AJL 37: Menang Tempat Ketiga, Alif Satar & The Locos Seronok Karya Dihargai Juri Profesional – “17 Tahun Dalam Industri…”

Pemenang tempat ketiga Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37), Alif Satar & The Locos meluahkan rasa syukur apabila lagu Anugerah Terindah menjadi pilihan juri untuk merangkul anugerah tersebut yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam.

Menurut Alif, dia dan ahli kumpulannya itu berasa seronok apabila karya tersebut diangkat sebagai pemenang oleh barisan juri profesional.

“Di pentas AJL ini kami nak berikan yang terbaik, memang dari dulu kami ingin menyanyi dan hiburkan penonton, dan bila tulis lagu ia adalah ekspresi dalam sebuah lagu tersebut tapi bila masuk AJL dalam fikiran kami hanya untuk bertanding sahaja.

“Alhamdulillah, The Locos juga mempunyai fikiran yang sama, kami nak buat sehabis buat semasa persembahan, visual yang cantik dan rasa yang berbeza kepada peminat muzik tanah air.

“Bila dapat karya dihargai oleh barisan juri profesional yang lebih senior dan diketuai Datuk Mokhzani adalah satu perasaan yang sangat seronok. Ia sentimental.

“17 tahun dalam industri ini, lagu ni tercalon untuk pertama kali. Sebelum ini, saya datang sebagai pengacara AJL. Sangat berbeza, rasa jadi pengacara dan finalis,” jelas Alif.

Lagu ciptaan Alif Satar, Shah Shamshiri & Romeo ini membawa pulang hadiah wang tunai RM 30,000 berserta trofi.

Keputusan penilaian 12 buah lagu finalis AJL 37 dilakukan oleh barisan juri profesional yang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail.

Barisan juri yang mengadili malam berprestij itu adalah Datuk Acis, LY, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman dan Damian.

AJL 37 didimensikan oleh Alha Alfa Cosmetics sebagai penaja utama bagi menghangatkan acara yang memartabatkan lagu terbaik, tahun ini.

Tahun ini menyaksikan penganjuran AJL sangat gemilang dengan kehadiran penonton setelah dua tahun diadakan tanpa kemeriahan dan sorakan di dewan.

Khairil Khusyairi