Categories: HiburanSelebriti

Adik Sudah Popular, Apa Komen Fasha Sandha?

Pelakon terkenal Fasha Sandha mengakui pada awalnya dia tidak bersetuju adiknya, Elisya Sandha bergelar pelakon.

Fasha ketika ditemui di Majlis Penamaan Calon Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) memaklumkan telah meletakkan beberapa syarat kepada adiknya.

“ Jujurnya pada awal dia memaklumkan keinginan untuk berlakon, saya tidak bersetuju. Ini kerana bergelar seorang selebriti tidak seindah yang disangka.

“ Lama kelamaan saya nampak dia cukup serius dalam bidang ini. Sebagai seorang kakak, saya perlu menyokong penuh minatnya tetapi dengan syarat.

“ Saya sangat menepati masa. Jadi sebagai adik, dia perlu menjaga nama baik saya dengan menjadi pelakon menepati masa. Saya selalu ingatkan dia agar jaga nama keluarga dan nama kakaknya sebagai selebriti,” tegasnya.

Fasha yang merupakan salah seorang juri lakonan di DFKL 2019 memberitahu Elisya sering meminta nasihat daripadanya berkenaan hal teknik lakonan.

“ Saya sendiri masih dalam proses belajar cuma saya lebih lama dalam bidang ini. Saya sentiasa cari kelemahan dia agar dia belajar dari kesilapan.

“ Antara tips yang saya selalu kongsi agar jangan selalu berkerut dahi. Banyak lagi yang saya kongsikan ilmu bersama. Apa yang saya harapkan agar dia terus belajar dari masa ke semasa,” katanya.

Nama Elisya menjadi bualan selepas lakonannya yang bersahaja dalam drama rantaian popular, Pujaan Hati Kanda mendapat pujian ramai.

Dalam perkembangan lain, Fasha bakal masuk ke set penggambaran semula selepas selesai majlis perkahwinannya yang berlangsung pada bulan Mac ini. Selamat Pengantin Baru Fasha dan Aidil! 

SGMS Faida