Gaya Hidup By: Shaidah Shafie December 16, 2019 @ 12:25pm

Seni latte, keindahan dan disiplin secawan kopi

Pemenang Anugerah Nobel Kesusateraan 1988, Naguib Mahfouz dikatakan mendapat ilham  menghasilkan karya penulisannya dengan duduk dan menulis sambil minum kopi di kafe yang terdapat di negaranya.

Daripada senario Naguib yang dikatakan gemar minum kopi dan berbalik pada fasa kontemporari kini membuktikan bahawa kopi masih lagi menduduki carta minuman paling digemari dan berada dalam kelas tersendiri bagi penggemarnya.

Tidak keterlaluan juga ramai yang mengatakan mereka memilih minum kopi terlebih dahulu sebelum memulakan rutin harian dan pemandangan melihat orang awam memegang cawan kertas dengan aroma kopi berbaur di udara sekali gus menjelaskan minuman di dalam cawan berkenaan adalah kopi.

Sama ada kopi kampung, latte, espreso atau kapucino, pokok pangkalnya kopi menjadi kegemaran ramai dan berupaya menjadi bahan ‘menyegarkan’ untuk meneruskan jadual seharian yang padat.

Latte umpamanya bukan sekadar minuman kerana ia turut dijadikan medium mempersembahkan bakat seni yang sangat ‘halus’ dengan menggunakan buih susu halus dilakar atau dicurahkan di permukaan kopi lalu membentuk motif tertentu.

Dennis ingin berkongsi rahsia mengenai kopi dan keindahan seni latte dengan penggemar kopi.

Pengajar Kopi Kanan, Dennise Hew, berkata minum kopi adalah satu perkara yang menyenangkan dan mempelajari mengenai seni latte juga adalah perkara yang sangat mengujakan.

“Kita mengetahui kopi adalah minuman kegemaran ramai, tapi berapa ramaikah yang pernah terfikir mengenai falsafah di sebalik menikmati kopi yang digemari serta diminum setiap hari itu.

“Cuba bayangkan alangkah menariknya jika kita mengetahui segala selok belok mengenai kopi seperti bagaimana menyediakan latte yang dilakar dengan motif menarik di atasnya, sambil minum sambil memerhati motif bentuk hati atau angsa putih di dalam cawan kopi anda,” katanya kepada penulis ketika menyertai bengkel seni latte di ibu kota, baru-baru ini.

Dennis berpengalaman luas mengenai kopi dan berhasrat berkongsi minat dengan penggemar kopi mengenai seni latte serta pelbagai perkara menarik mengenai disiplin kopi yang bukan sekadar minuman, tapi juga ‘alat’ penenang yang menjadikan individu lebih baik dalam kehidupan.

“Apa yang saya maksudkan fokus dan menjadi lebih baik dalam hidup ini adalah apabila kita menyediakan latte atau kapucino, kita perlu memberi perhatian supaya hasilnya nanti sempurna kerana kopi yang sedap bukan terhasil daripada serbuk kopi sahaja.

“Sebaliknya untuk mendapatkan kopi atau latte yang sedap, ada pelbagai kombinasi di dalamnya seperti masa, kesabaran, fokus, bahan dan malamat,” katanya lagi sambil tangan ligat memberi tunjuk ajar kepada penulis.

Penulis diajar cara memanaskan susu bagi mendapakan buih yang sempurna untuk dituang di atas permukaan kopi.

Perkara pertama yang diajar adalah ‘masa’ kerana masa memainkan peranan penting untuk memastikan eksrak kopi yang dimahukan cukup pekat serta tidak hilang aroma kerana jika terlebih ekstrak yang bererti terlebih masa ekstrak, kopi yang diperoleh tidak menyamai piawaian pekat yang dikehendaki.

Beliau berkata, fokus yang sama juga membabitkan kaedah memanaskan susu untuk mendapatkan buih yang halus dan berkilat, namun pada masa sama perlu memastikan tekstur susu tidak pecah atau rosak, disiplin ini memerlukan fokus yang jitu dan tepat.

“Ada empat langkah asas yang perlu dipelajari apabila ingin menyediakan latte yang ada lukisan cantik di atasnya kerana kita tentu mahu minum latte yang sedap dan cantik jika memesannya di kafe.

