Akui Kini Dalam Proses Kenal Hati Budi Seseorang, Noki K-Clique Mahu Tamatkan Zaman Bujang Tahun Depan?

Ahli kumpulan K-Clique, Noki mengaku dirinya kini sedang dalam proses mengenali hati budi seseorang dan berharap dapat menamatkan zaman bujangnya pada tahun hadapan.

Terdahulu, Noki pernah disindir netizen kerana mengakui dirinya ingin berkahwin dengan wanita berpurdah.

Namun, Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji tidak mengambil pusing dengan kecaman yang dilemparkan kepadanya.

“Saya ada terfikir, apa yang saya minta, semua Allah makbulkan, tetapi kenapa saya tidak boleh amalkan apa yang Allah suruh.

“Jadi, hari demi hari saya berusaha untuk jadi individu lebih baik. Alhamdulillah saya sudah dapat jaga solat dan akan cuba sedikit demi sedikit ubah penampilan termasuk buang segala rantai dan gelang.

“Semestinya, saya masih impikan dapat bertemu jodoh dengan wanita berpurdah kerana apabila bangun pagi dapat melihat senyum manis. Semoga ia (jodoh) dipermudahkan.

“Saya memang hendak kahwin. Apabila tengok kebanyakan kawan rapat, termasuk anggota K-Clique lain pun sudah berumah tangga dan berkeluarga, saya juga ingin menikmati kebahagiaan ini,” katanya.

Memetik laporan Berita Harian, penyanyi itu mendedahkan dirinya pernah mengikuti kumpulan Tabligh selama dua tahun sebelum menceburi dunia hiburan.

“Ketika bersama Tabligh dulu, setiap bulan saya akan keluar selama tiga hari untuk tujuan berdakwah atau ‘tashkil’ di masjid seluruh Sabah walaupun ada tempat yang kami datang tiada bekalan air dan elektrik.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan disebabkan pandemik COVID-19, keadaan itu kembali membawa saya untuk mengubah semula diri ke arah lebih baik dengan berbalik ke jalan Allah.

“Alhamdulillah, sekarang sudah semakin baik, bukan hanya perlu menjaga solat, tetapi cara kehidupan harian yang lebih mempraktikkan ajaran Islam dipelajari dulu,” jelasnya.

Sebelum ini, sebuah video Noki bersama pelakon baharu, Ezzanie Jasny yang memaparkan momen manis mereka ketika berada di sebuah pusat buku terkenal.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Mesra Bersama Ezzanie Jasny Heroin ILYS, Noki K-Clique Dah Ada Kekasih? Ramai Patah Hati!

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain