Categories: FilemTrending

Tunku Mona Riza Yakin Rain Town Ada Tarikan Tersendiri, Akui Gementar Bersaing Dengan 12 Filem

Pengarah Tunku Mona Riza mengakui berasa agak gementar apabila filem arahannya, Rain Town perlu bersaing dengan 12 filem lain yang bakali ditayangkan sempena Tahun Baharu Cina ini.

Menurut Tunku Mona, dia percaya filem arahannya itu mempunyai tarikan tersendiri serta mampu memikat penonton meskipun perlu bersaing dengan filem lain.

“Sudah tentu saya gementar dan memang ia ada kebenarannya. Sebelum ini kami sudah mendapat saranan agar filem ini ditayangkan pada Tahun Baru Cina.

“Bagaimanapun, kami telah merangka beberapa strategi pemasaran, termasuk lebih aktif menerusi media sosial untuk mempromosikan filem ini,” katanya.

Tunku Mona turut menyatakan filem kedua arahannya itu boleh ditonton oleh seluruh lapisan umur dan masyarakat walaupun berbahasa Kantonis.

“Sebagai seorang pengarah, saya memang teringin untuk melakukan sesuatu kelainan. Itu yang menyebabkan saya berani untuk mencuba hasilkan sebuah filem berbahasa Kantonis,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mona mengakui gementar bersaing dengan filem lain sempena Tahun Baru Cina ini, namun mereka telah membuat beberapa strategi seperti mempromosikan di media sosial dan sebagainya.

Lebih menarik lagi, filem itu juga menobatkan Tunku Mona sebagai pengarah wanita Melayu pertama yang mengarahkan filem berbahasa Kantonis.

Filem Rain Town terbitan Current Pictures Sdn. Bhd. dibintangi barisan pelakon-pelakon hebat seperti Chew Kin Wah, Susan Lankester, Fabian Loo, Wilson Lee dan Pauline Tan.

Filem itu akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 Februari 2024,

Fatin Nurain