Alami Jangkitan Jantung & Paru-Paru, Isma Aliff Terpaksa Ditidurkan

Artis serba boleh sekitar tahun 1980-an, Isma Aliff,  59, dilaporkan kini berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru.

Memetik laporan Harian Metro, adiknya Shamsidah Ismail, 57, memaklumkan Isma ditahan disebuah hospital sejak Jumaat lalu akibat diserang angin ahmar selepas mengadu sakit kepala selain badannya berasa kebas.

“Pada Jumaat lalu, abang (Isma) sakit kepala sewaktu menjaga ibu kami yang terlantar. Tangan dan kakinya juga kebas kemudian dia baring. Sebaik saya pulang ke rumah, kami bawa dia ke hospital dan dia ditahan.

“Abang tak pernah pula mengalami masalah itu sebelum ini tapi kebelakangan ini dia berjalan ke pagar rumah pun mengah. Ingatkan tak serius dan anggap perkara biasa di usia-usia macam ini,” katanya.

Malah, keadaan badannya yang lemah sehingga tahap oksigennya mengurang menyebabkan doktor mengambil keputusan untuk Aliff ditidurkan.

“Petang Ahad lalu saya ada melawatnya. Percakapan dia agak lemah. Malam tadi, tahap oksigennya mengurang dan doktor terus tidurkan kerana jantung bengkak dan paru-paru ada kuman disebabkan jangkitan selepas terkena strok.

“Doktor pun cakap peluang sukar dijangka kalau sudah membabitkan serangan organ penting. Kita tunggulah dalam dua tiga hari kalau boleh buka tiub yang disambungkan kepadanya. Saya pun sudah beritahu keluarga.

“Sewaktu melawatnya tadi, saya sempat bercakap kepadanya, nampak mata dia berkelip dan ada air mata. Sedih juga kerana dia memang jenis ceria dan tak pernah menangis,”jelasnya.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin