Adi Putra Tetap Tidak Akan Hadir Tayangan Di Jakarta – “Saya Terkilan..”

Pelakon Datuk Adi Putra masih tetap dengan pendiriannya untuk tidak hadir ke Malam Gala Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia pada 26 Ogos ini.

Menurut Adi, dia akan hadir ke majlis tersebut sekiranya ada pihak pengajur yang menjemputnya untuk hadir ke sana sekiranya ada masa.

“Saya masih berpegang prinsip untuk tidak hadir ke sana melainkan ada pihak penganjur dari Indonesia yang menjemput saya untuk hadir, insya-Allah saya akan hadir mengikut ruang dan waktu saya.”

Selain itu, Adi juga memaklumkan pihak syarikat penerbitan, Studio Kembara masih bersikap ‘silent mode’ atau berdiam diri sehingga kini.

“Sampai sekarang ‘silent mode’ la. Saya menerima 11 panggilan dan saya tak mengankat sebab saya terkilan kerana sebelum itu saya cuba hubungi mereka selama dua minggu sebelum itu. Saya tak menyimpan hati malah meminta maaf dan saya berlapang dada. Tapi, sampai sekarang belum dihubungi lagi.

“Saya berlapang dada kerana kita harus bersikap profesional dan berkata benar. Saya mendoakan supaya 26 hari bulan nanti semoga filem Mat Kilau mendapat perhatian besar di sana,” katanya kepada XTRA.

Pekongsian tersebut telah didedahkan oleh Adi Putra ketika ditemui di Majlis Pra Tonton dan sidang media Filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, semalam.

Dalam pada itu, dia turut menyatakan perkara ini membuatkan dirinya berasa sangat terkilan kerana masih gagal untuk berkomunikasi dan berhubung dengan mereka.

“Saya terkilan sebab setiap manusia tidak sempurna. Dalam masa yang sama saya menghormati penerbit, sebab kita mengikut dan buat seperti diamanahkan dalam kontrak.

“Kita dah sempurnakan tanggungjawab. Dah galas dan saya sendiri secara peribadi seperti dikatakan tadi manusia tak sempurna ada perasaan seperti gembira, sedih dan terkilan,” katanya.

Sebelum ini, Adi Putra telah memuat naik sebuah kenyataan di Instagramnya yang berbaur kesal dengan sikap penerbit yang sukar untuk berkomunikasi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya Tak Akan Hadir Tayangan Mat Kilau Di Jakarta” – Adi Putra Kesal Dengan Penerbit? Ini Penjelasan Kembara Studio

Adi juga sempat menyatakan dirinya akan mempertimbangkan untuk membintangi filem Mat Kilau 2 seperti yang dirancang sekiranya komunikasi antara semua pihak berjalan dengan baik.

“Filem Mat Kilau 2 saya akan pertimbangkan. Komunikasi sangat penting. Komunikasi akan pergi ke diskusi.

“Saya akan pertimbangkan sewajar-wajarnya. Setiap pengajaran ada hikmahnya yang kita akan ambil sebagai satu iktibar terbit. Saya nak mengatakan untuk laksanakan itu tidak tapi saya akan pertimbangkan,” katanya.

Fatin Nurain