Featured By: Fadzlena Jafar March 19, 2020 @ 8:00am

Seramik Rohana letak Malaysia di peta dunia

Riak wajahnya begitu tenang ketika diumumkan penerima Tokoh Kraf Negara, anugerah tertinggi di negara ini yang mengiktiraf penggiat kraf tempatan.

Tiada air mata mahupun riak kegembiraan, namun menurut pekerjanya, itulah Rohana Abdul Rahman, pengasas Sweet Touch Ceramic Sdn Bhd (Sweet Touch Ceramic) yang sentiasa tenang dan bersahaja.

Ketika ditemui sejurus majlis penganugerahan berkenaan, anak jati Kuala Lumpur itu akui, meskipun bersyukur menerima anugerah itu, beliau gementar memikirkan tanggungjawab yang bakal dipikul kelak.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah sangka akan menerima pengiktirafan setinggi ini. Syukur dan terima kasih kepada kepada Kraftangan Malaysia kerana mengiktiraf hasil kerja saya. Anugerah ini untuk keluarga, kakitangan dan semua yang bersama-sama saya dalam merealisasikan impian ini.

“Pengiktirafan ini saya anggap satu amanah kerana saya perlu memastikan apa yang kami usahakan di Sweet Touch Ceramic terus berkembang dan diharap satu hari nanti dapat menjadikan Malaysia sebagai antara pengeluar seramik bermutu tinggi di dunia setanding negara pengeksport seramik terbesar, Itali,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hari Kraf Kebangsaan Meriahkan Tahun Melawat Malaysia 2020

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat (tiga, kiri) menyampaikan anugerah kepada Tokoh Kraf Negara 2020, Rohana Abd Rahman (tiga dari kanan) pada Majlis Perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2020 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur hari ini.
Gambar BERNAMA 

Selaku penerima keenam anugerah berprestij itu, Rohana menerima wang tunai RM60,000, sepersalinan songket, manfaat rawatan kesihatan kelas pertama di hospital swasta dan trofi.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (KPSB), Datuk Dr Noor Zari Hamat pada majlis perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2020, baru-baru ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Suryani Senja Alias; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) KPSB, Saraya Arbi; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) KPSB, Mohd Zamri Mat Zain dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Sebelum Tokoh Kraf Negara, Rohana pernah memenangi pelbagai anugerah lain termasuk pada peringkat antarabangsa seperti Anugerah Belia Kebangsaan kategori Usahawan pada (1992), pingat emas pada Century International ERA Award di Geneva (2010) dan Go Global Award di Chicago, Amerika Syarikat pada 2019.

ARTIKEL BERKAITAN: Kraftangan Malaysia Perkenal Inisitiaf Digital Bagi Pikat Generasi Muda

Rohana menunjukkan antara seramik yang dihasilkan syarikatnya, Sweet Touch Ceramic. Gambar NSTP/Jim

Hari ini, siapa sangka pemegang Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi daripada Universiti Malaya itu berjaya membangunkan perusahaan seramik yang bukan sahaja popular dalam kalangan peminat seramik tempatan, tetapi juga di luar negara.

Mengimbas kenangan lalu, Rohana berkata, minat terhadap kraf seramik bermula tanpa dirancang.

“Sebaik tamat pengajian lebih 30 tahun lalu, saya menjadi guru sementara di sebuah sekolah sambil menunggu tawaran kerja yang bersesuaian dengan pengajian diambil. Pagi mengajar, petang saya penuhi masa dengan menghasilkan bunga telur.

“Tetapi, apabila pelancong datang, mereka lebih berminat untuk membeli bunga batu yang diperbuat daripada seramik. Dari situ, saya mula terfikir untuk berkecimpung dalam pembuatan seramik,” katanya.

Dengan bantuan ibunya yang memberikan duit sebanyak RM15,000 hasil kemenangannya dalam Pertandingan Hafazan Peringkat Negeri Selangor, Rohana terbang ke United Kingdom untuk menimba ilmu mengenai seramik.

Sekembalinya ke tanah air, Rohana tidak menoleh ke belakang dan terus aktif menghasilkan pelbagai seramik bermutu tinggi sehingga mampu membuka dua kilang, satu di Kuala Lumpur dan satu lagi di Kuala Ketil, Kedah dengan keluasan 0.4 hektar.

Seramik dihasilkan Sweet Touch Ceramic bukan sahaja bermutu, tetapi digemari ramai berikutan rekaannya yang indah. Gambar NSTP/Jim

Kini Sweet Touch Ceramic turut mengeksport seramik ke luar negara antaranya China, Hong Kong dan beberapa negara di Eropah serta Asia Barat.

Bagaimanapun, Rohana tetap merendah diri, malah amat disayangi kakitangannya yang ada antaranya setia bekerja dengan wanita bertubuh kecil itu sejak lebih 30 tahun lalu. 

Beliau dikatakan amat pemurah dan sering membantu kakitangannya termasuk pernah meminjamkan wang untuk pendahuluan pinjaman rumah serta kereta. Beliau juga seorang yang tidak lokek ilmu dan sering berkongsi pengalaman dengan pelajar khususnya di Institut Kraf Negara.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu!

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Featured Fri, 11 Nov 2022
Featured Mon, 20 Mar 2023
Featured Thu, 19 May 2022

Selepas Setahun, Miera Leyana Akhirnya Dedah Wajah & Nama Puteri

Comelnya! Akhirnya Miera Leyana dedah anak perempuannya.

Featured Wed, 4 Jan 2023

Syafiqah Aina Hadiahkan Hafiz Mahamad Ferrari, Mahu Kereta Beri Manfaat Kepada Orang Ramai – “New Year & This Is For You!”

Pada permulaan tahun baru, usahawan kecantikan dan pempengaruh, Syafiqah Aina menghadiahkan suami tercintanya, Hafiz Mahamad sebuah kereta Ferrari berwarna merah. Menerusi perkongsian tersebut, Aina menyerahkan kunci serta merakam reaksi suaminya ketika mendapat kejutan dan hadiah […]

Featured Fri, 1 Oct 2021

BPR Tambahan: Semak Tarikh Rasmi & Jumlah Bayaran Mengikut Kategori Oktober Ini

Umum maklum, penerima BPR yang telah lulus rayuan akan menerima pembayaran pada 28 September bagi bank BSN, manakala bagi bank-bank lain pula bermula pada 4 Oktober 2021. Semakan status bayaran boleh dibuat melalui laman web […]