Gaya Hidup By: Fadzlena Jafar January 9, 2020 @ 6:19pm

5 rahsia gubahan sirih junjung, nombor 5 paling mengejutkan

Sirih junjung mempunyai kedudukan penting dalam adat Melayu. Selain digunakan dalam adat istiadat Raja-raja Melayu, sirih junjung juga penting dalam majlis meminang, bertunang dan perkahwinan masyarakat Melayu.

Masyarakat dulu meletakkan kedudukan sirih junjung pada tempat yang penting kerana kehadirannya bukan sahaja sebagai penyeri majlis, sebaliknya dikatakan mempunyai maksud tersirat yang menjadi lambang kehidupan berumah tangga yang penuh suka dan duka.

Bersesuaian dengan pelambangan itu, masyarakat dulu meletakkan sirih junjung sebagai pembuka majlis atau hantaran utama yang wajib disediakan kedua-dua belah pihak dalam istiadat pertunangan dan juga perkahwinan.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini peranan sirih junjung sebagai ‘ketua adat’ hantaran bagai dilupakan. Kekeliruan mengenai fungsi sirih junjung dalam majlis sebegitu mungkin punca ramai keluarga yang melupakan adat penting berkenaan.

Hakikatnya hantaran pertunangan atau perkahwinan tidak lengkap tanpa sirih junjung kerana pihak yang tidak menyediakan sirih junjung sebagai sebahagian daripada hantaran dianggap tidak beradat.

 

Pelbagai gubahan sirih junjung yang masih berasaskan konsep tradisional. Gambar hiasan/NSTP SHAIFFULAZHAR MISRI

Sirih junjung tradisional terbahagi kepada dua bahagian iaitu silinder disusun tegak dengan dihiasi sirih yang sudah digubah, manakala bahagian kedua gabungan sirih disusun mengelilingi binaan tegak berkenaan seolah-olah hiasan (skirting).

Gubahan berkenaan perlu menggunakan dauh sirih segar yang melambangkan kehidupan baharu, manakala pemilihan bunga berwarna-warni yang menghiasi bahagian atas gubahan pula melambangkan kehidupan yang harmoni.

Selain daun sirih dan bunga segar, sirih junjung tradisional turut meletakkan kapur, gambir dan buah pinang yang disusun indah. Ada yang menggubah buah pinang dan gambir dalam bentuk bunga yang diselitkan antara daun sirih dan ada juga yang meletakkan ketiga-tiga bahan berkenaan dalam bungkusan comel yang disusun di sekeliling gubahan sirih junjung.

Sesetengah keluarga meletakkan bahan sampingan seperti kapur, gambir dan buah pinang dalam bekas khas. NSTP/ROSELA ISMAIL

Sirih segar perlu digunakan dalam gubahan sirih junjung kerana sirih dikatakan melambangkan sifat mulia iaitu merendah diri, manakala kapur pula melambangkan hati seseorang yang putih bersih dan tulus. Gambir yang rasanya agak pahit dan sedikit kelat melambangkan kecekalan hati dan buah pinang pula digambarkan sebagai lambang keturunan orang yang baik budi pekerti, tinggi darjatnya serta jujur.

Bagi menyerikan lagi gubahan sirih junjung itu akan diletakkan di atas pahar, talam berkaki yang dibuat daripada gangsa atau tembaga.

Kebelakangan ini, masyarakat lebih gemar menyediakan gubahan sirih junjung moden yang disesuaikan dengan tema hantaran, malah tidak lagi mengambil kira peraturan dalam menyediakan gubahan sirih junjung.

tepak sirih diletakkan bersama-sama dengan sirih junjung yang menjadi pembuka hantaran bagi pihak lelaki. Gambar hiasan/NSTP/ROSELA ISMAIL

Misalnya, sirih junjung tradisional hanya membabitkan daun sirih segar, bunga, kapur, gambir dan buah pinang, gubahan moden pula turut meletakkan sirih junjung dengan hantaran lain seperti bekas cincin, wang hantaran atau mas kahwin, manakala sirih junjung moden diletakkan bersama barang lain sepeerti tepak sirih.

