Air Ketuban Madammu Bocor, Akur Jika Perlu Bersalin Normal – “Sakit Tapi Bukaan Belum Ada…”

Usahawan kosmetik, Eriyca Baiduri atau lebih mesra disapa Madammu terpaksa dikejarkan ke hospital gara-gara mengalami kebocoran air ketuban pada pagi Jumaat.

Memetik laporan mStar, Madammu masih menerima rawatan dan sedang menunggu keputusan ujian daripada doktor pakar.

“Saya masih di labour room sedang kontraksi. Ada leaking sikit. Selalu orang nak bersalin air ketuban pecah terus, macam saya air ketuban tu keluar sikit-sikit.

“Sekarang saya sedang tunggu keputusan daripada doktor. Doktor sedang pantau jantung bayi. Mereka pun sedang check leaking tu sebab apa,” katanya.

Usia kandungan yang berusia 36 minggu itu mengalami kebocoran air ketuban pada pukul 1 pagi dan sedang mengalami kontraksi ringan.

“Sebenarnya saya sudah rasa leaking tu lewat malam tadi kira-kira pukul 1 pagi. Saya tidur saja dulu dan hanya pantau di rumah. Lepas tu air tu dah tak keluar.

“Pagi tadi sekitar pukul 11 pagi saya ke hospital, doktor panggil untuk check air ketuban.

Buat masa sekarang saya ada juga sakit tapi tidaklah terlalu sakit,” jelasnya.

Madammu yang hamil melalui proses in vitro fertilization (IVF), dia sepatutnya melahirkan bayi secara pembedahan namun akur jika perlu melahirkan secara normal.

“Saya nak cakap pun susah sebab bukaan pun belum ada. Saya pun tak rasa sakit yang keterlaluan lagi.

“Sepatutnya saya bersalin Jumaat minggu depan iaitu 9 Jun, tapi kalau hari ini ada bukaan kemungkinan saya perlu melahirkan secara normal.

“Kemungkinanlah, saya tak pasti sebab nak kena tunggu keputusan doktor juga. Kalau saya melahirkan hari ini, kiranya awal seminggulah,” ujarnya.

Terdahulu, Madammu dikejarkan ke hospital akibat mengalami tekanan darah tinggi secara tiba-tiba kerana tidak dapat rehat yang cukup.

Maya Basir