Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang kini dikuarantin apabila tujuh petugas Istana Negara disahkan positif COVID-19 semalam, memohon rakyat untuk mendoakan kesihatan baginda dan keluarga.
Dalam hantaran menerusi akaun Instagram baginda sebentar tadi, Tunku Azizah menzahirkan kebimbangan akan kesihatan petugas Istana Negara apabila saringan yang dilakukan mendapati dua lagi petugas Istana Negara disahkan positif COVID-19.
Baginda turut memaklumkan mempunyai hubungan rapat dengan semua petugas yang disahkan positif COVID-19 kerana sejak minggu lalu bersama-sama menyiapkan makanan untuk kakitangan kesihatan di beberapa hospital.
“Setakat ini sudah sembilan orang (petugas Istana Negara) disahkan positif. Hanya tinggal saya sekeluarga (di Istana Negara) bersama tiga pembantu. Tiada siapa dibenarkan keluar bilik, no visitors (tiada pelawat dibenarkan).
“Ya Allah, selamatkan Malaysia. Saya mempunyai kontak rapat dengan kesemua sembilan petugas. Tolong doakan kami, kepada Allah (kami) berserah,” titah baginda.
BH melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong kini menjalani proses kuarantin diri selama 14 hari bermula semalam.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sudah menjalani saringan kesihatan dan pengesanan COVID-19, namun disahkan negatif.
Kesemua petugas Istana Negara yang dikesan positif COVID-19 itu kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sejak Selasa lalu.
Sementara itu dalam hantaran terdahulu, Tunku Azizah memaklumkan ketika ini baginda dan keluarga mematuhi prosedur kuarantin dengan berada dalam bilik masing-masing.
“Saya memohon kepada semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, doakanlah saya sekeluarga selamat.
“Kami self quarantine (kuarantin sendiri) dalam bilik masing-masing dan tidak bertemu sesama sendiri,” titah baginda.

Kakitangan Jabatan Bomba sedang memberi takilmat kepada kakitangan KKM di Istana Negara (Gambar sumber akaun Instagram Raja Permaisuri Agong)
Dalam hantaran itu, baginda berkongsi beberapa gambar keadaan di Istana Negara yang menunjukkan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Bomba berada di Istana Negara bagi memulakan prosedur pemindahan petugas Istana Negara ke hotel bagi proses kuarantin.
Perkongsian baginda itu turut memaparkan gambar yang menunjukkan petugas Istana Negara dipisahkan bagi prosedur penjarakan sosial (social distancing).
Baginda bertitah, petugas Istana Negara akan melalui prosedur ketat bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan petugas.
Berikut perkongsian Tunku Azizah mengenai prosedur pemindahan petugas Istana Negara:
1. Semua petugas diminta untuk menukar baju dengan memakai baju yang diberikan Jabatan Kesihatan.
2. Setiap petugas akan melalui proses penyahjangkitan sebelum menaiki bas. Semua barangan peribadi petugas juga akan melalui proses penyahjangkitan.
3. Petugas akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dan setiap kumpulan itu akan menentukan bas yang akan dinaiki. Kumpulan pertama membabitkan petugas yang sudah menjalini proses saringan dan disahkan negatif. Kumpulan kedua yang belum melakukan ujian calitan dan kumpulan ketiga membabitkan petugas yang sudah menunjukkan gejala seperti batuk, selesema atau demam.