Ramadan sudah memasuki minggu ketiga dan mungkin ada antara kita mula ketandusan idea untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur terutama bagi ibu yang ada anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa.
Sifat kanak-kanak yang memilih makanan pasti tambah memeningkan kepala untuk menyediakan menu sesuai yang boleh menarik perhatian mereka untuk makan dengan berselera atau sekurang-kurangnya menjamah makanan ketika bersahur.

Ambil isinya sahaja ikan kembung ini. Foto: Arkib Hijab & Heels.
Dalam banyak situasi, nugget ayam sering menjadi penyelamat untuk memujuk anak makan, namun jika dihidangkan lauk sama setiap hari, bukan setakat si anak sahaja yang akan berasa jemu, individu dewasa juga tidak mustahil berasa bosan dengan menu sama.
Apa kata beralih pada menu berasaskan sumber protein iaitu ikan, tetapi bukan dihidangkan dalam bentuk ikan, sebaliknya jadikan ia nugget atau solok ikan yang boleh dinikmati dengan roti atau dimakan begitu sahaja.

Kelapa parut menjadikan rasa solok ikan lebih lemak. Foto: Arkib Hijab & Heels.
Hijab & Heels kongsikan resipi mudah untuk menyediakan solok ikan:
Bahan-bahan:
5 ekor ikan kembung (ambil isinya sahaja, boleh juga gunakan ikan tenggiri)
3 ulas bawang merah
2 tangkai daun kunyit (diracik halus)
1 cawan kelapa parut
1 cawan oat
1 biji telur
1 sudu teh serbuk cili/serbuk lada hitam
Garam secukup rasa

Jika adunan masih lembek, masukkan oat sedikit demi sedikit. Foto: Arkib Hijab & Heels.
Cara pembuatan:
1. Masukkan isi ikan ke dalam pengisar dan kisar sehingga hancur.
2. Masukkan bawang merah, kelapa, telur, daun kunyit dan serbuk perasa. Kisar lagi hingga sebati.
3. Apabila adunan sudah sebati, keluarkan daripada pengisar, masukkan oat dan gaul rata. Jika adunan masih lembik, tambah oat sedikit demi sedikit.
4. Ambil sedikit adunan, kepal dan tekan di atas tapak tangan sederhana tebal. Jika terlalu tebal, agak sukar untuk solok berkenaan masak sempurna. Jadikan seperti kepingan burger. Rehatkan seketika di dalam peti sejuk.
5. Apabila kepingan sudah agak mengeras, panaskan kuali dengan sedikit minyak, letakkan kepingan atau solok ikan tadi dan balikkan sekali sekala agar kedua-dua bahagian masak sekata. Tekan sesekali supaya ia cepat garing.
6. Apabila warna sudah kekuningan, itu tandanya ia sudah masak. Angkat, biarkan solok itu sejuk dan bolehlah dimakan dengan sos cili atau tomato.

Solok ikan juga boleh dimasak mengguakan oven. Foto: Arkib Hijab & Heels.
# Sekiranya mempunyai oven, adunan itu juga boleh dimasukkan ke dalam oven dan dibakar kira-kira setengah jam atau sehingga ia masak sekata.