‘Ada Sebab Kenapa Allah Tak Bagi…’- Marsha Luah Hasrat Jadi Ibu

Empat tahun berkahwin, penyanyi Marsha Milan mengaku sudah melakukan beberapa rawatan untuk mendapatkan zuriat.

Kata wanita berusia 34 tahun ini, dia tidak tertekan namun akan terus berusaha untuk bergelar ibu suatu hari nanti.

“ Jadi, sebagai isteri, tentunya saya menyimpan impian untuk memiliki cahaya mata sendiri.

“ Saya ada menjalani beberapa rawatan seperti mengurut dan sebagainya. Namun, belum ada rezeki buat saya dan suami,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah pelantun lagu Bimbang ini, dia dan suami akan cuba mengusahakan sesuatu pada penghujung tahun ini.

 “Insya-Allah, hujung tahun ini saya akan usahakan sesuatu dan berharap semua dapat mendoakan usaha ini berhasil,” katanya.

Katanya, suaminya juga sentiasa mengingatkannya bahawa rezeki setiap hamba Allah itu sudah ditetapkan.

“Saya dan suami ada berbincang dan katanya, kalau belum ada rezeki buat kami, tak mengapa. Kalau ada, Alhamdulillah.

“Kadang-kadang, mungkin ada sebab kenapa Allah tak bagi (anak) sekarang. Jadi, saya akan usaha dan berdoa,” katanya.

Marsha dan Shaiful Nizam disatukan sebagai suami isteri pada Disember 2015 di dalam sebuah majlis tertutup di Pulau Pinang.- Harian Metro.

SGMS Faida