Categories: Filem

Ulasan Jujur Filem ‘Seindah Kasih’

Pekerjaan dalam bidang media ini mempunyai cabarannya yang tersendiri. Filem Tonton original, ‘Seindah Kasih’ menyoroti kisah enam kaki tangan Media Prima daripada bahagian-bahagian yang berbeza. Krisis hubungan antara keenam-enam watak yang ditampilkan ini ketara tatkala kesibukan bulan Ramadan melanda.

Perbalahan tercetus antara Nazmi (lakonan Syafiq Kyle), seorang wartawan akhbar, telah mengutarakan rasa tidak puas hatinya terhadap Alia (lakonan Mimi Lana), pekerja bahagian Digital.

Di unit TV pula, Sharifah (lakonan Siti Saleha) berdepan konflik apabila pembantunya, Nina (lakonan Shasha Abedul) ingin meletak jawatan.

Konti radio juga diselubungi kemelut apabila pergaduhan tercetus antara Jamal (lakonan Anas Ridzuan) dan Khairul (lakonan Luqman Hafidz) sewaktu mereka bersiaran ke udara.

Setelah menonton filem arahan pengarah ternama, Nik Amir Mustapha dan Ariff Zulkarnain ini, berikut adalah pendapat jujur kami.

Apa Yang Best!

1. Jalan cerita menarik

Salah satu perkara yang menonjol tentang ‘Seindah Kasih’ ini adalah jalan ceritanya. Filem ini memberi penonton peluang untuk melihat cabaran yang dihadapi sebagai pengamal media dalam bahagian yang berbeza. Dari unit akhbar ke unit digital hinggalah TV dan radio – semuanya diketengahkan dalam ‘Seindah Kasih’. Ada juga diselitkan kisah datuk dan cucu di kampung yang menarik.

Sebagai pengamal media yang bertugas di sebalik tabir, kami berasa agak teruja melihat paparan tugasan kami. Memang ada hari, terasa macam nak jerit “Aku stress!” sekuat hati. Kami berasa filem ini dapat memberi sedikit sebanyak pendedahan tentang tugasan di sebalik tabir dunia media. Bukan semuanya tentang glamor sahaja!

Bagi yang biasa menjejak kaki ke Sri Pentas dan Balai Berita Bangsar, pasti ada lokasi-lokasi dalam filem ini yang menggamit memori.

2. Kesepadanan lakonan Mimi Lana dan Syafiq Kyle

Dalam dunia realiti, Mimi Lana dan Syafiq Kyle sememangnya sama cantik, sama padan. Kesepadanan mereka juga menyerlah dalam filem ‘Seindah Kasih’ walaupun watak yang dibawa mempunyai konflik di tempat kerja.

Kami memang dapat rasakan kemesraan antara mereka berdua. Walau mereka sibuk bertikam lidah dalam cerita ini, lirikan mata tidak dapat menyembunyikan kesepadanan pasangan ini. Memang comel!

Barisan pelakon lain iaitu Siti Saleha, Shasha Abedul, Anas Ridzuan dan Luqman Hafidz yang turut menjayakan cerita ini juga memberi persembahan yang memuaskan.

3. Lawak menjadi


Menepati genre komedi romantik, jenaka yang diketengahkan dalam ‘Seindah Kasih’ memang kelakar! Lebih-lebih lagi lawak yang disampaikan dengan nada bersahaja. Malah, gaya jenaka yang dibawakan tidak keterlaluan dan tidak berpaksikan perilaku yang karut.

Pada pendapat kami, penyunting berita iaitu bos kepada Nazmi adalah antara watak kelakar yang menonjol dengan ayat-ayat ringkas tetapi amat melucukan!

4. Pelakon watak sampingan pun mantap

Ini adalah ‘shoutout’ buat pelakon sampingan dalam filem ‘Seindah Kasih.’ Pembawaan watak mereka biarpun bukanlah watak utama sememangnya menambah seri filem ini.

Kami amat terhibur dengan pembawaan watak Eric yang dilakonkan oleh Fabian Loo. Cubaannya memujuk Jamal dengan semangatnya amat menggelikan hati. Watak Harun yang merupakan ‘Ustaz Scammer’ telah dilakonkan oleh Taqim Zaki. Telatahnya untuk meyakinkan Nazmi juga berjaya membuat kami gelak.

Kami juga menghargai watak adik Nazmi yang dilakonkan oleh Aida Amron. Ia berjaya menghidupkan hubungan adik-beradik yang suka menyakat antara satu sama lain.

Apa Yang Kurang Best!

1. Kesinambungan keseluruhan watak yang boleh diperkemas lagi

Kepelbagaian kisah yang dibawa dalam filem ‘Seindah Kasih’ ini memberi sentuhan yang menarik. Ia adalah salah satu elemen yang membuatkan filem ini menonjol. 

Walau bagaimanapun, kami merasakan bahawa jika diberi lebih ruang untuk perkembangan hubungan antara setiap watak, mungkin dinamik antara mereka akan lebih kukuh.

2. Penyelesaian konflik yang agak terburu-buru

Konflik yang dihadapi keenam-enam watak dalam ‘Seindah Kasih’ membangkitkan perasaan bercampur baur. Namun, menerusi lensa penonton, kami berasa yang cara penyelesaian setiap kemelut yang berlaku terasa seperti agak mendadak dan terburu-buru. Mungkin kekangan masa tidak mengizinkan konklusi yang lebih mendalam.

Keputusan:

Cerita Apa? ‘Seindah Kasih’
Di Mana? Strim Eksklusif di Tonton Bermula 12 April 2023

Afiqah Azizan