AJL 37: Meriah! Band Legenda Blues Gang, Exist Antara Penyeri Segmen Interlude Malam Kemuncak AJL

Debaran kian terasa! Selain menanti kemunculan finalis-finalis hebat mempertaruhkan karya mereka, tidak lengkap acara berprestij ini tanpa kehadiran penyanyi jemputan sebagai penyeri malam kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37.

Buat julung kalinya, istimewanya pada tahun ini segmen khas interlude anugerah berprestij AJL ke-37 bakal dimeriahkan oleh band popular rock kapak, Blues Gang dan Exist.

Segmen interlude yang bakal disajikan buat penonton di hujung acara pastinya akan mengimbau pelbagai memori nostaljia zaman bercinta saat lagu-lagu hits mereka didendangkan.

AJL 37 didimensikan oleh Alha Alfa Cosmetics sebagai penaja utama bagi menghangatkan acara yang memartabatkan lagu terbaik, tahun ini.

Bertemakan dimensi muzik, AJL buat julung kalinya menggandingkan dua pengacara wanita popular, Sherry Alhadad dan Jihan Muse sebagai hos utama.

Kemeriahan acara karpet merah akan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my dari jam 8.00 malam hingga 9.00 malam menerusi Karpet Merah Tonton yang dihoskan oleh Muaz Mohamed dan Fiza Frizzy.

Bagi mereka yang strim langsung di www.tonton.com.my, mereka dapat berinteraksi secara langsung dengan para finalis dalam program Backstage AJL 37 yang dihoskan oleh Nadia Hasnan dan Imran Aqil.

Siapakah yang bakal bergelar juara bagi edisi kali ini? Jangan lupa saksikan malam kemuncak AJL 37 malam ini jam 9.00 malam di TV3 dan strim langsung secara HD, eksklusif di platform penstriman Tonton www.tonton.com.my.

Sebanyak 12 finalis AJL 37 yang akan berentap iaitu Ernie Zakri (Korban), Marsha (Kembali Terang), Aina Abdul (Terus Hidup), Iman Troye (Nang), Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia), Joe Flizzow dan Sona One (Satu Malam Di Temasek), Aliff Satar (Anugerah Terindah), Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi (Debu), Noki dan MK (Payung Pelangi), Khai Bahar (Sengsara), Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan).

Jangan lupa juga untuk gunakan tanda pagar #AJL37 di setiap posting anda dalam menghangatkan perbualan alam maya.

Aqilah Paharuzi