Selain itu, jika gubahan tradisional meletakkan lebih 80 peratus daun sirih sebagai bahan utama, gubahan moden pula daun sirih hanya 30 peratus sahaja, manakala 70 peratus lagi gubahan bunga sehingga ada kalanya menenggelamkan kehadiran daun sirih.

Dalam beberapa kes, ada juga keluarga yang tdiak lagi menggunakan daun sirih dan bunga segar terutama jika rombongan berkenaan berasal dari lokasi yang jauh kerana bimbang bunga dan daun sirih itu tidak segar lagi ketika majlis.

Sirih junjung moden menampilkan hampir 70 peratus bunga dan sedikit sahaja daun sirih sebagai syarat. Gambar hiasan/ NSTP/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.

Gubahan sirih junjung juga kini lebih pelbagai, selain gubahan bunga biasa, ada juga yang kreatif menghasilkan pelbagai rekaan unik berasaskan bentuk seperti bangunan KLCC, peti, kereta dan banyak lagi.

Berikut adalah 5 rahsia mengenai sirih junjung yang tidak ramai tahu:

1. Kedudukan

Sirih junjung diletakkan di bahagian depan hantaran sesuai dengan fungsinya. Gambar hiasan

Bersesuaian dengan kedudukannya sebagai pembuka majlis, sirih junjung mesti diletakkan di hadapan hantaran, malah ketika majlis orang yang bertanggungjawab membawa hantaran sirih junjung perlu berjalan di depan barisan.

Ketika majlis berlangsung, hantaran lazimnya diletakkan dalam satu barisan bertentangan dengan hantaran daripada pihak perempuan. Sirih junjung perlu diletakkan pada kedudukan pertama dalam barisan berkenaan, manakala bagi lelaki perlu diiringi dengan hantaran tepak sirih yang lengkap dengan daun sirih, kapur, gambir, buah pinang, tembakau dan cengkih.

2. Bentuk

Sirih junjung yang disediakan pihak lelaki perlu lebih tinggi berbanding hantaran sirih junjung yang disediakan pengantin perempuan. Gambar hiasan SHAIFFULAZHAR MISRI

Dalam tradisi Melayu, terdapat perbezaan bentuk sirih junjung yang disediakan keluarga pengantin lelaki dan juga perempuan. Sirih junjung yang mewakili pihak lelaki perlu digubah lebih tinggi berbanding gubahan sirih junjung pihak perempuan.

Perbezaan bentuk itu dikatakan bagi menunjukkan peranan dan tanggungjawab lelaki sebagai ketua keluarga dalam kehidupan berumah tangga.

3. Jumlah daun sirih

Jumlah daun sirih mesti ganjil apabila hendak disusun. gambar hiasan/NSTP/NURUL SHAFINA JEMENON

Generasi lama menyatakan sirih yang disusun perlu ganjil, misalnya ketika membuat gubahan hiasan di bahagian bawah yang berbentuk skirting. Letakkan tiga daun sirih bersama-sama bermula dengan saiz yang kecil di atas, diikuti daun saiz sederhana dan daun saiz besar pada kedudukan di bawah.

Lazimnya, sirih junjung tradisional perlu mempunyai 70 peratus daun sirih dan selebihnya bunga hiasan, namun hari ini masyarakat lebih mengutamakan bunga sebagai bahan utama sirih junjung. 

4. Bahan sampingan

Kapur, gambir dan buah pinang antara bahan wajib diletakkan pada sirih junjung. Gambar hiasan/NSTP/NIK HARIFF HASSAN

Kehadiran bunga segar dalam gubahan sirih junjung turut memainkan peranan penting. Jika dulu bunga yang digunakan antaranya ros, bunga melur, kenanga, cempaka dan bunga kertas, namun hari ini ramai yang memilih menggunakan bunga moden seperti bunga teluki (carnation) dan orkid.

Selain itu, masyarakat dulu turut meletakkan kapur, gambir dan buah pinang sama ada di susun dalam bentuk bunga atau dibungkus. Kononnya, keempat-empat bahan berkenaan wajib ada dalam sirih junjung sebagai simbolik kepada kehidupan suami isteri yang saling melengkapi.

