AJL 37: Bakal Bawa Lagu Mainan Dalam Konsep Paling ‘Gila’, Naim Daniel Tak Akan Menyanyi Di Pentas?

Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel meluahkan rasa syukur kerana diberikan peluang menyertai anugerah berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) untuk kali ketiga.

Pernah bergelar Juara pada AJL 34 menerusi lagu Sumpah, Naim yang menyedari dirinya tidak hadir dengan pakej vokal mantap hanya mahu memberi tumpuan kepada seni persembahan keseluruhannya.

Mempertaruhkan lagu Mainan dalam AJL 37, Naim mahu peminat dapat memahami mesej yang tertera dalam lagu tersebut.

“Ini tahun ketiga dan merupakan satu pengiktirafan untuk saya. Pada setiap tahun memang saya akan cuba untuk fokus kepada persembahan.

“Sebab saya percaya saya bukan datang dengan pakej ‘power vocal’, tapi saya nak orang dapat immersive experience yang orang boleh tengok especially penonton apa yang saya cuba sampaikan mesej sebalik lagu,” katanya.

Bercerita mengenai konsep lagu Mainan di AJL 37, Naim berkata dia mahu membuat persembahan luar biasa dan bersejarah.

“Untuk persembahan tersebut, saya akan cuba untuk membawa sesuatu yang bakal diingati, sentiasa diingati, akan dijadikan bualan ramai.

“Konsep dalam muzik video saya bawakan semula dan sebenarnya saya juga mahu push limit sendiri untuk another level. AJL ni saya rasa adalah untuk pengkarya lebih express diri mereka.

“Saya sebagai pengkarya pun nak fokus bukan sahaja kepada persembahan, tapi persembahan yang memuaskan diri sendiri juga. Saya tak akan menyanyi di pentas,” selorohnya ketika ditemui XTRA.

Siapakah yang bakal bergelar juara bagi edisi kali ini? Jangan lupa saksikan malam kemuncak AJL 37 pada 12 Februari 2023 jam 9.00 malam di TV3 dan strim langsung secara HD, eksklusif di platform penstriman Tonton www.tonton.com.my.

Sebanyak 12 finalis AJL 37 yang akan berentap iaitu Ernie Zakri (Korban), Marsha (Kembali Terang), Aina Abdul (Terus Hidup), Iman Troye (Nang), Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia), Joe Flizzow dan Sona One (Satu Malam Di Temasek), Aliff Satar (Anugerah Terindah), Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi (Debu), Noki dan MK (Payung Pelangi, Khai Bahar (Sengsara), Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan).

Aqilah Paharuzi