AJL 37: Dayang Nurfaizah & Amir Masdi Saling Melengkapi, Janjikan Yang Terbaik Buat Penonton

Berbaki beberapa hari sahaja lagi pentas berprestij Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) bakal membuka tirai, finalis AJL 37, Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi janjikan persembahan terbaik pada malam tersebut yang bakal berlangsung Ahad ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Mempertaruhkan lagu Debu untuk AJL 37, Dayang dan Amir fokus dalam memberikan yang terbaik serta dapat memberi kepuasan kepada penonton.

“Sebenarnya Dayang datang separuh akhir tempoh hari cuma nak membuat persembahan, dan bila lagu Debu layak ia adalah bonus.

“Ia tanggungjawab berdua jadi saya tak mahu saya seorang sahaja buat yang terbaik, saya tak mahu menghampakan. Kalau kami tidak layak ke AJL pun, kami sudah lakukan yang terbaik di peringkat separuh akhir.

“Apa yang kami letakkan sebagai keutamaan adalah persembahan yang kemas dan orang dapat rasai dan ingat persembahan itu. Bila kita berikan yang terbaik, apa-apa keputusan yang dapat kita terima juga,” ujar mereka kepada XTRA.

Disoal mengenai tekanan, Dayang dan Amir mengakui wujud rasa tertekan namun hanya bersifat positif.

“Setiap kali berduet, ia bukan macam lagu solo tapi bila berduet ni kita jangan pentingkan diri sendiri. Apa yang kita boleh buat untuk lagu ini dengan terbaik.

“Tekanan sama sahaja, apa-apa lagu duet sekali pun, untuk Amir, saya tahu dia seorang penyanyi yang bagus, jadi saya takut saya pula yang merosakkan.

“Setiap orang ada harapan, walaupun berduet tapi secara personalnya masing-masing ada harapan sendiri. Dayang harap boleh bagi apa yang Amir harapkan untuk persembahan pada malam tersebut.

“Tertekan itu memang ada tapi secara positif. Kami jadikan ia satu semangat atau batu loncatan untuk memperbaiki persembahan,” jelasnya.

Tambah mereka, untuk mewujudkan harmoni dalam menyampaikan lagu Debu, Dayang dan Amir memberitahu, perlunya bersifat ikhlas dalam membuat persembahan

“Yang penting ikhlas bila bernyanyi bersama-sama, setiap kali berduet ni Dayang suka bersama-sama kehadapan bukan masing-masing nak menonjol.

“Lebih-lebih lagi untuk lagu Debu ini, dia memang perlu ada harmoni, saling menyokong walaupun lagu tersebut macam bergaduh tetapi nyanyian kami perlu saling melengkapi.

“Apa yang kami mampu buat adalah beri persembahan yang terbaik, ikhlas dan orang akan mengingati persembahan itu. Menang atau tidak, kami terima,” katanya.

Single Debu yang mula dilancarkan pada 22 Februari 2022 adalah hasil ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim.

Untuk info Dayang mencipta hatrik apabila meraih Vokal Terbaik AJL pada edisi ke 29, 30 dan 31.

AJL 37 yang dihoskan oleh pengacara Sherry Alhadad dan Jihan Muse itu bakal bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, pukul 9.00 malam di TV3 dan strim langsung secara HD, hanya eksklusif di platform penstriman Tonton www.tonton.com.my.

Sebanyak 12 finalis AJL 37 yang akan berentap iaitu Ernie Zakri (Korban), Marsha (Kembali Terang), Aina Abdul (Terus Hidup), Iman Troye (Nang), Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia), Joe Flizzow dan Sona One (Satu Malam Di Temasek), Aliff Satar (Anugerah Terindah), Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi (Debu), Noki dan MK (Payung Pelangi, Khai Bahar (Sengsara), Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan).

Khairil Khusyairi