yang ditulis bersama-sama bekas Presiden AS, Bill Clinton tersenarai sebagai novel fiksyen dewasa terlaris pada 2018.

3. Michelle Obama – RM155.68 juta (USD36 juta)

Michelle Obama ketika majlis menandatangani bukunya, Becoming. (Gambar AFP/NICHOLAS KAMM)

Bekas Wanita Pertama AS itu ialah penulis yang tersenarai buat pertama kali dalam ranking penulis Forbes. Biografi yang diilhamkan daripada pengalamannya  sebagai Wanita Pertama, Becoming berjaya dijual lebih 10 juta naskhah sama ada dalam format cetak mahupun e-buku.

4. Jeff Kinney – RM86.49 juta (USD20 juta)

Penulis buku kanak-kanak, Diary of a Wimpy Kid itu berjaya memperoleh pendapatan tinggi berdasarkan jualan 3.6 naskhah buku terbabit di AS sepanjang 12 bulan itu.

5. Stephen King – RM73.52 juta (USD17 juta)

Kredit sumber: Bloody Disgusting)

Pendapatan penulis yang terkenal dengan genre novel seram itu sedikit menurun berbanding tahun lalu apabila beliau menerima RM116.76  juta daripada filem It yang diadaptasi daripada novelnya.

KREDIT GAMBAR UTAMA: Nairaland

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Tue, 5 Dec 2023
Featured Fri, 25 Nov 2022
Featured Mon, 20 Mar 2023
Featured Wed, 7 Dec 2022

“Saya Ambil Peluang Mengubati Kerinduan…” – Zamani Hanya ‘Memanaskan Badan’

Kuat semangat Zamani ni. Semoga diberi kesembuhan sepenuhnya

Featured Thu, 30 Nov 2023
Featured Thu, 26 Jan 2023