“Empat langkah berkenaan ialah break the crema, landing, lift up dan cut through. Dengan empat langkah asas ini terhasillah latte yang dikehendaki,” katanya yang juga kini dalam usaha menyiapkan buku mengenai kopi.

Dennis menunjukkan cara membuat buih hiasan di atas latte.

Langkah 1: Break the crema

Ekstrak kopi dinamakan ‘crema’ dan ia lazimnya hanya memenuhi ¼ ruang di dalam cawan kopi, manakala break the crema merujuk pada keadaan apabila buih susu dituangkan ke dalam cawan berisi crema.

Langkah 2: Landing

Landing atau mendarat merujuk pada keadaan apabila sebahagian susu dituang pada kadar yang diperlukan dan memenuhi 2/4 ruang cawan yang sudah berisi krim sebelumnya dan apabila susu tinggal sebahagian sahaja lagi, kole yang mengandungi susu perlu diangkat sedikit daripada permukaan cawan.

Langkah 3: Lift up

Langkah ini memerlukan susu diangkat lebih tinggi sedikit daripada birai cawan bagi membentuk bulatan yang akan muncul pada permukaan.

Langkah 4: Cut through

Langkah yang diaksudkan sebagai cut through atau ‘potong terus’ ini memerlukan susu dilalukan dengan cepat  pada bahagian tengah bulatan ke hujung atas bertujuan membentuk motif ‘hati’ yang dikehendaki. Tuang susu sehingga habis dan kemudian anda boleh minum latte yang dihasilkan sediri.

Bagi penulis, seni latte sangat mengujakan untuk dipelajari kerana ia menjadikan kita lebih fokus untuk menghasilkan kopi berhias yang dikehendaki dan manfaat lain ialah teknik menyediakan kopi ini seakan-akan mengajar diri supaya lebih memberi tumpuan dalam apa sahaja usaha yang dilakukan.

Perkara paling menyeronokkan ialah menikmati kopi yang anda hasilkan sendiri, mengetahui dan mempelajari setiap selok belok mengenainya, malah nikmat setiap hirupan juga berbeza dengan kopi yang dihasilkan oleh barista di kafe yang anda kunjungi dengan kopi yang baristanya adalah diri sendiri.

Berminat mempelajai seni latte dan minum latte yang dihasilkan sendiri di samping mengasah bakat sebagai barista, Dennis menawarkan pengalaman menarik menghasilkan latte menerusi bengkel yang diadakan di Kafe RGB.

Bengkel asas atau fundamental mengenai seni latte ini boleh dijayakan bersama rakan secara berkumpulan sama ada ‘dua invidivu’ (bermula jam 11 pagi hingga 3.30 petang – RM300) atau ‘empat individu’ (4 petang hingga 6.30 petang – RM150) dan 10 peratus daripada yuran bengkel akan disumbangkan kepada rumah kebajikan terpilih.

Berminat menyertai bengkel ini, hubungi Dennis menerusi Instagram @rgb.latteart  atau hantar mesej pesanan ringkas ke 012 222 2674.

| Live TV

| ARTIKEL Xtra

Gaya Hidup Thu, 12 Sep 2019
Featured Tue, 12 Oct 2021

Nak Bercuti Rentas Negeri Tapi Masih Ragu-Ragu? Jangan Risau, Ikuti 5 Saranan Ini!

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan berita gembira yang dinantikan oleh ramai rakyat Malaysia iaitu kebenaran untuk merentas negeri yang telah berkuatkuasa bermula Isnin, 11 Oktober 2021. Ramai yang sudah merancang untuk […]

Gaya Hidup Tue, 22 Jan 2019
Gaya Hidup Tue, 26 Nov 2019
Featured Sun, 16 Jun 2019

Prof Raha mahu UTeM  jadi ‘kilang’ lahir ahli teknologi berkemahiran tinggi

Lakar sejarah sebagai wanita pertama dilantik NC MTUN

Featured Mon, 2 Sep 2019

Sangkar bagaikan filem pertarungan MMA sebenar!

Saksikan di pawagam yang berhampiran dengan anda!

Gaya Hidup Tue, 29 Jan 2019
Gaya Hidup Mon, 28 Jan 2019

33 gambar laut dalam yang menang anugerah, anda pasti terpukau melihatnya

Gambar-gambar ini akan membuatkan anda mengagumi ciptaan Tuhan