Gambir, buah pinang dan kapur yang digubah menjaid bunga. Gambar hiasan/Sumber Puan Stoberi.

Ada juga yang menyatakan sirih, kapur, gambir dan buah pinang berkenaan boleh dijadikan bahan untuk ‘membuka’ jodoh wanita yang belum berkahwin. Oleh itu, keluarga yang mempunyai anak dara sudah berumur digalakkan mengambil keempat-empat bahan berkenaan tanpa meminta izin keluarga pengantin untuk diberikan kepada gadis berkenaan dan perlu dimakan. Petua ini diamalkan masyarakat dulu bagi mengambil berkat pengantin.

5. Waktu memetik daun sirih

Masyarakat dulu menitikberatkan waktu sesuai untuk memetik daun sirih khusus untuk sirih junjung. Gambar hiasan/NSTP/ AZIAH AZMEE

Dalam tesis bertajuk Ritual Dan Simbol Dalam Adat Perkahwinan Masyarakat Melayu Sekinchan, Selangor (Norhuda Salleh, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya), ada menyatakan masyarakat dulu amat mementingkan adat terutama membabitkan pertunangan dan perkahwinan.

Ini termasuk waktu sesuai untuk memetik sirih bagi digunakan dalam menggubah sirih junjung. Beradasrkan kajian yang dijalankan dalam tesis berkenaan, masyarakat dulu menyarankan waktu yang sesuai untuk memetik daun sirih bagi kegunaan sirih junjung adalah antara selepas subuh hingga sebelum matahari terbit. Tempoh itu penting kerana daun sirih dikatakan tidak layu dan tidak mudah koyak ketika digubah.

Pilih daun sirih yang tidak terlalu muda atau terlalu tua kerana daun yang sederhana itu bukan sahaja mudah untuk digubah, tetapi juga tidak keras untuk dimakan.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Gaya Hidup Fri, 17 Aug 2018

9 Mitos Diet Yang Mungkin Disalah Erti Selama Ini

Jom semak 9 mitos mengenai diet yang biasa anda dengar.

Featured Mon, 2 Mar 2020

Ingatkan kuih, nyaris nak gigit…

Kreatif sungguh, menarik dijadikan cendera hati!

Featured Fri, 30 Nov 2018

Selain Membayar Rumah, Anda Boleh Keluarkan Wang KWSP Untuk 7 Tujuan Ini

Langsaikan hutang PTPTN anak anda dengan skim Pengeluaran Pendidikan KWSP.

Featured Wed, 23 Nov 2022

Tak Kisah Jawatan Perdana Menteri Lambat Diumumkan, Aeril Zafrel Harap Keputusan Capai Kata Sepakat

Pelakon dan usahawan terkenal, Aeril Zafrel bersabar menanti pengumuman bakal Perdana Menteri ke-10 Malaysia. Menurut Aeril, lebih baik keputusan yang akan dibuat mengambil lebih masa bagi mendapatkan kata sepakat semua pihak dalam menentukan keputusan yang […]

Gaya Hidup Wed, 27 Jun 2018

Nak Buat Open House Raya? Ini Tip Penyediaan Makanan Yang Selamat Diamalkan

Dalam pada keterujaan menjamu juadah kepada tetamu, jangan sesekali memandang remeh soal kebersihan dan keselamatan dalam menyediakan makanan.

Gaya Hidup Wed, 2 May 2018

Dahi Berbentuk Donut Jadi Trend Baharu Di Jepun. Macam Ngeri!

Dahi berbentuk donut kini jadi trend di Jepun. Macam ngeri!

Featured Thu, 31 May 2018

Kalau Nak Kereta Sentiasa Bau Wangi, Anda Perlu Cuba Tip Ini

Kini masalah bau busuk kereta anda boleh diatasi dengan hanya menggunakan kopi sahaja!

Gaya Hidup Fri, 20 Jul 2018

18 Cara Elak Iritasi Dan Jangkitan Akibat Memakai Kanta Lekap

Pemakai kanta lekap mesti berhati-hati terutamanya apabila mengenakan solekan pada mata.

Events Sat, 22 Jan 2022