Akibat Jarang Kongsi Gambar Dengan Suami, Peminat Lupa Wany Hasrita Dah Tak ‘Single’- “Kadang Lupa Dia Dah Kahwin”

Baru-baru ini penyanyi popular, Wany Hasrita ada memuat naik beberapa foto dirinya bersama suami Al-Adib Fahmi ketika meluangkan masa bersama.

Menerusi hantaran di Instagram milik pelantun lagu Menahan Rindu itu, Wany turut berkongsi beberapa momen manisnya bersama suami termasuklah mengenakan kasut sedondon milik jenama popular antarabangsa.

 

Wany yang kelihatan manis mengenakan kemeja baggy berwarna coklat manakala, suaminya kelihatan serba ringkas dengan hanya mengenakan kemeja berona hitam masing-masing kelihatan gembira.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengikut Wany berasa gembira melihat penyanyi kesayangan mereka ini sudah mempunyai ‘teman’ dan kelihatan semakin gembira.

Namun, ada juga peminat yang terlupa Wany kini sudah mendirikan rumah tangga gara-gara jarang berkongsi gambar bersama suaminya di media sosial.

Terdahulu, Wany memaklumkan dia masih dalam proses menyesuaikan diri menjadi seorang isteri dan menantu kepada keluarga Adib. Namun, terbuka untuk belajar mengenai hal rumah tangga dengan lebih mendalam.

Malah, Wany juga memasang niat untuk belajar beberapa resepi air tangan masakan ibu mertuanya.

Untuk rekod, Wany dan Al-Adib Fahmi sah bergelar suami isteri pada 22 Julai 2022 dengan dua kali lafaz. Adib menyerahkan sebentuk cicnicn berlian sebagai mas kahwin manakala, wang hantaran dirahsiakan.

 

Salma Syahbuddin