Categories: Featured

YB Nurul Izzah Tidak Fikir Soal Kahwin, Lebih Selesa Bercinta Dengan Rakyat

Stail ikatan tudung bawal Nurul Izzah Anwar, 38, memang dah jadi signature style Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Permatang Pauh ini. Malah beliau tidak pernah dilihat mengenakan shawl atau selendang panjang.

“Kenapa tudung bawal? Kerana ia memudahkan pergerakan saya sebagai seorang aktivis politik,” katanya tentang kecenderungan pemakaian hariannya.

Wanita cantik manis ini diberi gelaran Puteri Reformasi ketika berusia 18 tahun. Semangat kobarnya dalam memperjuangkan keadilan ke atas bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) ketika itu menjadi fokus bual politik yang hangat.

Selepas 20 tahun bergerak aktif dalam politik, dia merentasi transformasi kematangan kepimpinan yang luar biasa.

Foto; Instagram Nurul Izzah

Meraih kepercayaan rakyat sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai untuk tiga penggal berturut-turut, ibu kepada dua cahaya mata ini menjadi inspirasi kepada ramai wanita Malaysia.

Sejak tiga tahun lalu juga, Nurul Izzah memangku status ibu tunggal. Tidak banyak yang dikongsi kepada orang ramai tentang cerita perpisahannya dengan bekas suami, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Namun begitu, Nurul Izzah melahirkan rasa syukurnya terhadap dukungan keluarga kepadanya dalam menumpukan tanggungjawab terhadap dua cahaya matanya, Raja Nur Safiyah, 11, dan Raja Ahmad Harith, 9.

Foto; Instagram Nurul Izzah

“Safiyah dan Harith adalah jantung hati saya. Mereka penguat semangat saya. InsyaAllah, selagi hayat dikandung badan, akan saya usahakan agar mereka menerima peluang pendidikan, didikan agama dan akhlak yang terbaik.

“Sebagai seorang ibu, kita harus kadangkala menjadi teman baik, pemimpin, pendengar setia mereka dan juga teman permainan, misalnya bermain bola sepak bersama Harith bila ada waktu terluang.

“Pada saya, sehebat mana kita sekalipun, anak-anak adalah permata yang harus kita jaga, tetapi mengimbangi perlindungan dengan kesediaan untuk mandiri mendepani cabaran hidup yang pelbagai kelak,” ujarnya membuka bicara.

Foto; Instagram Nurul Izzah

Nurul Izzah mengakui bahawa lebih ramai wanita di luar sana yang berdepan cabaran lebih perit berbanding dirinya, terutama ibu-ibu tunggal yang membesarkan anak-anak tanpa figura suami dalam institusi kekeluargaan.

Sebagai anak sulung DSAI yang dipanggil papa, sejak kecil Nurul Izzah diasuh dengan pengutamaan terhadap identiti bertunjangkan budaya. Kemajuan baginya, tidak seharusnya menjadi pemecah keunikan dan jati diri bagi memperkukuhkan identiti.

Diusik pertanyaan tentang lelaki dan jodoh termasuk rumours dilamar pihak Istana, Nurul Izzah tenang menyimpulkan bahawa tenaga dan keringatnya kini ditumpukan sepenuhnya terhadap perjuangan keadilan rakyat serta memperkukuh organisasi parti. Waktu lapangnya pula diperuntukkan untuk anak-anaknya.

Foto; Instagram Nurul Izzah

Sumber: Pepatung

Yanie Baharom